Razman minta maaf tular foto makan jamuan masa PKP


Razman Zakaria berkata setiap tindakan pihaknya melihat keperluan petugas barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19 amat menitikberatkan tentang Prosedur Operasi Standard. – Gambar Twitter, 19 April, 2020.

EXCO Perak Razman Zakaria meminta maaf kepada rakyat Malaysia selepas gambarnya tular makan jamuan bersama Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali di sekolah tahfiz di Lenggong, Perak, yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sekolah tahfiz itu diusahakan oleh Razman dan Noor Azmi dibawa melawatnya selepas satu majlis kementerian meninjau pusat kesihatan di kawasan berdekatan.

“Saya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat atas kekhilafan yang berlaku. 

“Pencerahan yang saya berikan ini bukan untuk dikecualikan daripada tindakan undang-undang tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Razman bagaimanapun tidak menjawab insiden makan jamuan yang mencetuskan kecaman dan dan cemuhan umum di media sosial, termasuk teguran oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad semalam.

Insiden ini berlaku ketika kerajaan dari hari ke hari memberi amaran tindakan keras kepada mereka yang ingkar PKP.

Razman menjelaskan sebagai exco negeri memang tugasnya setiap hari perlu turun padang melihat keperluan petugas di barisan hadapan melawan Covid-19, namun tidak mengabaikan standard operasi piawai (SOP).

“Dalam setiap tindakan, kami amat titik beratkan perihal SOP dan sekiranya ada tindakan kami yang dilihat melanggar SOP, Insya-Allah kami akan atasi,” katanya.

Razman adalah Adun Semanggol, merangkap pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil dalam kerajaan Perak, yang diambil alih oleh Perikatan Nasional pada awal Mac lalu.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata pihak polis akan menyiasat insiden itu selepas menerima laporan kejadian.

“Tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang. Itu asasnya. Saya difahamkan sudah ada laporan polis dilakukan. Kita serah pada pihak polis,” katanya.

Ketua Polis Perak Razarudin Husain pula berkata pihak polis akan memanggil mereka yang terlibat.

“Bagaimanapun, berdasarkan gambar majlis makan yang tular, semua individu termasuk Dr Noor Azmi didapati duduk dalam keadaan berjarak antara satu sama lain.

“Namun, siasatan tetap akan dilakukan terhadap semua individu yang menghadiri majlis berkenaan,” katanya

Semalam juga Dr Mahathir mengingatkan pemimpin kerajaan supaya patuh arahan PKP dan mereka tiada keistimewaan di sisi undang-undang.

“(Pemimpin) kerajaan patut tunjuk teladan yang baik. Mereka patut ikut peraturan-peraturan yang ditetapkan kerajaan sendiri.

“Tetapi mereka anggap diri mereka sebagai istimewa. Jadi tak payah mereka patuh kepada arahan kerajaan,” katanya. – 19 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen