Beragama di tengah musibah 


Mohd Syazreen Abdullah

AGAMA boleh menjadi alat penyatuan dan persaudaraan. Agama juga boleh menyebabkan musibah disebabkan sikap manusia yang tidak rasional dan tergopoh-gapah. 

Virus korona (Covid-19) telah menjejas dunia. Termasuklah negara kita Malaysia. Sudah ratusan nyawa telah terkorban. Semua orang terkesan dengan  musibah ini. Khususnya melibatkan soal kesihatan dan ekonomi. 

Kita terpaksa menghadapi hari-hari seterusnya dengan norma yang baharu. Kesannya, sebahagian ada yang hilang mata pencarian rezeki, dan menghadapi krisis kewangan yang teruk – krisis kemanusiaan. 

Justeru, sektor ekonomi terpaksa dibuka demi kelangsungan hidup. Namun selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ketika negara dalam usaha mengurangi wabak dan krisis kemanusiaan, masih terdapat suara-suara Melayu Islam sumbang yang gelojoh mahu menggesa masjid dibuka sedia kala. 

Mereka ingin solat Jumaat dan berjemaah di masjid harus diberi kelonggaran sebagaimana kelonggaran diberikan terhadap sektor ekonomi. Mereka berhujah sebegitu. 

Meskipun mengikut panduan, masih begitu awal untuk membenarkan aktivti keagamaan dilaksanakan dalam skala yang besar. 

Ramai orang tidak dapat berfikir rasional ketika dalam kesempitan dan kelonggaran diberikan. Kadangkala di kepala mereka hanya fikir sembahyang dan pahala berjemaah di masjid berbanding nyawa, keselamatan serta  kemanusiaan. Jangan pentingkan diri. Krisis kemanusiaan lebih mustahak saat musibah.

Melihat perkembangan semasa, tidak mustahil menteri agama berserta panduan kesihatan, akan menunaikan hasrat tersebut. Saya harapkan beliau kekal berpendirian bahawa masjid tidak boleh dibuka lagi selagi wabak masih berleluasa. 

Hakikatnya, solat itu adalah ibadat khusus. Amalan ritual persendirian. Tidak perlu tergesa-gesa untuk keluar rumah untuk mendapatkan pahala berjemaah. Solat di masjid tidak sesekali mengurangi gejala wabak. Cukup sekadar lakukan di rumah. Pahalanya tidak berkurang. 

Tunggulah sehingga tempoh penularan wabak ini berada di tahap yang paling rendah dan selamat. 

Hal ini tidak sama dengan aktiviti penjanaan ekonomi. Masyarakat perlukan duit untuk kesenambungan hidup. Situasinya tidak sama dengan urusan solat di masjid ketika berlaku wabak. 

Berfikirlah dengan waras dan renungilah sirah Nabi. Baginda mengajar umatnya untuk mencegah wabak berpenyakit termasuklah hadir ke masjid supaya tidak menjangkiti orang lain. 

Sabda baginda dalam hadis Bukhari dan Muslim: “Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat.”  

Dalam kitab al-Majmū, Imam Nawawi menjelaskan bahawa terdapat keuzuran yang membolehkan solat berjemaah perlu digugurkan, sama ada solat sunat atau solat wajib: “Solat berjemaah digugurkan dengan keuzuran, tidak kira sama ada kita mengatakan itu solat sunat atau pun fardu kifayah atau pun fardu ain…”

Justeru, hal ini tidak tepat jika mahu membandingkan solat di masjid dengan membuka kelonggaran kepada sektor ekonomi. 

Jangan ingat Islam itu sekadar solat di masjid semata-mata. Wabak tidak sesekali hilang dengan kita menangisi doa di masjid tetapi pada masa sama, kita membuka pintu kemudaratan iaitu penularan wabak. Kontradik. 

Berfikir cara maqasid

Manakala, memulihkan ekonomi dengan sistematik termasuk juga sebahagian dalam urusan ibadah dengan Allah. Bahkan mereka yang keluar rumah demi mencari sesuap rezeki yang halal itu lebih tinggi ganjaran di sisi Tuhan ketika berhadapan musibah yang mudarat ini. 

Demikian ekonomi mesti digerakkan demi kesenambungan hidup. Hal ini lebih mustahak berbanding berjemaah di masjid ketika negara masih lagi dilanda wabak. Bertimbang rasalah dalam keadaan sedang musibah ini. 

Melonggarkan sektor ekonomi secara besar-besaran bukanlah pilihan yang terbaik, tetapi menambahkan bala jika melonggarkan sembahyang di masjid itu adalah bala yang bertimpa-timpa. Tuhan sesekali tidak menzalimi hamba-Nya. 

Justeru, di tengah musibah ini, tidak kira agama, bangsa dan kaum, kita perlukan pemikiran yang rasional dalam menghadapi waktu sukar begini – mengutamakan nyawa dan nasib kemanusiaan sejagat.

Di sinilah pentingnya peranan maqasid syariah dan akal yang waras dalam beragama. Meletakkan kemanusiaan berada di puncak utama dalam apa-apa hal sekali pun. Ia terdiri daripada nyawa, keselamatan, perlindungan, ekonomi dan kebajikan. 

Maka, akal rasional menentukan pilihan kita bahawa tidak bercanggah dengan prinsip kemanusiaan. Sebaliknya jika kita tidak mengambil pertimbangan rasional di tengah musibah begini, kita mungkin akan memudaratkan dan menzalimi orang lain sekaligus memburukkan keadaan lagi. 

Kasihanilah para petugas barisan hadapan yang melawan wabak ini. Jangan menuruti segala kehendak dan kepentingan nafsu kita. 

Justeru hargailah mereka dengan menunjukkan sikap saling bertimbang rasa dan rasional dalam mengekangi gejala wabak ini. Oleh itu, patuhilah panduan yang telah diberikan. 

Gunakan akal yang tuhan berikan untuk kita menjadi orang yang berperikemanusiaan. Nabi SAW mengajar kita menjauhi diri dari sebarang kemudaratan dan jangan memudaratkan orang lain. Sabdanya: “Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan.

Termasuklah kaedah yang lain seperti, “kemudaratan hendaklah dihilangkan.” 

Akhirnya, mencegah kerosakan adalah diutamakan daripada mendatangkan kebaikan. Justeru, mencegah daripada menularnya lagi wabak Covid-19 itu adalah lebih baik daripada solat di masjid.  

Jangan sikap gopoh kita, lantas Tuhan timpakan lagi musibah dek kedegilan tersebut. Sebaliknya, sebagai Muslim yang berpengetahuan, fikirlah kesan masa panjang yang akan memudaratkan ramai orang. 

Gunakan akal untuk mengambil pelajaran daripada musibah ini. Kerana agama mengajar kita bersikap sangka baik terhadap pencipta bahawa setiap musibah yang terjadi akan digantikan dengan lebih baik kelak. 

Ikhtiar sebagai tawakal

Sebagai Muslim, kita harus keluar daripada ujian ini lalu berusaha dan bertawakal kepada Tuhan. Kita harus kritis dalam menyusun langkah melawan musibah ini. 

Negara telah menyediakan langkah dan panduan keselamatan untuk melindungi wabak daripada menular. Maka, kita harus ikhtiar meneruskan kehidupan untuk lebih baik demi kebaikan diri dan orang lain. 

Namun, jika tanpa pedoman, kita akan hilang pertimbangan rasional dan kemanusiaan. 

Patuhi panduan tersebut. Demikian, seandainya kita tidak bersabar, kita bakal menambahkan lagi musibah. Bahkan, menzalimi diri kita sendiri dan orang lain yang bersusah payah berjuang mematikan penularan wabak ini. 

Kerana itu, manusia harus bersabar dalam ujian ini atau dalam agama disebut sebagai ibtila’. Ujian ini adalah sebagai pembukaan untuk kita mengenal Tuhan dan memahami rahsia-Nya (wijhat min al-taaruf)  yang mana akhirnya akan mendewasakan kita dalam setiap sudut sama ada, mental, rohani dan jasmani

Sebaliknya, manusia seringkali alpa, lalu melakukan pelanggaran. Maka, kita berdosa seandainya kita bersikap cuai dan alpa – sekadar bertawakal sahaja tanpa melaksanakan panduan kesihatan yang diberikan.

Dalam Quran mengingatkan bahawa musibah itu adalah terhasil daripada tangan manusia itu sendiri yang lalai.  “Adapun musibah yang menimpa kalian, akan merupakan hasil dari perbuatan tangan kalian sendiri” (Al-Syura: 30).

Marilah merenungi kisah Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban di dalam sahihnya: Seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Aku lepaskan unta aku dan aku bertawakkal? Baginda menjawab: Ikatlah unta itu dan bertawakkallah. 

Jangan jadi makhluk yang dibenci Tuhan – degil dan pentingkan diri sendiri. – 7 Mei, 2020.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen