YB Hanipa Maidin, siapa calon PM Pakatan?


AHLI Jawatankuasa Pusat Amanah Hanipa Maidin ada memberi komentar kepada pandangan penganalisis politik berkaitan Pakatan Harapan (PH) patut tumpu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk kembali berkuasa.

Saya bukanlah penganalisis politik yang dirujuk oleh ahli Parlimen Sepang itu. Cuma, secara kebetulan sebelum pandangan penganalisis itu diterbitkan di Malaysiakini, saya ada menyatakan pandangan yang hampir sama yang diterbitkan di The Malaysian Insight. Kebetulan.

Hanipa berhujah bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak mendapat mandat rakyat, sebaliknya PH yang dipilih oleh rakyat untuk memerintah, bukan PN. PN menipu. 

Ya, semua ini betul dan saya setuju dengan semua hujah ini. 

Bagi mereka yang ingin menguji majoriti kerajaan PN di Dewan Rakyat atau nak buktikan Muhyiddin Yassin ada majoriti atau tidak, kami rakan-rakan tiada halangan kerana semua ini adalah amalan demokrasi yang sah.

Cuma ada beberapa perkara yang perlu dijawab dengan jelas dan tegas sebelum semua hasrat itu dilaksanakan. 

Adakah PH sendiri sudah menyelesaikan siapa calon perdana menteri jika usaha tersebut berjaya? 

PH mahu Dr Mahathir Mohamad atau Anwar Ibrahim?

Jika kita semak kembali rekod sebelum ini, cadangan Dr Mahathir mahukan kerajaan campuran, PH telah tolak. Ini menjelaskan pendirian politk PH yang berbeza dengan Dr Mahathir.

Jadi nampak macam sukar bagi Dr Mahathir untuk dicalonkan sebagai PM oleh PH jika berjaya dengan undi tak percaya yang diusulkan olehnya. 

Tetapi jika PH mahu Anwar sebagai calon PM, adakah Anwar sudah mendapat cukup majoriti untuk ditabalkan sebagai PM? Atau kita baru nak berkira-kira dengan akuan berkanun atau SD yang ‘akan’ diterima?

Kita masih ingat lagi peluang yang ada ketika Yang di-Pertuan Agong berikan pada bulan Februari dulu. Itu jadi mimpi ngeri dan pelajaran kepada kita semua. Ketidaktentuan antara Dr Mahathir atau Anwar inilah jadi kemuncak kegagalan PH mengurus kuasa yang ada di tangan sendiri.

Dalam keghairahan pimpinan hendak rampas kembali kuasa kerajaan, saya ingin mencadangkan agar PH patut mengambil peluang dan masa beberapa tahun sehingga PRU15 tiba agar kita bermuhasabah dan menyusun kembali sisa kekuatan yang ada. 

Kita patut belajar dari sejarah kita. Kita kata kita ditipu oleh Si Penipu. Kita kata kita dikhianati oleh Si Pengkhianat. Kita mengadu semua ini kepada rakyat bahawa mandat pengundi telah dicuri oleh PN. 

Perlu diingatkan kembali, sebelum hilang kuasa pun, sokongan rakyat kepada PH ketika itu sedang merosot teruk. Berapa banyak pilihan raya kecil PH kalah? 

Jadi, jangan ingat rakyat akan semudah itu nak bersimpati kepada PH dengan hujah-hujah retorik ini.

Sampai bila kita hanya mampu menuding jari kepada pengkhianat sedangkan kita sendiri malas bermuhasabah?

Kita baru dipinjamkan kuasa selama dua puluh dua bulan menjadi kerajaan, janganlah terlalu ego. 

Tak salah kita merendah diri dan menginsafi akan kelemahan kita dan kita sama-sama berusaha memperbaikinya. 

Jangan pula menuduh saya atau rakan-rakan lain tidak setia kepada parti atau tidak memahami perjuangan hanya kerana kita tak mampu mengurus perbezaan pendapat dan pendekatan antara kita.

Anwar pernah berkata: “Saya dibuang oleh elit politik, maka itu saya kembali kepada rakyat”. 

Inilah masanya kita kembali kepada rakyat dan tumpukan usaha memperkemas kembali naratif politik PH.

Selamat Hari raya kepada YB Hanipa Maidin, maaf zahir dan batin. – 22 Mei, 2020.

* Mahdzir Ibrahim adalah AJK DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen