Pemuda Negara bukan parti politik, kata Afif Bahardin


Zaim Ibrahim

Pemuda Negara muncul di platform media sosial, memaparkan poster Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin bersama bekas timbalan ketua pemuda PKR Muhammad Hilman Idham. – Gambar Facebook, 17 April, 2020.

PEMUDA Negara bukan sebuah parti politik sebaliknya wadah baharu untuk menggalakkan demokrasi dan hubungan sesama rakyat yang merentas perbezaan kaum dalam kalangan anak muda Malaysia, kata Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin.

Wadah itu muncul ketika ada desas-desus sebuah parti politik sedang dibentuk untuk bekas pemimpin PKR dan Bersatu dalam Perikatan Nasional.

Dr Afif bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, Pemuda Negara tidak terikat dengan politik kepartian.

“Saya nafikan Pemuda Negara sebuah parti baharu. Ini sebuah badan masyarakat yang saya mahu buat untuk anak-anak muda.

“Pemuda Negara adalah platform untuk galakkan belia 18 tahun ke atas faham politik, khususnya politik pelbagai kaum dan demokrasi, yang saya telah lama perjuangkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, Pemuda Negara mahu mengisi kekosongan wadah untuk belia selepas kepimpinan politik dilihat kurang ruang untuk mendekati golongan itu.

“NGO mana boleh jadi parti politik,” tambahnya.

Beliau juga enggan mengulas kemungkinan badan itu ditukar menjadi parti politik suatu hari nanti.

“Itu saya tak nak komen. Setakat ini Pemuda Negara tetap sebuah NGO,” katanya.

Dr Afif berkata demikian ketika diminta mengulas kemunculan Pemuda Negara di platform media sosial Facebook, Twitter dan Instagram, sejak semalam, yang memaparkan poster beliau bersama bekas timbalan ketua pemuda PKR Muhammad Hilman Idham.

Semakan menunjukkan akaun media sosial ini dibuka semalam (Khamis, 16 April).

Di Twitter dan di Instagram, akaun itu diikuti oleh empat orang iaitu Dr Afif dan pegawainya, Haissazc Shuqkin Hisham, serta Hilman dan bekas ketua cabang Kepong, Naim Brundage.

Hilman dan Naim adalah antara 27 pemimpin PKR yang diumum telah keluar parti atau dipecat sejak pengkhianatan kerajaan Pakatan Harapan, setakat 11 Mac lalu.

Hilman adalah juga setiausaha politik kepada Menteri Kanan (Ekonomi) Mohamed Azmin Ali. Beliau adalah antara 27 pemimpin PKR yang dipecat atau keluar parti sejak Pakatan Harapan tidak lagi jadi kerajaan di Putrajaya, sejak 24 Februari lalu.

Ditanya mengenai kedudukannya dalam parti, Dr Afif berkata setakat hari ini beliau masih ahli PKR.

Pada 4 Mac lalu, beliau letak jawatan exco kerajaan Pulau Pinang, yang difahamkan atas desakan dan tekanan pucuk pimpinan PKR di Kuala Lumpur. 

“Saya ada dengar maklumat daripada beberapa ahli parti mengatakan saya dipecat. Tetapi sehingga hari ini saya tidak terima apa-apa update pasal status keahlian saya,” katanya.

Sementara itu, Dr Afif berkata Setiausaha Agung parti Saifuddin Abdullah juga tidak memaklumkan apa-apa kepadanya semasa mereka bertembung di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, hari ini.

Pengerusi Lembaga Disiplin Ahmad Kasim yang dihubungi The Malaysian Insight meminta isu kedudukan Dr Afif dirujuk kepada Saifuddin. 

Saifuddin yang dihubungi bagaimanapun tidak memberi sebarang respons. – 17 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen