Dr M ingatkan pemimpin Perikatan tidak istimewa, perlu patuhi PKP


DR Mahathir menjadi pemimpin politik terbaru melontarkan kritikan terhadap pemimpin PN yang melanggar PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2020.

PEMIMPIN kerajaan perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menjadi pemimpin terbaru melontarkan kritikan terhadap pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“(Pemimpin) kerajaan patut tunjuk teladan yang baik. Mereka patut ikut peraturan-peraturan yang ditetapkan kerajaan sendiri.

“Tetapi mereka anggap diri mereka sebagai istimewa. Jadi tak payah mereka patuh kepada arahan kerajaan.

“Di Malaysia ini kita ikut kedaulatan undang-undang. Undang-undang tidak diskriminasi. Siapa pun mesti ikut undang-undang.

“Janganlah sesiapa anggap dirinya istimewa dan boleh ketepikan undang-undang,” katanya menerusi satu rakaman video yang disiarkan di Facebook malam ini.

Beliau berkata demikian selepas timbalan menteri daripada Bersatu mengundang kecaman ramai susulan gambarnya makan bersama beberapa individu di pusat tahfiz di Perak.

Tindakan Dr Noor Azmi Ghazali dikatakan melanggar arahan PKP yang melarang berhimpun secara terbuka di tempat awam.

Gambar tersebut dikongsi dalam laman Facebook miliknya sebelum dipadam. Malah akaun Facebook itu juga dipadam. – 18 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen