Majlis Presiden Pakatan desak Parlimen bersidang bincang Covid-19


MAJLIS Presiden Pakatan Harapan menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memanggil Sidang Khas Parlimen minggu ini bagi merangka pendekatan dwipartisan dalam memerangi pandemik Covid-19.

Dunia sedang menempuh cabaran yang paling getir semenjak Perang Dunia Kedua. Sejak 1945, belum pernah ada saat di mana seluruh dunia berhadapan dengan ancaman yang sama dan meruncing secara serentak.

Krisis ekonomi yang bakal melanda dijangka lebih buruk sejak Kemelesetan Besar 1929. Krisis yang melanda hari ini lebih teruk berbanding krisis ekonomi sebelum ini, termasuk Krisis Kewangan Asia 1997-1998 dan Krisis Kemelesetan dan Kewangan Dunia pada tahun 2008 yang telah dihadapi Malaysia sebelum ini.

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menjangkakan perdagangan dunia akan menguncup sebanyak 13 hingga 32% tahun ini. Amerika Syarikat telah hilang 16 juta pekerjaan dalam masa tiga minggu. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula menjangkakan Malaysia bakal kehilangan 2.4 juta pekerjaan.

Penting juga bagi kita untuk memahami bahawa data-data ini adalah unjuran beberapa minggu lepas. Situasi semasa telah menjadi lebih membimbangkan semenjak itu. Kebanyakan simulasi dan senario menjangkakan pemulihan peringkat global tidak akan berlaku sehingga 2021. Negara bakal berhadapan detik sukar pada masa akan datang.

Pekerjaan bukanlah hanya nombor dan statistik. Malah angka-angka tersebut membayangkan realiti mereka yang berkeluarga dan perlu diberi makan untuk terus hidup. Kehilangan pekerjaan merupakan rintangan ekonomi dan tekanan psikologi buat mangsa dan keluarganya. Terdapat juga kemungkinan hal ini akan menyebabkan kebuluran dan kegelisahan sosial.

Bagi satu negara secara menyeluruh, kita bakal kehilangan pekerja kemahiran dan pengetahuan yang akan merantau ke tempat lain untuk permulaan baharu. Ini akan menjejaskan keupayaan kita untuk membina semula ekonomi. Oleh itu, merangsang pemulihan ekonomi, mengekalkan pertumbuhan untuk memastikan pekerjaan, dan mengekalkan kemahiran adalah cabaran utama negara.

Kerajaan dan Kementerian Kewangan belum lagi menjawab persoalan penting ini - iaitu bagaimana untuk melindungi pekerjaan. Hal ini adalah kebimbangan yang ada pada minda jutaan rakyat Malaysia yang takut hilang pekerjaan mereka.

Beratus-ratus ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan di tempat lain di seluruh dunia juga menghadapi kemungkinan yang sama. Mereka yang bekerja di sektor tidak formal dan bekerja sendiri merupakan golongan yang amat terbeban kerana “rancangan rangsangan ekonomi” kerajaan tidak menawarkan bantuan mencukupi untuk mereka.

Mengetengahkan perbincangan mengenai pekerjaan sebagai keutamaan rancangan kerajaan untuk ekonomi adalah penting. Malangnya, ini tidaklah dicerminkan dalam rancangan kerajaan setakat ini.

Pakej yang dikemukakan oleh kerajaan setakat ini lebih banyak menjurus kepada pakej bantuan bagi pengurangan kesan penutupan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Subsidi gaji, pengeluaran KWSP, pengecualian sewa dan pemberian tunai adalah semua langkah jangka pendek.

Banyak perniagaan yang menghadapi penguncupan dan juga permintaan terjejas di pasaran masing-masing. Kedua-dua pasaran domestik dan eksport telah menguncup. Kerajaan perlu menyediakan pelan jangka sederhana dan jangka panjang yang akan merangsang permintaan dan menjana peluang perniagaan.

Jika tidak, ekonomi akan terhenti dan mengalami penurunan apabila impak daripada campur tangan jangka pendek ini merosot. Pemacu pemulihan ekonomi mesti dikenal pasti dan dibiayai oleh kerajaan untuk menghidupkan semula aktiviti ekonomi.

Negara kita perlu melakukan apa sahaja yang mungkin untuk menyelamatkan pekerjaan dan menyediakan peluang ekonomi bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam jangka masa terdekat. Ia juga memerlukan pelan jangka panjang untuk memulihkan dan memperbaharui ekonomi.

Kepimpinan yang berkesan dan tegas semasa krisis sangat penting kerana ia mempengaruhi kehidupan ramai.

Majlis Presiden Pakatan Harapan Majlis menggesa perdana menteri memanggil Sidang Khas Parlimen minggu ini untuk membincangkan pelan dwipartisan bagi menyelamatkan ekonomi Malaysia dan pekerjaan sambil kita melawan pandemik Covid-19.

Kanada baharu sahaja mengadakan sidang Parlimen dengan pemimpin dari parti pemerintah dan pembangkang, dan telah bersetuju dengan program subsidi gaji $73 bilion. Hanya 32 daripada 338 Ahli Parlimen menghadiri persidangan itu kerana keperluan penjarakan sosial. Parlimen Kanada kini sedang mempertimbangkan perbahasan dengan pendekatan maya (virtual) untuk masa depan.

Aturan sedemikian boleh dibincangkan antara Kerajaan dan Pakatan Harapan. Kami bersedia untuk mempertimbangkan perbahasan parlimen secara maya untuk memastikan keupayaan kita mentadbir dan memimpin negara dalam masa yang sukar ini tidak terhalang.

Parlimen adalah badan tertinggi yang mewakili semua rakyat Malaysia. Semasa krisis, Parlimen adalah saluran untuk suara wakil rakyat kita untuk didengar, dinyatakan dan dibahaskan.

Kita memerlukan penyelesaian dwipartisan dan menunjukkan solidariti kepada rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran terbesar yang dihadapi negara. perdana menteri perlu menunjukkan bahawa beliau bersedia untuk memudahkannya dengan mengadakan Sidang Khas Parlimen dengan segera.– 14 April, 2020.

*Kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan ini ditandatangani oleh Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen