Afif letak jawatan exco, umum KM Pulau Pinang


Zaim Ibrahim

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengesahkan Adun PKR Dr Afif Bahardin meletak jawatan exco kesihatan, pertanian, dan pembangunan luar bandar.

Chow berkata bekas timbalan ketua Pemuda PKR itu menyerahkan surat peletakan jawatan dalam satu pertemuan antara mereka berdua pagi tadi, sebelum Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri diadakan.

“Saya ingin mengumumkan pada pagi ini Exco Kerajaan Negeri Dr Afif Bahardin telah mengadakan pertemuan dengan saya sebelum Mesyuarat Exco bermula iaitu pada jam 8.15 pagi.

“Dalam pertemuan kita ada bincang tentang perubahan politik yang berlaku dan seterusnya Dr Afif telah nyatakan beliau akan meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkuat kuasa 4 Mac, hari ini,” jelasnya.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media di Georgetown, Pulau Pinang.

Sumber bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, Afif – yang diketahui menyokong bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali – diarahkan letak jawatan oleh Chow atas desakan pimpinan PKR di Kuala Lumpur, kata seorang sumber.

Mengulas lanjut, Chow berkata Afif yang kini dalam siasata Lembaga Disiplin PKR hanya meletak jawatan sebagai exco dan kerusi DUN Seberang Jaya itu kekal sebagai kerusi Pakatan Harapan (PH).

“Seperti dimaklumkan Dr Afif sekarang hadapi siasatan kes disiplin dalam parti dan belum ada keptusan.

“Dia masih Adun PKR, jadi tidak timbul paksaan daripada mana-mana pihak,” jelasnya.

Chow juga tidak menyatakan sebab sebenar Afif meletakkan jawatan.

“Saya tahu Dr Afif akan mengadakan sidang media, mungkin beliau ada pandangan sendiri,” tambahnya.

Afif mewakili DUN Seberang Jaya sejak 2013 dan dilantik sebagai exco kerajaan negeri pada tahun itu.

Pada 20 Februari lalu, lembaga disiplin PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Afif atas dakwaan melakukan sabotaj dengan terlibat dalam kekacauan semasa Kongres Pemuda PKR di Melaka pada Disember lalu.

Dalam reaksinya ke atas surat itu, Afif menegaskan beliau komited pada perjuangan parti dan menyerahkan kepada lembaga disiplin untuk menentukan kedudukannya.

Pada Ahad lalu, Afif adalah antara penyokong Azmin yang dilemparkan dengan caci maki di luar ibu pejabat parti, sehari selepas sah pentadbiran PH digantikan oleh gabungan baharu yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau bersama Naib Presiden Tian Chua dan ahli Majlis Pimpinan Pusat Amirudin Shari, yang juga menteri besar Selangor, dimaki dengan kata-kata kesat antaranya “pengkhianat” dan “anjing”.

Mereka berada di ibu pejabat PKR untuk mesyuarat pimpinan parti.

Selepas mesyuarat itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata penyokong Azmin yang masih dalam parti kesal dengan peralihan kerajaan yang berlaku.

Anwar juga berkata pengikut Azmin itu tidak tahu mengenai perbincangan untuk membentuk kerajaan bersama Umno dan PAS.

“Mereka sendiri rasa dikhianati. Saya sudah ingatkan mereka berapa lama dulu. Ia sudah dirancang selama berbulan… Penyokong (Azmin) tak bersalah,” katanya.

Dalam pemilihan parti pada hujung 2018, Afif kalah kepada Akmal Nasir untuk jawatan ketua Pemuda. – 4 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen