Kembalikan sekolah aliran Inggeris, kata menteri


Gan Pei Ling

Jika kita ada sekolah Cina, Tamil, sekolah agama, pelbagai sekolah, sekolah antarabangsa, sekolah swasta, apa salahnya ada sekolah Inggeris?, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2017.

MALAYSIA perlu pertimbang untuk mengembalikan sekolah aliran Inggeris bagi meningkatkan daya saing tenaga kerja negara untuk berdepan Revolusi Industri 4.0, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan.

“Jika kita ada sekolah Cina, Tamil, sekolah agama, pelbagai sekolah, sekolah antarabangsa, sekolah swasta, apa salahnya ada sekolah Inggeris?

“Kita tak boleh lari daripada realiti yang Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang akan memberikan kelebihan daya saing kepada anak muda kita berbanding orang lain.

“Malaysia pernah dianggap sebuah negara yang tinggi celik Bahasa Inggerisnya dan sekarang ramai kata graduan kita tak mahir Bahasa Inggeris.

“Tetapi saya juga faham untuk kita mencapai perkara ini semua pihak perlu bersuara, bukan ahli politik sahaja. Kerana apabila kita bercakap tentang sekolah Inggeris, ia boleh dipolitikkan,” katanya kepada wartawan pada “Future of Work, Workplace, Workforce Conference” di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur hari ini.

Beliau ditanya jika kerajaan akan mempertimbangkan mengembalikan semua sekolah aliran Inggeris untuk memenuhi cabaran saintifik dan teknologi yang akan dibawa Revolusi Industri 4.0.

Lebih separuh daripada pekerjaan di Malaysia (54%) berisiko tinggi hilang kerana kemunculan teknologi dalam beberapa dekad akan datang menurut kajian dikeluarkan Khazanah Research Institute, kata Rahman dalam ucap tamanya.

“Lebih 70% pekerjaan separa mahir dan 80% pekerjaan tidak mahir di seluruh sektor ekonomi berdepan risiko,” katanya menambah yang 90% pekerjaan separa mahir dipegang rakyat Malaysia.

Rahman mengatakan isu bahasa perantara di sekolah mudah dipolitikkan dan persatuan ibu bapa dan badan bukan kerajaan perlu bersuara sekiranya mereka mahu sekolah aliran Inggeris dikembalikan.

Skor pelajar Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) walaupun meningkat tahun demi tahun masih jauh ketinggalan di belakang purata global untuk matematik, pembacaan dan sains beberapa tahun ini.

Sekolah aliran Inggeris di Malaysia dihapuskan berperingkat selepas rusuhan pasca Pilihan Raya Umum 1969. Ia dihapuskan seluruhnya pada penghujung 1982.

Kerajaan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003 dalam usaha meningkatkan kefasihan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tetapi dasar itu dibatalkan pada 2012 kerana bantahan awam.

Cadangan memperkasakan Bahasa Inggeris sekali lagi timbul pada 2013 apabila menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin mahu menjadikan ia mata pelajaran wajib lulus dalam SPM menjelang 2016 tetapi tidak menjadi kenyataan apabila beliau dipecat daripada Kabinet pada Julai 2015.

Istilah Revolusi Industri 4.0 atau Industri 4.0 mula-mula diperkenalkan oleh Jerman dalam cubaan mereka untuk menyatukan aspek “cloud dan cognitive computing”, antara lainnya dalam  “kilang pintar” untuk mengekalkan kedudukan negara itu sebagai peneraju dalam sektor pembuatan.

Pembuatan adalah sektor kedua terbesar di Malaysia (22.8% KDNK) selepas sektor perkhidmatan (54.2% KDNK) pada suku pertama tahun ini, diikuti perlombongan (9%), pertanian (7.8%) dan pembinaan (4.8%). – 20 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen