Pengusaha rugi teruk, harap kerajaan benar majlis kahwin


Diyana Ibrahim

Majlis perkahwinan terpaksa dijalankan dengan SOP yang ketat bagi memastikan wabak koronavirus tidak tersebar. – Gambar AFP, 25 Mei, 2020.

PENGUSAHA majlis perkahwinan berharap kerajaan dapat membenarkan semula penganjuran majlis dalam skala kecil bagi membantu kelansungan sektor tersebut yang terjejas akibat Covid-19.

Menurut Persatuan Perkahwinan Profesional Malaysia (AWP), larangan tersebut menyebabkan industri perkahwinan mengalami kerugian dianggarkan lebih RM10 bilion.

Jumlah itu ditanggung sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac apabila segala bentuk kenduri dan majlis seumpamaya dilarang, kata presidennya Patrick Low.

Jelasnya, anggaran itu berdasarkan anggaran pembelanjaan ditanggung oleh 60% daripada sejumlah 206,253 pasangan yang berkahwin seluruh Malaysia sepanjang 2018.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, anggaran itu ke atas 60% daripada jumlah pasangan terbabut kerana ada di antaranya membuat majlis kecilan-kecilan.

“Setiap pasangan di Malaysia kebiasannya mereka akan memperuntukkan RM50,000 hingga RM80,000 bagi setiap majlis perkahwinan.

“Ini merupakan perbelanjaan keseluruhan dari sewa hotel, dewan, katering, bulan madu dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata kerugian lebih RM10 bilion itu jelas menunjukkan larangan mengadakan majlis kahwin benar-benar menghimpit perniagaan usahawan dalam sektor tersebut.

“Bagi industri perkahwinan majoritinya disokong oleh usahawan mikro seperti pereka fesyen, butik baju pengantin, jurusolek, jurugambar, perancang perkahwinan, penggubah hiasan.

“Jadi apabila larangan tersebut dikuatkuasa maka perniagaan mereka juga turut terhenti,” katanya.

Biarpun perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) kini berkuatkuasa menggantikan PKP, namun majlis perkahwinan masih belum dibenarkan beroperasi.

Perkara ini menjadi kerisauan AWP kerana ini menyebabkan bakal pengantin tidak merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan kerana tidak pasti bilakah PKP atau PKPB akan berakhir.

Oleh itu, mereka menggesa kerajaan membenarkan penganjuran majlis seumpama itu dengan menetapkan prosedur operasi supaya perusahaan majlis tidak mati.

“Oleh itu, kita merayu kepada kerajaan benarkan semula majlis perkahwinan biarpun dengan skala kecil 20-30 orang dan buatlah garis panduan yang boleh diikuti pemain industri.

“Sekurang- kurangnya ia boleh menjana pendapatan, perniagaan tidak mati begitu saja,” katanya.

Kerajaan pada minggu lalu tetap bertegas untuk tidak membenarkan majlis perkahwinan kerana ia melibatkan perhimpunan ramai yang disenaraikan sebagai aktiviti terlarang.

Larangan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Hanya majlis akad nikah dibenarkan dijalankan dengan kehadiran terhad dan SOP yang ketat.

Keadaan itu menekan pengusaha seperti pemilik busana pengantin,Ishraq Boutique Nur Shahadah Solehah, 34, yang berharap kerajaan membenarkan semula majlis perkahwinan.

Katanya, kerajaan boleh mengkuatkuasa garis panduan tertentu yang boleh diikuti mereka untuk membolehkan mereka meneruskan perniagaan.

“Kami harap sangat untuk dapat menyambung semula aliran tunai kami untuk perkukuhkan ekonomi negara.

Kerajaan tidak membenarkan majlis perkahwinan kerana ia melibatkan perhimpunan ramai yang disenaraikan sebagai aktiviti terlarang. – Gambar AFP, 25 Mei, 2020.

“Seperti contoh, bolehlah meletakkan had jemputan satu majlis,” katanya yang mencadangkan kehadiran maksimum 250 orang dengan mengutamakan penjarakan sosial.

Beliau yang berpengalaman lapan tahun dalam perniagaan itu berkata, jamuan boleh diwajibkan untuk dihidang dan bukan secara buffet untuk mengurangkan pergerakan dalam dewan majlis.

Seorang pengusaha khidmat jurufoto, Mohd Zulhilmi Sulaiman, 27, pula juga kesal kerana terpaksa merehatkan dulu perniagaannya pada tahun ini akibat larangan tersebut.

Hampir kesemua pelanggannya sudahpun menangguhkan majlis disebabkan larangan semasa PKP, katanya.

“Dan dari segi pelanggan yang nak buat tempahan pun menurun sebab mereka risau buat tempahan dalam keadaan negara yang tak menentu ni,” katanya.

Tambahnya, beliau kini menolong bapanya menjalankan perniagaan membekal daging sebagai alternatif bagi menjana pendapatan dan membayar pekerja.

“Bagi saya apa saja yang berkait dengan perkahwinan semua akan terkesan pun tidak boleh bergantung perniagaan sedia ada saja,

“Saya tengok rakan-rakan industri pun semua sudah buat perniagaan alternatif untuk kelangsungan,” katanya. – 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen