Kumpulan ulama dunia dikaitkan dengan Hadi dituduh terbabit keganasan


Presiden PAS Abdul Hadi Awang merupakan naib presiden Kesatuan Ulama Antarabangsa (IUMS) yang didakwa oleh kerajaan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Bahrin terbabit dengan aktiviti keganasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2017.

KUMPULAN ilmuan Islam yang dipimpin oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Pihak Anti-Keganasan Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrin, lapor Arab News.

Kesatuan Ulama Antarabangsa (IUMS), yang mana Hadi merupakan naib presidennya, diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas bersama Majlis Islam Antarabangsa “Massaa”.

11 individu turut diletakkan pada senarai keganasan kerana didakwa menyebarkan dan menyokong keganasan.

Pengumuman itu dibuat oleh empat negara terbabit hari ini menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi Saudi Press Agency.

“Dua entiti yang disenaraikan adalah organisasi pengganas yang bekerja untuk menyebarkan keganasan menerusi eksploitasi wacana Islam dan menggunakannya untuk menyembunyikan pelbagai aktiviti keganasan,” menurut kuartet itu. 

IUMS ditubuhkan pada 2004 dan diketuai oleh Sheikh Youssef al-Qaradawi, yang merupakan tokoh kontroversi yang dihalang memasuki Amerika Syarikat kerana didakwa berpandangan ekstremis, yang dinafikan ahli teologi kelahiran Mesir itu. 

Ahli IUMS dikatakan menjadi mengikut Persaudaraan Islam, yang memainkan peranan utama dalam protes Arab Spring. Ahlinya termasuk ilmuan daripada denominasi berbeza dalam Islam dan kesatuan itu menyatakan sasarannya untuk mengadakan dialog antara ilmuan Islam. 

11 individu yang disenaraikan itu dikena pasti sebagai Khaled Nazem Diab, Salem Jaber Omar Ali Sultan Fathallah Jaber, Moyasar Ali Musa Abdullah Jubouri, Mohammed Ali Saeed Atm, Hassan Ali Mohammed Juma Sultan, Mohammed Suleiman Haidar Mohammed Al-Haydar, Mohammed Jamal Ahmed Hishmat Abdul Hamid, Alsayed Mahmoud Ezzat Ibrahim Eissa, Yahya Alsayed Ibrahim Mohamed Moussa, Qadri Mohamed Fahmy Mahmoud Al-Sheikh dan Alaa Ali Ali Mohammed Al-Samahi.

Kuartet yang juga negara yang bersama menentang Qatar, mengulangi kecaman penglibatan individu terbabit dalam membantu keganasan. 

“11 individu terbabit turut menjalankan pelbagai operasi keganasan yang mana mereka didakwa menerima arahan daripada penyokong Qatar daripada pelbagai peringkat, termasuk menyediakan mereka pasport dan menugaskan mereka kepada institusi Qatar dengan penampilan amal untuk membantu pergerakan mereka,” menurut kenyataan itu. 

Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrin memutuskan hubungan dengan Qatar ada 4 Jun dan menuduh negara itu menyokong keganasan. – 23 November, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen