Kebiasaan baharu pendidikan Malaysia


ZF Zamir

PADA 15 April lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres melancarkan laporan mengenai kesan pandemik Covid-19 ke atas kanak-kanak.

Laporan itu menjelaskan tiga kesan besarnya: pertama, kanak-kanak dijangkiti virus; kedua, kesan segera sosio-ekonomi akibat langkah-langkah untuk menghentikan penularannya, dan ketiga, kesan jangka panjang akibat kelewatan perlaksanaan langkah Matlamat Pembangunan Mapan yang dirancang.

Laporan PBB itu juga menggariskan empat lagi kesan lain. Ia menjangkakan antara 42 hingga 66 juta kanak-kanak akan jatuh ke dalam kemiskinan melampau, penambahan kepada hampir 386 juta kanak-kanak yang telah sedia miskin tegar setakat tahun lalu di seluruh dunia.

Kedua, Covid-19 juga memburukkan lagi krisis pembelajaran.  Dengan hampir 188 negara menutup semua sekolah, ia memberi kesan kepada hampir 1.5 bilion pelajar dan anak muda. Potensi kerugian akibat penutupan sekolah di seluruh negara di semua negara tersebut, terutamanya kepada akses pembelajaran generasi muda serta perkembangan modal insan tidak dapat dijangka.

Hampir dua pertiga daripada negara tersebut telah memperkenalkan platform pembelajaran jarak jauh secara besar-besaran. Bagaimanapun hanya 30% dapat dicapai oleh negara berpendapatan rendah. Bahkan sebelum pandemik Covid-19 pun, hampir satu pertiga generasi muda seluruh dunia dianggarkan terpinggir secara digital atau “digitally excluded”.

Covid-19 juga mengancam kelangsungan hidup dan kesihatan kanak-kanak. Kesukaran ekonomi yang dihadapi oleh keluarga akibat kemusnahan ekonomi global akan mengakibatkan ratusan ribu lagi kanak-kanak meninngal dunia pada tahun ini. Ini mengundurkan semua usaha yang dilaksanakan sejak dua atau tiga tahun lalu.

Malnutrisi, kes kanak-kanak tak cukup zat makanan akan meningkat sehingga 365.8 juta di seluruh 143 negara, yang mana sebahagian besar daripada mereka bergantung kepada program makanan berkhasiat di sekolah.

Hari ini, semua kanak-kanak ini harus mencari sumber makanan berkhasiat di tempat lain. Risiko kepada kesihatan mental dan kebajikan kanak-kanak juga meningkat. Warga pelarian dan mereka yang terlibat di kawasan konflik akan lebih terdedah kepada risiko.

Keempat, risiko terhadap keselamatan kanak-kanak. Lokasi perintah berkurung dikhuatiri meningkatkan risiko kanak-kanak menjadi saksi atau jadi mangsa kezaliman atau salah laku kekejaman domestik. Kanak-kanak di zon konflik, serta mereka yang mendiami lokasi padat seperti kem pelarian yang kurang bersih juga meningkatkan risiko jangkitan.

Malah kebergantungan platform dalam talian untuk pembelajaran jarak jauh juga mendedahkan risiko kanak-kanak kepada bahan yang kurang sesuai serta online predator.

Takut bersendirian, takut ketinggalan

Aktivis pendidikan dari Denmark, Poornima Luthra & Sandy Mackenzie, dalam satu makalah di World Economic Forum (WEF) pada 30 Mac lalu mengajak warga pendidik untuk memikir ulang peranan mereka dalam “pendidikan” masa depan.

Gangguan pembelajaran akibat pandemik Covid-19 ini membuka peluang untuk kita semua mengulang fikir: apakah yang perlu diajar serta bagaimanakah seharusnya kita mempersiapkan anak-anak kita untuk masa depan, terutamanya ketika hampir majoriti anak-anak di sekolah dan universiti hari ini adalah anak-anak dari Generasi Z, Alpha dan ke depan.

Luthra dan Mackenzie menghuraikan Generasi Z sebagai mereka yang hidup dalam dunia globalisasi, dengan yang paling tua pada tahun ini berumur 25 tahun. Pandemik ini menyebabkan sebahagian besar mereka hari ini terpaksa dibatalkan peperiksaan, pertandingan sukan dan majlis graduasi.

Generasi ini didefinisikan dengan teknologi. Mereka digambarkan sebagai takut bersendirian (fear of being alone) dan takut ketinggalan (fear of missing out). Komunikasi segera melalui aplikasi seperti WhatsApp dan Snapchat mempengaruhi kehidupan mereka.

Generasi ini juga melihat kemahiran bekerja secara kolaboratif sebagai penyelesaian cabaran dunia. Antara dua agenda utama generasi ini termasuklah isu perubahan iklim serta isu kesihatan mental. Ada laporan menyebut sehingga 50% Generasi Z tidak boleh hidup tanpa Youtube, 60% gemar berkolaborasi dan berkongsi ilmu dengan rakan mereka secara online serta 93% pula yakin mereka menguasai teknologi hari ini.

Generasi Alpha pula, yang hari ini sepatutnya menghadiri kelas pra-sekolah seawal umur dua dan tiga tahun adalah generasi yang tidak mempunyai struktur keluarga tradisional, dengan kebanyakan ibu bapa muda dikategorikan sebagai “bulldozer parents” kerana kemahiran mereka merungkai semua cabaran semata-mata untuk membina laluan kepada anak mereka.

Sekali lagi, generasi ini dicirikan dengan teknologi, kesedaran sosial serta identiti sosial media sebagai gaya hidup.

Impak pandemik akan memberi kesan terhadap pendidikan generasi Alpha ini, terutama ketika laporan Dell Technologies membayangkan 85% pekerjaan pada tahun 2030 belum lagi tercipta pada hari ini, lebih tinggi 20% daripada yang dibayangkan oleh  WEF.

Memikir semula peranan pendidik

WEF menyarankan empat langkah untuk pertimbangan komuniti pendidik dan pembuat dasar bidang pendidikan. Pertama, mula mengajarkan anak bangsa kita semua untuk hidup dalam dunia yang saling terkait dan tergantung.

Pandemik Covid-19 ini menunjukkan kepada kita tentang hubung kait dan saling kebergantungan warga dunia untuk memerangi wabak. Pada masa hadapan, masyarakat yang berjaya adalah masyarakat yang mampu memahami masalah yang merentas sempadan serta bekerjasama secara kolaboratif untuk menyelesaikannya.

Kedua, memikir ulang peranan pendidik pasca pandemik Covid-19. Menurut WEF, inilah masa yang paling tepat untuk kita mempertimbangkan semula – apakah peranan pendidik yang selama ini memegang ilmu untuk dicurahkan kepada anak murid, masih sesuai untuk dilaksanakan dalam dunia era pendidikan abad ke-21?

Dengan kebolehan anak murid mengakses ilmu pengetahuan di hujung jari mereka, termasuk dengan bantuan teknologi kemahiran teknikal kini di dalam talian, melalui telefon pintar, tablet dan komputer, apakah peranan pendidik di dalam kelas dan dewan kuliah masih relevan?

Peranan pendidik bukan lagi sekadar pemegang ilmu; mereka harus berfungsi untuk memastikan anak didik mampu menyumbang kepada masyarakat. Ketiga, pengajaran kemahiran hidup untuk masa hadapan. Dalam dunia yang serba tak pasti pasca pandemik ini, anak muda diperlukan untuk beradaptasi dan mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap perubahan “new normal”.

Ini bermakna pada masa depan, kemahiran yang diperlukan termasuk kreativiti, komunikasi dan kolaborasi termasuk empati dan kecerdasan emosi yang tinggi.

Mereka juga diperlukan untuk mampu bekerja merentasi garis demografi dan perbezaan ras dan gender untuk memanfaatkan kekuatan kolektif melalui gerak kerja berkumpulan yang efektif. Pembuat polisi harus segera melihat perkara ini kerana kurikulum harus segera beradaptasi dengan kebiasaan baharu ini.

Keempat, memastikan teknologi benar-benar digunakan dalam pendidikan. Pandemik Covid-19 memaksa komuniti pendidikan seluruh dunia untuk beradaptasi dengan alat teknologi untuk membina bahan pengajaran terutama untuk pembelajaran jarak jauh.

Model baharu pengajaran seperti ini memberi peluang kepada komuniti pendidik untuk melihat semula fleksibiliti, peluang serta potensi baru akses pendidikan kepada pelajar di seluruh dunia.

Dalam kata lain, mahu atau tidak, pembuat polisi tidak lagi boleh melihat sebelah mata akan potensi alat teknologi untuk membantu pengajaran dan pembelajaran ini.

Kebiasaan baharu di Malaysia

Laporan PBB dan saranan WEF di atas sepatutnya membuatkan kita semua terfikir. Berapa ramai anak murid di sekolah yang selama ini bergantung kepada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebagai sumber makanan berkhasiat setiap hari, terpaksa mencari sumber makanan di tempat lain pula?

Adakah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia menyelidik senarai e-Kasih dan data setempat di sekolah untuk membantu memastikan setiap komuniti di sekitar sekolah tidak mengalami ketidakcukupan makanan pada waktu yang sukar ini?

Dengan kemudahan teknologi pengajaran yang baru menjalani liberalisasi sejak kontrak BestariNet YTL tamat pada Jun 2019, bagaimanakah sekolah, anak murid serta para guru memanfaatkan aplikasi Google Classroom?

Berapa peratus agaknya capaian anak murid untuk menjalani kelas dalam talian?

Berapa peratus anak murid yang mempunyai talian yang stabil, data yang mencukupi dan mempunyai peralatan seperti telefon pintar, tablet atau komputer di rumah?

Berapa peratus komuniti pedalaman seperti di Sabah, Sarawak serta lokasi berdekatan hutan di Semenanjung yang boleh mencapai akses pembelajaran dalam talian ini?

Adakah fasiliti sedia ada, yang memudahkan guru, membantu anak murid serta tidak membebankan ibu bapa bersedia menampung sistem pembelajaran jarak jauh yang perlu kita jalankan hari ini?

Bagaimana pula dengan tenaga guru kita? Berapa peratus dari guru kita yang masih belum fasih digital, yang kebanyakannya menunggu pencen dan tidak berupaya menjalankan kelas dalam talian dengan efektif?

Berapa peratus guru muda kita yang aktif dan bersemangat mengajar pada hari ini?

Apakah KPI yang perlu diukur nanti, setelah peperiksaan UPSR dan PT3 dibatalkan?

Berapa peratus guru kita di pedalaman dan di bandar-bandar besar?

Adakah pandemik Covid-19 ini memberi peluang kepada kita untuk terus memansuhkan peperiksaan UPSR dan PT3 yang ternyata hanyalah sebuah ritual untuk memuaskan kehendak nafsu budaya mengukur yang kita pegang sejak dari dahulu?

Saya bertanya – kerana seperti juga anda semua, saya tertanya-tanya.

Saya tetap percaya kegagalan polisi seperti BestariNet tidak boleh kita ulang semula.

Menara-menara yang berdiri tegak di ribuan sekolah hari ini seharusnya berfungsi memberi akses kepada komuniti setempat, ibu bapa dan anak murid untuk mempunyai data dan talian stabil bagi membantu mereka meneruskan pembelajaran di rumah.

Bukan semata-mata untuk sebuah syarikat mendapat projek dan digunakan secara komersial untuk membantu pelanggan mereka mendapat liputan.

Kita berada dalam keadaan yang sangat sukar. Setiap keputusan yang kita ambil hari ini, akan memberi kesan kepada masa depan anak-anak kita nanti. – 24 April, 2020.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen