Kaji selidik Singapura tak betul, aktivis bahasa tolak sekolah Inggeris


Nabihah Hamid

Aktivis bahasa Melayu mempersoalkan integriti ISEAS-Yusof Ishak Institute di Singapura berhubung dapatan kaji selidiknya dan menegaskan ia tidak menggambarkan kehendak warga Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2017.

KAJI selidik Singapura yang menunjukkan rakyat Johor menyokong sekolah aliran Inggeris tidak betul, kata aktivis bahasa Melayu, yang menegaskan mereka menentang sebarang usaha untuk menggantikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah.

Bekas penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI, Prof Dr Shaharir Mohamad Zain mempersoalkan integriti kajian oleh ISEAS-Yusof Ishak Institute di Singapura yang mendapati 82% responden menyokong sekolah aliran Inggeris.

“Kajian itu tidak menunjukkan peratusan masyarakat bandar dan luar bandar. Kalau dia buat di sekitar Johor Baru misalnya, ia tidak bermakna menggambarkan kehendak rakyat Johor,” kata Shaharir kepada The Malaysian Insight.

“Kenapa Singapura yang menjalankan kajian? Dan kenapa hanya 55% kaum Melayu sahaja? Sepatutnya sekurang-kurangnya 60% Melayu.

“Betul atau tidak kajian tersebut, saya menentang penubuhan sekolah aliran Inggeris tetapi saya menyokong usaha memperkasakan bahasa Inggeris,” tambahnya.

Kaji selidik itu dijalankan sekitar Mei dan Jun, melingkupi 2,011 responden berumur 18 tahun ke atas yang tinggal di Johor dan ditemuramah melalui telefon.

Mereka yang ditemuramah meliputi 1,104 (55%) responden Melayu, 758 (38%) Cina dan 149 (7%) India.

“Saya hormati pihak yang menjalankan kajian ini.  Tetapi, saya kurang tertarik dengan dapatannya,” kata Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Ruhanie Ahmad.

“Pertama, apakah tujuan kajian tersebut. Kedua, kenapa kajian ini hanya menerusi telefon. Ketiga, sejauh mana dan seluas manakah responden yang dihubungi oleh pengkaji,” katanya kepada The Malaysian Insight, menerusi aplikasi WhatsApp.

Kajian ISEAS itu meliputi pandangan rakyat Johor mengenai identiti Bangsa Johor, persoalan “satu sekolah untuk semua”, pengenalan sekolah aliran Inggeris serta sikap terhadap keluarga diraja Johor.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam beberapa titahnya sebelum ini menarik perhatian tentang tahap penguasaan bahasa Inggeris yang rendah dalam kalangan rakyat di negara ini dan menggesa kerajaan memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris.

Baginda turut menyelar pemimpin politik yang bersikap talam dua muka kerana mempolitikkan sekolah kebangsaan “untuk jadi hero” tetapi pada masa sama menghantar anak ke sekolah asrama di United Kingdom dan Australia.

Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Wan Ramli Wan Daud berkata sekolah aliran Inggeris tidak mampu memperkasa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat dan ia bukan kayu ukur kemajuan negara.

“Jika dilihat Zimbabwe dan Nigeria, negara mereka tidak maju juga,” katanya.

Wan Ramli juga tidak setuju dengan pandangan yang sistem pendidikan aliran Inggeris di Singapura lebih baik, berbanding dengan Malaysia.

“Kalau sistem pendidikannya baik, berapa ramai saintis yang mereka lahirkan?

“Ya, betul ramai pekerja mereka fasih berbahasa Inggeris tapi bagaimana pula dengan jati diri? Mereka ada masalah budaya,” katanya lagi.

Wan Ramli bagaimanapun mengingatkan pendiriannya itu bukan bermakna aktivis bahasa Melayu menolak penggunaan bahasa Inggeris.

“Kita tidak kata tidak usah belajar bahasa Inggeris. Saya bukan pejuang bahasa Melayu yang totok tetapi bagi saya bahasa Inggeris perlu diajar melalui subjeknya.

“Lagipun tidak adil juga bagi guru-guru kerana mereka sudah sebati dengan bahasa Melayu (di sekolah),” katanya.

Sekolah aliran Inggeris dimansuhkan secara berperingkat mulai 1968 dan mansuh sepenuhnya mulai 1982. Sejak itu, ia cuma diajar sebagai mata pelajaran wajib bagi semua peringkat sekolah.

Dr Mahathir Mohamad pada tahun-tahun akhir beliau sebagai perdana menteri memperkenalkan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Selepas mendapat bantahan yang meluas, dasar itu dimansuhkan pada 2012.

Dalam pada itu, Dr Shaharir menambah kerajaan perlu konsisten dan tetap pendirian dalam melaksanakan sistem pendidikan untuk rakyat Malaysia.

“Saya percaya pemahaman pembelajaran adalah berasaskan bahasa ibunda. Ini terbukti dengan seluruh dunia. Bagi saya kerajaan yang masih berdolak-dalik.

“Kerajaan masih tidak pasti dan tidak ada pendirian dan konsep kukuh untuk memajukan bangsa Malaysia,” katanya.

Shaharir merujuk kepada negara seperti China, Jepun dan Jerman yang memperkasakan bahasa ibunda dalam pendidikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan pada Isnin berkata Malaysia wajar mempertimbangkan cadangan untuk mengembalikan sekolah aliran Inggeris bagi meningkatkan daya saing tenaga kerja negara untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0.

“Jika kita ada sekolah Cina, Tamil, sekolah agama, pelbagai sekolah, sekolah antarabangsa, sekolah swasta, apa salahnya ada sekolah Inggeris?

“Kita tak boleh lari daripada realiti yang bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang akan memberikan kelebihan daya saing kepada anak muda kita berbanding orang lain.

“Malaysia pernah dianggap sebuah negara yang tinggi celik bahasa Inggerisnya dan sekarang ramai kata graduan kita tak mahir berbahasa Inggeris,” kata ahli Parlimen Kota Belud itu. – 22 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • "Wan Ramli juga tidak setuju dengan pandangan yang sistem pendidikan aliran Inggeris di Singapura lebih baik, berbanding dengan Malaysia.

    "Kalau sistem pendidikannya baik, berapa ramai saintis yang mereka lahirkan?"

    Setuju..sangat2 kita tak boleh pinggirkan bahasa inggeris tapi dengan menganggao bahasa inggeris pemamgkin.bagi kecermelangan adalah satu yang bersifat fantasi..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan

  • mestilah x betul bukan prof2 kangkung bin punggung yg buat survey

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan