Jurang digital dan risiko pembelajaran dalam talian


ZF Zamir

MINGGU lalu, saya menulis sebuah tulisan dengan tujuan untuk menggesa kerajaan dan pihak berwajib untuk membuka semula sekolah dan institusi pendidikan dengan kadar segera.

Saya memulakan argumen dengan soalan penting: adakah pembelajaran dalam talian secara “online” berkesan untuk anak-anak kita?

Berkongsi sentimen yang sama, seorang wartawan agensi berita Channel News Asia (CNA), D Kanyakumari pada 20 Mei 2020 menulis laporan mengenai isu yang sama.

Beliau menemubual empat guru sekolah kerajaan dan seorang guru swasta, yang kesemuanya bersetuju dengan satu dapatan iaitu, guru sekolah kerajaan mempunyai sedikit masalah untuk memastikan objektif pembelajaran dapat dicapai melalui pembelajaran dalam talian berbanding dengan guru swasta. 

Di sekolah swasta, anak murid dan gurunya lebih terdedah dengan gaya pembelajaran dalam talian sebelum ini.

Kesemua 4 orang guru yang ditemu ramah memberi corak respon yang begitu mirip sekali iaitu; i) para guru sukar mengawal disiplin anak murid di dalam talian ketika mengajar; ii) guru kurang mahir kerana tiada latihan atau bimbingan sebelum ini serta; iii) sekolah swasta mempunyai kelebihan kerana telah terdedah dengan gaya pembelajaran dalam talian sebelum ini.

1.6 juta anak murid berisiko keciciran

Laporan itu juga memetik kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin mengenai hasil tinjauan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa hampir 36.9% murid tidak memiliki peralatan elektronik yang sesuai untuk membolehkan mereka belajar di rumah dengan saiz sampel seramai 900,000 murid.

Ini bermakna, jika benar hampir satu pertiga dari keseluruhan anak-anak sekolah kita tidak mempunyai akses kepada gaya pembelajaran dalam talian hari ini, kemungkinan 1.6 juta anak murid berisiko keciciran dalam pelajaran mereka setelah dua bulan tidak bersekolah.

Malah risiko keciciran lebih tinggi pada anak-anak yang sedang dalam fasa peningkatan tahap seperti anak tadika yang akan memasuki Tahun Satu pada tahun hadapan. 

Sejak 10 tahun ke belakang, terdapat trend untuk memastikan semua anak tadika boleh mengenal huruf ABC dan angka serta kebolehan membaca tahap minimum untuk memudahkan fasa transisi mereka ketika memasuki Tahun 1.

Keciciran anak tadika hari ini, yang diakibatkan oleh sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 2 bulan serta ketidaktentuan polisi KPM untuk membuka semula sekolah, akan menyebabkan anak-anak ini terlewat mengenal huruf dan angka. 

Lebih parah, kemungkinan jumlah anak murid yang masih gagal membaca ketika masuk Tahun 1 pada 2021 nanti meningkat mendadak.

Keciciran ini begitu kritikal dan akan menyebabkan anak-anak cicir ini nanti, tidak berminat meneruskan pembelajaran dan akan terus tercicir di peringkat yang tinggi.

Hanya 25% pelajar gemarkan pembelajaran dalam talian?

Kelvin Tan dari Project ID, sebuah gerakan ‘social enterprise’ telah menerbitkan dapatan kajian yang bertajuk ‘Student Voice Matters: How are Malaysian Students Learning Online?’ di laman Medium.com pada 20 Mei 2020.

Kaji selidik itu bertujuan untuk memahami dengan lebih dalam bagaimana pelajar menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam talian ketika PKP berjalan. Ia melibatkan lebih dari 700 responden berumur 13 hingga 18 tahun di seluruh negara.

Kajian ini mendapati tiga platform tertinggi yang digunakan oleh pelajar adalah WhatsApp (643), Google Classroom (554) dan Telegram (429). WhatsApp dan Telegram dikatakan pilihan paling mudah kerana tidak memerlukan talian internet ‘high speed’ serta penggunaan data yang minimum.

Hampir 75% pelajar memilih pembelajaran secara offline kerana memerlukan interaksi ‘face to face’ dengan guru, kesukaran untuk berkomunikasi dengan guru ketika online serta kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan struktur pembelajaran dalam talian. 

Manakala hanya 25% pelajar memilih untuk menyukai pembelajaran dalam talian, kebanyakannya kerana telah bersedia dan mempunyai daya pembelajaran kendiri yang tinggi. 

35% pelajar berasa negatif terhadap pembelajaran dalam talian mereka dengan  perasaan ‘penat & kecewa’ (10%), ‘stres & cemas’ (14%) dan ‘kurang selamat & rasa hilang arah’ (11%). 

Malah 51% pelajar di Sabah dan Sarawak mencatatkan tidak gemar belajar dalam talian berbanding bahagian Malaysia di negeri lain sebanyak 33% negatif.

Seorang pelajar lelaki dari Sabah menjawab: “Pembelajaran secara bersemuka lebih senang untuk saya terus faham dan bertanyakan soalan yang sukar difahami berbanding pembelajaran online, juga banyak rakan-rakan saya ketinggalan (dalam pembelajaran online) kerana segelintir mereka tidak mempunyai handphone dan internet di rumah”.

Realiti jurang digital

Kajian Tan juga mendedahkan beberapa petunjuk seperti penat, kecewa dan gelisah lebih tinggi dalam kalangan pelajar lebih tua yang berumur 17 ke 18 tahun berbanding pelajar lebih muda yang berumur 13 ke 16 tahun.

Kekecewaan ini dikatakan berpunca dari kemahuan mereka mahukan pembelajaran secara bersemuka dengan guru untuk memudahkan mereka bertanya soalan untuk mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan besar.

Seterusnya tiga cabaran utama yang dihadapi pelajar adalah; i) talian internet yang lemah; ii) struktur pembelajaran yang lemah dan; iii) kurang interaksi yang memberansangkan. 

Seorang pelajar lelaki dari Kuala Lumpur menjawab: “Pembelajaran bersemuka lebih senang untuk beri perhatian pada cikgu. Masalah teknologi seperti tiada data, telefon rosak dan kena berkongsi telefon dengan orang lain membuatkan susah untuk pelajari pembelajaran atas talian”.

Kesemua dapatan ini sekurang-kurangnya memberi kita sedikit gambaran besar betapa bahaya pembelajaran dalam talian kepada anak-anak jika diteruskan hari ini.  

Risiko keciciran kepada lebih dari 1.6 juta anak-anak di seluruh negara begitu membimbangkan.

Apa pelan kementerian?

Singapura pada 19 Mei 2020 telah mengeluarkan grafik FAQ mengenai pelan kerajaan mereka untuk membuka semula sekolah secara berperingkat pada 2 Jun 2020.

Namun KPM sehingga saat tulisan ini ditulis, masih belum mengeluarkan apa-apa jawapan atau pelan untuk mengatasi isu pembelajaran dalam talian serta jurang digital yang bakal memberi risiko keciciran kepada 1.6 juta anak-anak sekolah kita.

Kita semua hanya dibekalkan dengan dua pelan oleh Menteri Pendidikan ketika sidang media dan wawancara di TV iaitu ibu bapa akan dimaklumkan sekolah dibuka semula dua minggu sebelum dan hanya 17 murid akan berada dalam satu kelas.

Bagaimana pelaksanaan operasi 17 murid dalam satu kelas itu tidak diperincikan. Tiada maklumat mengenai keberkesanan pelaksanaan pembelajaran dalam talian, tiada maklumat tentang murid mana yang akan ke sekolah dahulu selain hanya murid yang akan menduduki peperiksaan akan dipanggil dahulu.

Adakah sekolah akan dibuka kepada empat sesi memandangkan jumlah normal kelas sebelum PKP adalah 30 murid ke 40 murid purata setiap kelas?

Jika sekolah dibuka kepada empat sesi, adakah ibu bapa perlu menghantar murid pada waktu malam hari?

Adakah murid diwajibkan memakai pelitup muka? 

Adakah murid dibenarkan menjalani aktiviti sukan?

Adakah kantin dibuka atau murid diwajibkan makan di dalam kelas sahaja?

Adakah sekolah akan kekal ditutup sehingga hujung tahun?

Apakah program TV Pendidikan berjaya atau gagal?

Adakah kurikulum semasa tahun ini akan diubahsuai?

Adakah murid perlu mengulang semula pembelajaran tahun ini pada tahun 2021?

Apakah pelan KPM untuk mengatasi keciciran 1.6 juta anak murid nanti?

Kesabaran kita menanti jawapan daripada kementerian semakin tipis. 

Malaysia memerlukan seorang menteri yang bukan hanya tahu berpolitik, tetapi juga sedar bahawa tindakannya hari ini bakal memberi kesan kepada jutaan anak murid, anak bangsa di seluruh negara. – 22 Mei, 2020.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen