Rohingya dan kesucian Ramadan 


Mohd Syazreen Abdullah

TIDAK ada nikmat lebih bernilai menyambut Ramadan kali ini melainkan hidup dalam suasana cinta dan harmoni. Suasana wabak Covid-19 yang menimpa dunia hari ini sepatutnya menjadikan kita lebih menginsafi segala setiap perkara yang terjadi dalam masyarakat di sekeliling. 

Kita harus lebih peka terhadap kesusahan menimpa orang-orang yang dalam kesusahan. Tidak kiralah agama, bangsa dan siapa pun. Termasuk saudara kita yang diuji seperti pelarian Syria, Iraq, Yaman, Rohingya dan lain-lain. 

Syeikh Muhammad Abduh dalam Tafsir al-Manar menafsirkan ayat mengenai berpuasa di bulan Ramadan itu melahirkan kesamarataan yang tiada beza antara orang kaya dengan orang miskin. 

Tiada perbezaan jurang antara raja, penguasa, menteri dengan rakyat jelata. Semuanya merasai lapar dan dahaga. Semuanya sama di sisi Tuhan ketika melaksanakan perintah kewajiban. 

Tidak ada pengecualian bahawa yang miskin sentiasa lapar dan orang kaya sentiasa kenyang. Konsep kesamarataan dan keadilan ini menjadikan kita untuk terus saling mengasihi sesama manusia. 

Pesan Nabi Muhammad SAW, berbuat baik dan berlaku ihsan kepada semua manusia tanpa mengira agama dan bangsa.  Justeru, agama ajaran baginda tidak menjurus kepada kezaliman seperti menindas, menghina dan mencabul kemanusiaan. 

Kisah saling mengasihi ini kita boleh jumpa melalui kata-kata yang telah diungkapkan oleh Huzaifah: 

“Aku telah bertolak ke tempat berlakunya Peperangan Yarmouk untuk mencari sepupuku yang kesakitan dan kehausan untuk kuberikan kepadanya air yang ada bersama-samaku. Apabila aku dapat menemuinya, lantas aku memberikannya air. 

Sedang sahaja sepupuku itu hendak meneguk air, maka dia terdengar suara seorang muslim yang mengaduh kehausan, maka sepupuku lantas menyuruhku agar memberi minum orang itu dahulu. 

Aku pergi kepada orang itu dan aku dapati dia adalah Hisyam Bin al-As. Apabila Hisyam hampir sahaja meneguk air tersebut, maka terdengar oleh Hisyam suara sahabat seperjuangan yang lain mengaduh kehausan, maka Hisyam pun menyuruhku untuk pergi dan memberikan air kepada orang itu dahulu. 

Aku pun pergi kepadanya dan belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid. 

Aku berpatah balik kepada Hisyam, dan aku dapati dia juga telah syahid. 

Kemudian aku pergi pula kepada sepupuku tetapi belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid”. 

Barangkali yang terjadi baru-baru ini, penghentaman, cacian dan hinaan kepada saudara pelarian kita seperti Rohingya itu seolah-olah kita sudah melupakan kisah seperti di atas. Kisah ajaran Nabi kepada kita untuk saling mendahulukan orang yang susah dan melindungi sesama manusia atas dasar kemanusiaan. 

Nabi tidak mengajar umatnya menjadi xenophobic dan sifat membenci pelarian seperti ditunjukkan sebahagian masyarakat Melayu Islam hari ini yang berhujah atas perkauman sempit. Sehingga mengheret atas nama agama. 

Islam bukan begitu. Islam yang diajar oleh Nabi adalah Islam yang mementingkan sikap berkemanusiaan. Terbit daripada kedalaman hati nurani yang jernih. Ianya tidak lahir dari kelompongan rohani. Ia bukan dibuat-buat atas nama badan-badan tertentu. Juga bukan direka-reka mempunyai perasaan kasih dan empati kepuraan terhadap kemanusiaan. 

Fitrah kemanusiaan

Kerana itu, kemanusiaan tidak akan muncul tanpa sifat kerendahan di lubuk hati. Perkara ini sebahagian daripada sunnahtullah. Yang merupakan ikatan antara Tuhan dan hamba-Nya dalam perjanjian azali. Antara perkara perjanjian itu adalah memberikan keadilan dan meninggikan kemanusiaan. 

Justeru, dua perkara menjadi titik temu lahirnya rasa kemanusiaan. Pertama adalah hanif. Kedua, fitrah. 

Hanif adalah sikap berlapang dada dalam menerima kepelbagaian yang wujud dalam hidup kita. Maknanya, kata hanif ialah seseorang yang memilih jalan ketundukan dan patuh kepada Tuhan atas rasa berkongsi Tuhan yang satu. Tidak ada yang mendabik bangsa dan agama tertentu dapat memisahkan jurang kemanusiaan. Tidak memilih bulu dan darjat seseorang. 

Semua agama memiliki kehanifan, kerana semua manusia diikat kepada satu Tuhan. Maka, jiwanya tidak mengikat melainkan menuju kedamaian. 

Begitu juga fitrah. Sebuah naluri yang tidak akan bertentangan dengan hal-hal yang baik dan suci. Ia lahir dari kehendak melakukan kebaikan. Fitrah tidak lahir pada perilaku egois, elitis dan angkuh. 

Jadilah masyarakat yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi. Semua orang sama. 

Fitrah tidak menghukumi darjat seseorang. Sebaliknya, ianya meluruskan kesedaran moral dan rohani seseorang terhadap tanggungjawab sosial.

Berhenti sebarkan kebencian

Realitinya, tiada siapa yang mahu dilahirkan menjadi pelarian, mangsa penindasan daripada catur kepentingan penguasa zalim seperti yang dilalui oleh saudara Syria, Iraq, Yaman, Rohingya.

Dengan itu, Islam melarang kita untuk mengabaikan hak-hak kebebasan dan jaminan perlindungan kehidupan mereka. Semua orang berhak mendapat kehidupan yang baik. Dilayan dengan dengan manusiawi. Sepertimana tindakan Nabi ketika melayani kehidupan masyarakat di Madinah menjadi bertamadun dengan mengangkat ketinggian nilai kemanusiaan.

Nabi memupuk sikap insani setiap warga komuniti. Tidak ada dalam lembaran sirah Nabi menyebarkan kebencian dan bersikap xenophobic.

Marilah kita saling mengasihi kerana kasih itu berasal dari Tuhan.

Barangsiapa yang tidak mengasihi, bermakna dia tidak mengenal Tuhan. Itulah hikmah bahawa Nabi mengajar umatnya menyemai benih kemanusiaan dahulu dalam apa jua situasi.

Hal ini disikapi Rasulullah SAW yang lebih mengutamakan urusan menjaga silaturahim, menjaga nyawa, dan keselamatan, kemudian barulah menyebutkan perihal agama dan lain-lain. Walaupun inti risalah adalah tauhid tetapi baginda mendahulukan urusan kemanusiaan.

Contoh mudah bagaimana hadis “sebarkan salam, memberi makan, menyambung ikatan tali persaudaraan, bangunlah solat malam maka kamu akan masuki Syurga”.

Nabi menyebutkan solat pada akhir hadis setelah menyebutkan berbagai-bagai hal berhubung kemanusiaan terlebih dahulu. Jelas, baginda mendahulukan rasa kemanusiaan kemudian baru solat.

Keimanan yang humanis

Demikian, ketakwaan kepada Tuhan adalah dengan mempamerkan kebaikan dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang mengalami kesusahan, termasuklah mengasihi orang- orang yang dalam kesempitan dan ditindas.

Buanglah sikap memandang rendah dan hina terhadap sesama manusia yang berbeza warna kulit, agama dan bangsa. Bahkan, tidak berkurangnya martabat kemanusiaan seseorang sekalipun menjadi pelarian. Jangan meniru perangai jahiliyyah.

Begitulah Ramadan sebagai medan menyucikan diri meninggikan darjat keimanan seseorang. Nilai-nilai Islam harus dihayati. Jangan biarkan keimanan kita kekal berada ditakuk yang lama. Sebaliknya, dengan menghayati dan melaksanakan pesan kemanusiaan dapat meningkatkan keimanan kita yang lebih tinggi daripada sekadar berpuasa menahan lapar dan dahaga.

Semoga Ramadan kali ini dapat menyucikan diri kita daripada terus dibelenggu penyakit jahiliyyah seperti rasisme yang selalu kita laungkan. Inilah masanya, untuk kita berubah di bulan Ramadan yang mulia.

Bukan sahaja menjadikan kita sebagai Muslim yang saleh secara peribadi yang tahu berpuasa, solat dan membaca Quran, tetapi Muslim yang menitikberatkan soal kemanusiaan dan meringankan kesusahan orang lain. – 25 April, 2020.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen