TIMBALAN Menteri Kesihatan I, Dr Noor Azmi Ghazali dan exco kerajaan Perak, Razman Zakaria mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Gerik hari ini atas dakwaan ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP), lapor media.
Mereka dihukum denda RM1,000 oleh mahkamah, lapor Bernama.
Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh menjatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing yang dibacakan secara serentak oleh jurubahasa mahkamah.
Mereka didakwa mengikut Peraturan-Peratuan Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperincikan larangan di bawah PKP.
Noor Azmi dan Razman dituduh bersama 13 yang lain, selepas makan jamuan di sekolah tahfiz milik Razman, yang juga ketua PAS negeri, di Lenggong, Perak, pada 18 April lalu.
Gambar itu kemudian dimuat naik di laman Facebook Noor Azmi, yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, tetapi kemudian dipadam selepas dikecam oleh orang ramai.
Mereka dikecam kerana gambar makan jamuan itu tular ketika kerajaan dari hari ke hari mengingatkan rakyat agar terus duduk di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Menurut Bernama, Noor Azmi dan Razman sebelum itu tiba di mahkamah pada 9.20 pagi.
Awal minggu lalu, Noor Azmi dan Razman meminta maaf kepada rakyat Malaysia susulan gambar mereka yang tular di media sosial.
Razman ketika itu menjelaskan sebagai exco negeri memang tugasnya setiap hari perlu turun padang melihat keperluan petugas di barisan hadapan melawan Covid-19, namun tidak mengabaikan standard operasi piawai (SOP).
“Dalam setiap tindakan, kami amat titik beratkan perihal SOP dan sekiranya ada tindakan kami yang dilihat melanggar SOP, Insya-Allah kami akan atasi,” katanya.
Noor Azmi meminta maaf sehari kemudian.
Minggu lalu juga, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah meminta pemimpin supaya menunjukkan contoh yang terbaik kepada rakyat dengan mereka sendiri mematuhi sepenuhnya segala arahan di bawah PKP.
Insiden makan jamuan itu juga mengundang komen bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengingatkan bahawa pemimpin tidak istimewa di sisi undang-undang.
PKP yang bermula pada 18 Mac lalu telah dilanjutkan untuk kali ketiga sehingga 28 April ini. – 28 April, 2020.
Komen