TIMBALAN Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali memohon maaf kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas hadir ke sebuah maahad tahfiz di Lenggong, Perak.
Menurutnya, beliau telah memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini.
“Saya memohon maaf dan mengakui kekhilafan berhubung kehadiran di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, Perak pada 17 April 2020, Jumaat lalu ketika lawatan rasmi ke Klinik Kesihatan Lenggong untuk meninjau situasi semasa petugas kesihatan di sana yang menjalankan tanggungjawab menangani wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.
“Saya menghargai pengorbanan besar yang dilakukan oleh barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, warga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi-agensi kerajaan lain yang terlibat menangani wabak Covid-19 ini.”
Beberapa gambar dimuat naik Dr Noor Azmi di Facebook mengenai lawatan di maahad tahfiz itu tular di media sosial dan status berkenaan kemudian mendapat reaksi pelbagai pihak yang mendakwa beliau melanggar PKP, Jumaat lepas.
Gambar berkenaan kemudiannya diturunkan sebelum akaun Facebook berkenaan dipadamkan selepas itu.
Bagaimanapun, gambar berkenaan dimuat naik oleh pengguna media sosial.
Permohonan maaf Dr Noor Azmi itu dibuat selepas Exco Perak Razman Zakaria turut memohon maaf berhubung perkara itu.Razman yang juga Adun PAS memberitahu The Malaysian Insight, ia hanyalah jamuan kepada petugas dan juga timbalan menteri yang singgah ke maahad tersebut.
Jelasnya lagi, masalah timbul apabila pengurus Maahad Tahfiz Al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah di Lenggong itu menghidangkan makanan untuk dimakan beramai-ramai.
“Sepatutnya buat bufet. Ambil dan makan seorang-seorang… Tetapi pengurus maahad hidang untuk ramai-ramai, hidang sederet macam itu,” katanya.
Dakwanya, hidangan itu kemudiannya tidak dapat ditolak.
“Bila dah sedia (makanan) takkan nak kata tak boleh, tak kena,” kata Razman lagi.
Bagaimanapun, setiap individu tersebut dijarakkan satu meter antara satu sama lain, katanya lagi yang berharap agar isu tersebut dilihat secara positif.
Beliau juga telah memberi keterangan kepada polis berhubung perkara itu. – 20 April, 2020.
Komen