Anwar jumpa Muhyiddin di pejabat PM


Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata dalam pertemuan 45 minit itu, beliau mendengar penjelasan perdana menteri mengenai langkah kerajaan menangani Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2020.

ANWAR Ibrahim hari ini mengadakan kunjungan hormat bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, membincangkan beberapa isu terkait penularan Covid-19.

Presiden PKR berkata dalam pertemuan 45 minit itu, beliau mendengar penjelasan perdana menteri mengenai langkah kerajaan menangani Covid-19.

“Saya menyatakan penghargaan atas khidmat jentera kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat.

“Saya turut bangkitkan soal penyampaian maklumat yang mesti telus dan keupayaan ujian ditingkatkan,” katanya dalam satu makluman di Facebook.

Pejabat Perdana Menteri bagaimanapun setakat ini tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai pertemuan tersebut.

Kenyataan Anwar mengenai pertemuannya dengan Muhyiddin dikeluarkan tidak lama selepas beliau dan dua pemimpin komponen Pakatan Harapan mengeluarkan kenyataan bersama atas nama Majlis Presiden Pakatan Harapan. 

Kenyataan bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu itu antara lain menggesa sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan kesan ekonomi akibat Covid-19.

Pada pertemuan itu, Anwar turut membangkitkan cadangan mengenai sidang Parlimen yang ditetapkan pada 18 Mei ini dan masalah terkait Covid-19.

“Saya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan serta pembangkang, dan akan mengemukakan pandangan kepada beliau (Muhyiddin),” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata beliau juga menyambut baik pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Muhyiddin namun berharap penyampaiannya tidak menjadi jadi permainan politik.

“Pakej rangsangan yang diumumkan turut disambut baik, namun harus dipastikan keberkesanan pelaksanaannya agar tidak dipolitikkan di peringkat akar umbi,” tambahnya.

Ini dipercayai adalah pertemuan mereka yang pertama sejak Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac lalu, selepas kerajaan Pakatan Harapan runtuh seminggu sebelumnya.

Muhyiddin sudah dua kali mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bagi meringankan beban ekonomi rakyat dan sektor perniagaan, pada 27 Mac dan kemudian pada 6 April. – 14 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen