60 tahun merdeka, sekolah masih bergelut soal bahasa


Looi Sue-Chern

MENELITI perkembangan sistem pendidikan Malaysia dalam tempoh enam dekad lalu, kita akan melihat bagaimana Bahasa Melayu kuat mempengaruhi dasar pelajaran negara.

Namun, harapan ia akan jadi bahasa penyatu bagi tujuan pembinaan negara melalui sistem pendidikan masih tinggal harapan. Malah dalam konteks prestasi akademik, Malaysia masih tidak melepasi garis pangkal penilaian antarabangsa dalam subjek matematik, sains dan membaca.

“Sejak zaman British lagi, memang selalu ada pertembungan pendapat tentang soal bahasa,” kata Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Pada tahun-tahun menjelang Merdeka, ada cadangan untuk “menyatukan” sekolah pelbagai aliran di negara ini yang menggunakan bahasa dan sukatan pelajaran yang berbeza.

Tetapi kata Zairil, semua cadangan ada bantahan kerana setiap kelompok masyarakat berasa mereka akan rugi.

Penyata Razak — yang dinamakan sempena Menteri Pelajaran pada masa itu, Abdul Razak Hussein — adalah batu tanda penyelarasan sistem pendidikan kebangsaan. Ia menyatukan semua sekolah, menjadikan sekolah-sekolah yang dikenali dengan nama “sekolah kebangsaan” atau “sekolah jenis kebangsaan”.

“Masyarakat Cina dan India kecewa kerana mereka hilang pendidikan menengah vernakular. Orang Melayu juga tidak gembira dengan penonjolan sekolah aliran Bahasa Inggeris kerana merasakan ia ‘terlalu keinggerisan dan tidak cukup Melayu’,” katanya.

Selepas rusuhan kaum Mei 1969, sekolah aliran Bahasa Inggeris terkena tamparan dengan perubahan yang berlaku dalam kerajaan. Menteri Pelajaran ketika itu, Mohd Khir Johari, ayah Zairil yang cenderung kepada sekolah aliran Bahasa Inggeris, diganti.

Abdul Rahman Ya’kub dari Sarawak, rakan baik Razak, jadi menteri pelajaran yang baru. Beliau kemudian mengumumkan sekolah aliran Bahasa Inggeris akan dibubar secara berperingkat, bermula dengan menghentikan pengambilan darjah satu pada Januari 1970.

Menjelang akhir 1982, peralihan itu pun sempurna. Dasar yang turut mengenakan syarat wajib lulus Bahasa Melayu untuk dapat sijil tamat sekolah itu kemudiannya memberikan kesan kepada guru, pelajar dan akhir sekali, tahap pendidikan.

Zairil melihat penghapusan pendidikan aliran Bahasa Inggeris dan pelbagai dasar pendidikan lain yang diperkenalkan dari tahun ke tahun semuanya berbaur politik.

“Orang politik mempunyai kuasa yang terlalu banyak dalam soal pendidikan. Setiap kali ada menteri pelajaran yang baru, yang mungkin bukan ahli dalam bidang pendidikan, kita akan ada dasar baru yang mesti diikut.

“Banyak keputusan berubah-ubah. Kita lihat dalam isu PPSMI, penilaian berasaskan sekolah dan wajib lulus Bahasa Inggeris dalam SPM,” kata jurucakap Parlimen DAP bagi bidang pendidikan itu.

Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris  (PPSMI) diperkenalkan pada 2003 oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad bertujuan memastikan Malaysia boleh bersaing dengan dunia dengan menguasai ilmu dalam dua bidang itu yang umumnya berkembang dalam Bahasa Inggeris.

Ia dilancarkan tetapi kemudian dihentikan pada 2012 selepas mendapat bantahan, dan dua matapelajaran itu kembali diajar dalam Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan.

Cadangan menteri pendidikan ketika itu Muhyiddin Yassin pada 2013 untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus wajib dalam SPM menjelang 2016 tidak berlaku selepas pemecatannya daripada Kabinet Perdana Menteri Najib Razak pada Julai 2015.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, pencapaian Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa), biarpun meningkat dari tahun ke tahun, masih di bawah purata global bagi matematik, sains dan membaca.


Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata penghapusan pendidikan aliran Bahasa Inggeris dan pelbagai dasar pendidikan lain yang diperkenalkan mempunyai elemen politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2017.

Desentralisasi pendidikan

Zairil menarik perhatian dasar pendidikan jangka panjang selalu berubah-ubah setiap beberapa tahun sebelum membuahkan hasil — masalah yang sangat ketara dalam sistem pendidikan Malaysia yang sangat berpusat.

Katanya, hal ehwal pelajaran seperti sukatan pelajaran dan peperiksaan sewajarnya diserahkan kepada badan pengurusan profesional yang bebas untuk menentukan, manakala kementerian hanya mengendalikan soal dana dan memastikan sistem yang dilaksanakan memenuhi piawaian.

“Putrajaya tidak patut mengawal dan mengatur dasar yang terpakai kepada semua 10,000 buah sekolah, setengah juta orang guru dan lima juta pelajar tanpa mengambil kira keperluan dan keadaan yang berbeza,” katanya.

“Pada tahun 1990-an, pembaharuan pendidikan yang berjaya di banyak negara barat termasuklah memencarkan sistem pendidikan. Kuasanya perlu diagih-agihkan supaya pendidikan berkembang,” katanya.

Di Malaysia, sekolah bebas Cina dengan lembaga pengelolanya sendiri sudah menunjukkan kejayaan, kata Zairil.

“Kita nampak ada infrastruktur yang lebih baik. Pengetua dan guru juga tidak boleh untuk tidak melakukan yang terbaik kerana mereka harus jawab pada ibu bapa dan pemimpin masyarakat yang berpengaruh dalam lembaga sekolah.

“Sekiranya ibu bapa ada suara dalam soal pendidikan dan duduk dalam lembaga pengelola di sekolah, mereka akan buat keputusan yang terbaik untuk anak-anak,” tambah Zairil.

Penganalisis politik dan sosial Dr Wong Chin Huat juga menyokong liberalisasi sistem pendidikan ini. Katanya kerajaan patut menghormati kuasa pasaran dalam menyediakan pendidikan dan pada masa sama menyokong pelajar yang lemah di semua sekolah dan aliran bagi memastikan mereka tidak tercicir.

“Sistem pendidikan kita setakat ini, termasuk pelan tindakannya, berpegang pada kawalan dan bukannya persaingan, dan menjadikan isu pelbagai bahasa sebagai alasan untuk tidak menangani kesan pendidikan kepada kelas masyarakat.

“Kita mesti beralih untuk menyambut baik persaingan dan kepelbagaian, dan menonjolkan penyertaan sosial, yang pasti menjamin perpaduan nasional,” katanya.

Dr Wong Chin Huat menggesa kerajaan menghormati kuasa pasaran dalam menyediakan pendidikan dan pada masa sama menyokong pelajar yang lemah di semua sekolah dan aliran bagi memastikan mereka tidak tercicir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2017.

Menurut Wong, sekolah aliran kebangsaan tidak berjaya mencapai hasrat kerajaan untuk pembinaan bangsa, dan tidak lagi menjadi sekolah pilihan bagi keluarga yang berkemampuan yang cenderung memasukkan anak ke sekolah swasta.

Memetik data 2013, beliau berkata sekolah kebangsaan yang menerima paling banyak dana masih tidak dapat menarik orang bukan Melayu berbanding sekolah jenis kebangsaan yang “dengan sengaja diabaikan” oleh kerajaan.

“Aliran keluar beramai-ramai pelajar dari sekolah aliran Melayu ke sekolah vernakular dan dari sekolah kebangsaan ke sekolah swasta serta antarabangsa menunjukkan secara umumnya kemerosotan dalam sistem pendidikan di Malaysia,” katanya.

Oleh sebab sekolah jenis kebangsaan yang baru tidak boleh dibuka, Wong berkata sesetengah sekolah yang baik jadi sesak padat seperti SJKC Kuo Kuang di Johor yang pernah mempunyai 5,000 murid.

Katanya lagi sekolah vernakular sejak beberapa tahun ini juga menyaksikan kemasukan yang lebih berbilang kaum berbanding di sekolah kebangsaan yang 90% muridnya Melayu.

“Apa yang tidak ditonjolkan oleh laporan rasmi ialah sekolah aliran Cina ini sudah jadi lebih kebangsaan dari segi profail demografi muridnya dengan lebih 10% murid bukan Cina berbanding hanya 6% murid bukan Bumiputera di sekolah aliran Melayu,” kata Wong.

Ketika sekolah jadi lebih seragam sifatnya, Pelan Tindakan Pendidikan Kebangsaan 2006-2010 cuba menangani isu polarisasi kaum di sekolah. Pada 2007, projek perintis mata pelajaran Bahasa Cina dan Tamil di sekilah kebangsaan dimulakan di 220 buah sekolah dengan harapan ia akan dapat menarik kemasukan lebih ramai murid bukan Melayu.

Menurut Wong, keadaan hari ini masih tidak berubah, sehingga boleh dikatakan impian membina bangsa melalui persekolahan satu aliran iaitu Bahasa Melayu sudah terpadam.

“Malaysia boleh pilih sama ada lupakan cerita Bahasa Melayu jadi satu-satunya bahasa pengantar atau benarkan sekolah pelbagai aliran untuk wujud dan bersaing,” katanya. – 4 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen