Kerajaan Perikatan tetap kerajaan pintu belakang, kata pemimpin Pakatan


Zaim Ibrahim

Perikatan Nasional diterajui Muhyiddin Yassin masih kerajaan pintu belakang, kata Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April, 2020.

KERAJAAN Muhyiddin Yassin tetap juga kerajaan pintu belakang, kata pemimpin Pakatan Harapan, walaupun Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan perdana menteri semalam.

Kata mereka, pertemuan presiden PKR dengan Muhyiddin itu tidak memadamkan hakikat bahawa kerajaan sekarang bukan dipilih oleh rakyat.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad berkata, perjumpaan Anwar dengan Muhyiddin hanyalah kerana Perikatan Nasional kini menjadi kerajaan.

“Sama ada iktiraf atau tidak, hakikatnya kerajaan telah dirampas oleh mereka (PN). Maka semua urusan berhubung isu Covid-19 perlu dibincang dengan mereka.

“(Pertemuan Anwar-Muhyiddin) tidak menafikan kerajaan (sekarang) tetap kerajaan pintu belakang yang berkuasa melalui kaedah yang tidak bermaruah,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Khalid diminta mengulas pertemuan Anwar dengan Muhyiddin di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.

Pertemuan 45 minit itu membincangkan mengenai langkah kerajaan menangani Covid-19, termasuk bantuan kepada rakyat, serta sidang Dewan Rakyat yang ditetapkan berlangsung pada 18 Mei ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan How melihat tindakan Anwar bertemu Muhyiddin satu pendekatan yang baik iaitu menjalin kerjasama dengan kerajaan untuk melawan Covid-19.

“Perbincangan yang melangkaui fahaman politik adalah satu-satunya cara untuk memastikan bangsa Malaysia dan umat manusia boleh memenangi perang (melawan Covid-19) ini. Itu okjektif utama kita.

“Tidak salah Anwar atau PH berjumpa dengan Muhyiddin untuk berbincang. Inti pati kenyataannya, saya sokong dan yakin PH pun sokong,” jelasnya.

Sama seperti Khalid, Lee bagaimanapun menegaskan pertemuan dua pemimpin itu semalam tidak mengubah sejarah bahawa PN adalah kerajaan pintu belakang, walaupun dari segi perundangannya ia sah.

“Dari sudut perundangan, kerajaan yang dibentuk oleh PN adalah sah. Tetapi  tiada sebarang hujah mampu membersihkan nama PN, dalam tindakan mereka bentuk kerajaan ini.

“Hujah mengatakan PN kerajaan pintu belakang bukan daripada PH sahaja tetapi orang ramai pun beranggapan yang sama,” tambahnya, yang juga Adun Pasir Pinji di Perak.

Sementara itu, pemangku Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin menjelaskan, PN tetap kerajaan pintu belakang kerana Muhyiddin sendiri mengakui perkara yang sama.

“Muhyiddin sendiri mengakui bahawa kerajaan beliau bukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat,” katanya, merujuk kepada ucapan perdana menteri semasa mengumumkan bantuan untuk rakyat pada 27 Mac lalu.

“Pertemuan tersebut lebih kepada tujuan mahabbah (kasih sayang, atas tanggungjawab), selain membincangkan hal-hal berkait dengan situasi semasa negara. 

“Kita pun maklum bahawa Anwar sering melontarkan pandangan beliau dalam menangani pandemik Covid-19 di Facebook beliau,” tambahnya.

Shazni memangku jawatan mengetuai sayap pemuda Amanah selepas ketuanya sebelum ini Hasnul Zulkarnain Abd Munaim keluar parti dan menyokong kerajaan PN di Perak.

Muhyiddin mengangkat sumpah perdana menteri pada 1 Mac lalu selepas hampir seminggu kemelut politik setelah PH hilang majoriti di Dewan Rakyat, hampir 20 bulan selepas menang pilihan raya umum 2018.

Pada 24 Februari, Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan perdana menteri setelah Muhyiddin menarik Bersatu keluar dari PH. Pada hari sama, sebelas ahli Parlimen PKR diketuai Mohamed Azmin Ali juga keluar parti dan dipecat.

Semalam, Anwar berkata beliau akan membawa hasil perbincangannya dengan Muhyiddin untuk dibincang bersama pemimpin PH dan pembangkang. – 15 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen