Agamawan dan hidup berpandu etika Quran


Mohd Syazreen Abdullah

SUDAH tahun 2020, setelah lama karya Fazlur Rahman diterbitkan, namun tulisan dan kritikannya masih lagi berbisa dan relevan. Rahman yang dituduh sesat masih dibayangi ketakutan oleh sebahagian orang hari ini. 

Rahman ditohmah pada 1962 di Pakistan oleh kubu fundamentalis agama dek kelantangannya dalam hal agama. Rahman mahukan masyarakat bebas daripada kejumudan dan persimpangan moral. 

Kisah Rahman telah mengingatkan kenangan saya ketika belajar di Jordan, betapa sepinya wacana tentang pemikiran Fazlur Rahman oleh pelajar Pengajian Islam. Khususnya idea-idea besarnya berkaitan etika dalam Quran.

Kisahnya, seorang pensyarah Universiti di Jordan mengeluhkan bahawa tidak ramai pelajar Arab yang membaca karya Rahman. Pemikiran Rahman masih asing dalam diskusi. Mereka lebih cenderung membelek kitab fikah sempit. Selain itu, menghentam antara Asyairah dan Wahabi. Sehingga larut dalam kafir mengkafirkan. 

Beliau bimbang sikap memilih wacana dan gagal memahami kefahaman etika Quran yang jauh lebih penting ini bakal merosakkan pemikiran orang lain kelak bila mereka pulang ke tanah air masing-masing. 

Beliau simpulkan, perbahasan tentang kedewasaan Quran khususnya berkaitan moral tidak mendapat tempat dalam diskusi mereka.

Begitulah, pembaharuan pemikiran Rahman yang menggemparkan pada tahun 1960-an itu tidak terkesan dalam kalangan pelajar bidang agama. Termasuklah pelajar Malaysia. 

Malangnya, sebahagian mereka pulang menjadi agamawan. Sebahagian mereka ada yang membelakangi prinsip etika Quran – kemanusiaan. Mereka ialah kelompok yang memahami Quran secara literal. 

Mereka jadikan Quran sebagai rujukan tanpa memahami dengan kritikal. Kelompok ini bagai cendawan di Malaysia. Persis agamawan seperti ini gemar bertenggek pada kekuasaan. Mereka memilih diam terhadap kezaliman penguasa. 

Sikap ini jauh tersasar daripada pesan Quran. Kerana tugas mereka harus kritikal memahami makna Quran dan menyampaikan itu kepada masyarakat yang sedang tenat moralnya – etika Quran. 

Justeru, betapa pentingnya dalam setiap peribadi individu untuk membina masyarakat yang beretika – menjunjung kemanusiaan dan keadilan sosial.

Realitinya, di Malaysia tidak banyak agamawan yang berjuang untuk kemanusiaan dan keadilan. Sebaliknya, agamawan menjadi bungkam dalam meluruskan etika pemimpin dan sosial. 

Justeru, masyarakat dibuai norma kebiasaan yang baharu iaitu kejahilan tanpa panduan kefahaman etika Quran yang sebenar. 

Sudahlah etika sosial kita pada hari ini telah dipunahkan oleh tata politik penguasa – sikap badut para menteri; pengkhianat dan tidak tahu malu. Akhirnya, kita hanya ada agamawan yang sibuk berkelahi dalam isu ranting, berbanding mengajarkan masyarakat tentang kemanusiaan.

Begitulah nasib sebahagian masyarakat Melayu Islam di Malaysia yang mendoakan suara agamawan, mufti dan menteri agama untuk bersikap progresif. 

Malangnya, ia ibarat menunggu bulan jatuh ke riba.

Masyarakat hilang etika

Lihatlah, betapa krisisnya etika sebahagian komuniti Melayu Islam hari ini. Tiada hati perut terhadap isu-isu kemanusiaan. Beribu kali membaca Quran dan solat sunat pun belum tentu meresap kefahaman Quran dalam hati mereka. 

Sebaliknya busuk hati menilai kebaikan dan kesusahan yang menimpa orang lain. Kadangkala tergamak mahu meniupkan api perkauman sempit. Betapa buruk dan jijiknya akhlak mereka yang mengadu domba atas nama agama, kaum dan bangsa. 

Bagi mereka, yang penting agama Islam terbela, Melayu di atas. 

Menteri merompak pun tidak mengapa, asalkan pandai membaca doa. Inilah kerosakan moral yang dihidapi sebahagian Melayu Islam hari ini. 

Pemikiran masyarakat kita perlu dicerahkan. 

Jadi siapakah yang betanggungjawab mengubah kerosakan moral semua ini?

Tentulah setiap diri kita bertanggungjawab. Bahkan, agamawan, mufti dan menteri agama wajib menegur penguasa dan masyarakat yang tidak beretika secara lantang dan terbuka. Bukan dengan menasihati secara berbisik-bisik di telinga. 

Jangan biarkan sikap pentingkan diri, kebodohan berfikir dan rasisme terus wujud dalam diri masyarakat kita. Kerana itu, Rahman mengkritik terjadinya masyarakat tidak beretika dek sikap penguasa dan agamawan yang bisu dalam menyampaikan pesan Quran yang sebenar. 

Agamawan gagal memandaikan masyarakat dengan kefahaman Quran yang betul, iaitu etika. Justeru, agamawan harus melaksanakannya di lapangan sosial. Beri pencerahan kepada masyarakat tentang betapa Islam menyanjung tinggi sikap kemanusiaan dan keadilan. 

Sebarkan bahawa Islam adalah agama cinta. Bukan kekerasan dan tidak perikemanusiaan.

Demikian krisis tersebut menandakan wacana etika Quran oleh Fazlur Rahman kekal relevan sehingga kini. Rahman menyedarkan kepada kita bahawa Quran sebagai al-huda (petunjuk etika) yakni sebagai penawar kepada kejahilan. 

Kerana itu, al-huda juga dimaksudkan sebagai jaminan mengembalikan tata sosial masyarakat yang adil dengan melindungi rukun kemaslahatan umum sejagat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. 

Perinsip etika dalam Quran

Kerosakan etika yang berkembang dalam masyarakat Melayu Islam hari ini adalah bukti kritikan Rahman berasas. Kritikan itu atas pertimbangan akal yang rasional supaya kemunduran tidak harus ada lagi pada masa hadapan. 

Jelas, pemikiran rasionalis Rahman pada tahun 60-an itu nyata mendepani zaman. 

Beliau percaya penyakit ini berpunca kerana tiada wacana kedewasaan Quran dalam masyarakat iaitu wacana etika daripada Quran berdasarkan akal rasionalis. 

Rahman dalam bukunya “Major Themes of The Qur’an” berkata Quran membentuk masyarakat beretika iaitu yang berpegang pada prinsip takwa yakni masyarakat atau komuniti yang saling mengasihi, menyebarkan kasih-sayang, dan menghormati kebebasan manusia. Masyarakat yang memelihara kemanusiaan sejagat dengan adil tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.  

Quran menekankan prinsip keadilan sosial. Semua orang sama diberi keadilan yang saksama. Tiada kasta dan kelas dalam tata sosial.

Rahman mengkritik kelompok agamawan yang membisu kerana malas menggunakan akal rasionalis dalam mengkaji Quran. Demikian, menurut beliau bahawa Quran tidak pernah diajar tanpa bantuan penjelasan iaitu ijtihad yang menggunakan akal. 

Maksudnya, beliau memungkinkan bahawa fenomena sejarah dan wahyu itu tidak berpisah – kontekstual memahami kehendak etika dalam Quran. 

Rahman menjalinkan hubungan realiti dan wahyu sebagai nyawa penyambungan kedewasaan Quran untuk terus bergerak melangkah maju mengikut kehendak zaman. Beliau mahu kaum Muslimin menyelongkar kekayaan tradisi Islam dengan mengkedepankan ijtihad masakini yang lebih segar. 

Bahasa mudahnya, Rahman mahu kita menyelongkar khazanah wahyu melalui dengan hanya pemikiran sendiri dan original, tanpa terikut-ikut terhadap gesaan-gesaan lain yang mencacatkan kebebasan, khususnya akal. 

Demikian bahawa kuatnya penekanan rasionalisme yang lebih praktis berbanding teori yang mahu dikemukakan dalam hal ini. Sebagaimana dijelaskan bahawa Quran memposisikan dirinya sebagai kitab petunjuk etika (al-huda) bagi manusia.

Jelas bahawa semua lapisan individu dalam masyarakat harus berpandukan semangat etika Quran. Masyarakat perlu dibimbing kefahaman Quran yang sebenar oleh agamawan yang kritis. 

Jangan sebab sikap selekeh agamawan, masyarakat jadi buta hati dan perut menilai kemanusiaan – zalim dan rosak akhlak.

Bertakwalah kepada Tuhan wahai para agamawan! – 30 April, 2020.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen