Melihat menteri pendidikan bekerja


ZF Zamir

SAYA membaca dengan serius tulisan menteri pendidikan Singapura di Facebook pada 21 April lalu. Singapura katanya akan membuka semula sesi persekolahan pada 2 Jun, 2020.

Tulisnya: “But it is better not to extend the home-based learning. (It) is a fall-back when schools are suspended; it cannot be a prolonged substitute for school. It is better to let everyone have a break from this intense period.”

Beliau menambah: “By June 1, hopefully the situation will be much better, and we can look forward to a safe and orderly opening of schools.”

Ini semua berlaku ketika Singapura mencatatkan 884 kes baru jangkitan Covid-19 pada 12 Mei, 486 kes baru pada 11 Mei, 876 kes baru pada 10 Mei dan 753 kes baru pada 9 Mei. Sedangkan di Malaysia pada 12 Mei, hanya 16 kes baru dicatatkan.

Malah ketika tulisan ini ditulis, Perancis terlebih awal membuka perlahan sekolahnya. Mereka mula membuka semula sekolah pada 12 Mei lalu, dengan tadika dan sekolah rendah diarahkan untuk dibuka terlebih dulu.

Jumlah murid dalam kelas tadika dihadkan kepada 10 dan 15 murid dalam kelas yang lain. Pentadbir diberi arahan spesifik untuk memberi perhatian kepada pelajaran terhadap anak berumur 5, 6 dan 10 tahun.

Menteri Pendidikan Perancis Jean-Michel Blanquer menyasarkan sehingga 80% ke 85% tadika dan sekolah rendah akan dibuka pada minggu ini, dengan sekolah lebih tinggi akan mula dibuka pada 18 Mei nanti.

Malah Presiden Emmanuel Macron yang melawat sebuah sekolah di barat Paris minggu lalu menekankan, langkah ini adalah “tindakan betul” yang harus dilakukan.

Kenyataan rasmi pejabat di Paris menjangkakan sehingga 15% pelajar akan kembali ke sekolah, kehadiran tidak akan diambil kira, dan ibu bapa diberi pilihan sama ada untuk menghantar anak ke sekolah atau meneruskan pembelajaran dari rumah.

Jerman, mengambil pendekatan berbeza dengan membuka sekolah untuk murid peringkat menengah dulu, mengambil kira kemampuan anak berumur 15 ke atas mengaplikasikan penjarakan sosial dan kemahuan mereka untuk memakai penutup muka di sekolah.

Pembukaan secara berperingkat kepada anak sekolah rendah akan dibuat kemudian. Seorang guru besar sebuah sekolah di utara Jerman, Cikgu Henry Tesch yang terlibat dengan projek rintis ini menegaskan: “Sekolah adalah tulang belakang masyarakat dan ekonomi. Tanpa sekolah, ibu bapa tidak dapat keluar bekerja dan kanak-kanak dirompak dari masa mereka yang bernilai untuk belajar.”

Pendidikan sebagai tulang belakang

Pendapat guru ini menerangkan falsafah kepada sikap warga Eropah ketika saat pandemik Covid-19 ini menyerang kita semua. Pendidikan adalah tulang belakang kepada masyarakat dan ekonomi.

Apa juga yang sedang menimpa kita semua hari ini, seteruk manapun ia berlaku, tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan anak-anak kita bergelimpangan di rumah tanpa pendidikan.

Pendidikan harus diteruskan.

Dan, ia harus dimulakan dengan mengambil sikap berani iaitu mula secara perlahan-lahan membuka semula sekolah, hari ini juga.

Di seluruh dunia, inilah yang sedang berlaku. Di setengah negara, walau “metrik R-naught” atau kadar reproduktif RO Covid-19 mereka masih lebih dari 1 juga membuka sekolah secara perlahan-lahan.

Di China, anak-anak disemak suhu badan ketika berada di pintu sekolah dan kantin dibahagikan dengan penghadang plastik. Di Sydney,  sekolah dibuka secara berperingkat dengan seminggu sekali untuk sepertiga dari setiap gred setiap kalinya. Hong Kong dan Jepun juga mencuba fasa pembukaan dengan cara yang lebih serupa manakala di Taiwan, sekolah sudah mula dibuka pada hujung Februari dengan perhimpunan dibatalkan dan murid diarahkan untuk memakai penutup muka.

Malah di Jerman sendiri, semua lorong di sekolah dijadikan sebagai sistem laluan satu arah saja. Saiz kelas disesuaikan kepada separuh dari jumlah asal, guru diwajibkan memakai penutup muka, waktu rehat dibahagikan secara berperingkat dan murid diminta memakai pakaian yang sesuai kerana tingkap dan pintu dibuka untuk pengudaraan.

Berkesankah pembelajaran dalam talian?

Jadi timbul soalan, jika pembelajaran dalam talian begitu berkesan, mengapa negara seperti Singapura, Perancis malah Jerman dan Australia tergesa-gesa membuka semula sekolah mereka?

Jawapannya ada di depan mata kita hari ini.

Saya dimaklumkan beberapa ibu bapa muda yang memiliki anak yang sudah bersekolah, sudah mula gelisah kerana gagal mengawal anak mereka. Ibu bapa muda ini mengeluh kerana anak mereka sudah terbiasa tidur lewat, menonton Netflix sehingga 4 pagi dan belum bangun tidur walau jam sudah mencecah angka jam 1 tengah hari.

Ini bermakna, jam biologi mereka sudah berubah.

Anak-anak kecil yang selalunya bangun jam 6 pagi untuk ke sekolah pada jam 7 pagi, masih belum tidur pada jam 4 pagi dan bangun pada lewat tengah hari. Perubahan jam biologi ini sudah tentu akan mengubah corak emosi dan pola pemikiran mereka.

Mereka memerlukan disiplin dan bimbingan untuk menepati masa dan menetapkan objektif pembelajaran mereka setiap hari.

Adakah ibu bapa membantu menetapkan objektif pembelajaran anak mereka setiap hari?

Adakah para guru dapat memantau pencapaian objektif pembelajaran murid secara dalam talian dari jauh?

Adakah anak sedar perkembangan pembelajaran mereka dari satu tahap ke satu tahap yang lain?

Soalan ini penting untuk dipertanyakan kerana semua orang sedang bercakap tentang “new normal” yang sedang kita harungi ini.

Tiga pihak ini – ibu bapa, guru dan anak murid sendiri – harus mampu menjawab persoalan di atas, dalam membuktikan pendidikan dan pembelajaran masih berjalan walau hanya berlaku secara dalam talian.

Realiti ekosistem pembelajaran dalam talian di Malaysia

Malah ada persoalan yang lebih membingungkan. Jika kita benar-benar mahu mempraktikkan “new normal” dalam isu pendidikan ini, adakah anak murid, guru dan ibu bapa bersedia?

Adakah anak murid di kawasan pedalaman mempunyai akses kepada talian Internet?

Apakah guru benar-benar fasih dengan platform dalam talian yang mahu digunakan?

Adakah ibu bapa sedia mengorbankan wang ringgit untuk memastikan anak mereka mempunyai sekurang-kurangnya telefon pintar untuk mengakses kepada sistem pembelajaran dalam talian itu nanti?

Bagaimana dengan warga kumpulan B40, yang tidak mampu menyediakan gajet kepada anak mereka, yang tidak mempunyai talian internet serta warga pedalaman yang tidak mempunyai bekalan elektrik yang stabil dan bekalan air yang bersih pun seperti di pedalaman Sabah dan Sarawak?

Dalam bahasa lain, soalan ini boleh juga disebut dengan mempertanyakan semula: “Adakah kerajaan bersedia untuk membina ekosistem yang diperlukan?”

Juga, jangan dilupakan hampir lapan tahun yang lalu kita pernah gagal total dalam menyediakan ekosistem ini ketika kerajaan pada ketika itu membuat keputusan untuk memberikan tender 1BestariNet hanya kepada satu vendor saja.

Pencawang yang dibina di tanah sekolah-sekolah kita, tidak membekalkan talian Internet yang memuaskan kepada warga sekolah. Pencawang gergasi ini membekalkan hanya 4mbps ke 6mbps saja (ketika Unifi boleh mencapai 100Mbps), namun pada masa sama memberi servis kepada pelanggan mereka di luar sekolah.

Platform Frog VLE yang dibina, diakses tidak sampai 1% dari keseluruhan jumlah guru di seluruh negara. Itu pun dikhabarkan, 1% guru yang mengkases itu adalah kebanyakannya guru media yang memegang jawatan penyelaras FrogVLE di sekolah.

Sekolah keliru, masyarakat gelisah

Jadi saya fikir hari ini, sekolah jadi keliru dan masyarakat jadi gelisah. Para guru bertengkar di media sosial mengenai isu remeh: adakah mereka harus pulang ke rumah berhampiran sekolah, atau meneruskan cuti di kampung ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat masih berkuatkuasa?

Guru besar dan pengetua berbelah bahagi kerana tiada arahan jelas diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Malah masyarakat lebih-lebih lagi ibu bapa sudah habis stamina untuk menjaga anak, dalam masa yang sama memastikan mereka meneruskan pembelajaran di rumah. Ramai dari mereka hari ini sudah mula bekerja semula dan meninggalkan anak sendirian di rumah.

Lebih mengelirukan, ketika semua ketidaktentuan ini berlaku, parti politik dalam negara bergolak dengan sebahagian besar ahli politik berebut jawatan.

Menteri pendidikan sendiri jika kita Google namanya, lebih banyak berita politik berbanding “policy speech” yang sangat diperlukan anak kita saat ini. Hampir tiada keputusan mengenai isu pendidikan selama hampir dua bulan PKP dijalankan.

Nampak nyata, kepentingan ahli politik melebihi kepentingan masa depan anak-anak. Krisis dan konflik kepentingan ini telah menggadaikan, hampir dua bulan masa yang berharga untuk tempoh pembelajaran anak kita semua.

Kepentingan politik vs masa depan anak

Saya tahu, cadangan  ini mungkin bukan cadangan yang popular. Ibu bapa masih ramai yang takut anak mereka akan terdedah kepada jangkitan Covid-19 jika sekolah dibuka terlalu awal. Namun kita mempunyai ratusan contoh tentang bagaimana negara lain menjalankan pembukaan sekolah secara berperingkat.

Keberanian untuk menggalas tanggungjawab dan kemahuan untuk membuat keputusan yang betul, berdasarkan kepentingan nasional dan kepentingan masa depan anak adalah sesuatu yang sangat kita perlukan hari ini.

Negara memerlukan pemimpin yang bukan sahaja berani melompat parti dan menubuhkan kerajaan dari lubang atap, tetapi juga kerajaan yang sanggup berfungsi untuk melakukan perkara yang benar dan sepatutnya dilakukan, sepahit manapun ia dan sekeras apa pun ia.

Perkataan “new normal” itu memang sedap disebut, sama seperti kita menyebut “online learning” hari ini. Tetapi jangan sampai ia  menggadaikan masa depan anak kita. – 16 Mei, 2020.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen