Covid-19, bantuan kerajaan dan cabaran 2020


Noor Amin Ahmad

TERLEBIH dahulu kita mesti menerima hakikat kita berada dalam situasi cemas. Kita mahu melandaikan keluk jangkitan virus di negara ini sambil mengharapkan keluk yang sama juga landai dan terhapus di seluruh dunia. 

Jadi, kita memang memerlukan satu suntikan kewangan yang besar kerana kesan pandemik Covid-19 ini tidak terhad kepada aspek kesihatan tetapi mempunyai kesan rantai ekonomi yang luas. 

Situasi cemas memerlukan tindakan yang bersesuaian. Membandingkannya dengan situasi biasa adalah tanda lemahnya pemikiran kita. 

Umumnya ramai gembira dengan tindakan kerajaan. Sama ada semua benar-benar faham tentang apa, mengapa, bagaimana selepas ini itu tidak penting buat masa ini. 

Yang ramai nantikan ialah apakah langkah kerajaan bagi membantu mereka dalam situasi yang ada. Hal-hal lain boleh dibincangkan kemudian. Di sinilah situasi kecemasan selalu memberi kelebihan kepada pihak berkuasa.

Namun, pembangkang tetap mempunyai mandatnya tersendiri dalam sistem bernegara. Ia berperanan untuk semak dan imbang. Sebab itu, meskipun pengumuman yang dibuat belum dibawa ke Parlimen, ia tetap perlu dibawa nanti. 

Tidak ada perbekalan tambahan boleh dibuat tanpa kelulusan Parlimen. 

Lambat atau cepat mungkin hanya akan menjadi perbincangan akademik. 

Apa yang penting kita sedar ialah tidak semua perkara terhenti hanya kerana kita sedang menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Negara mempunyai Perlembagaan dan keluhurannya mesti dipelihara. 

Situasi kewangan

Selepas pengumuman semalam ramai terkejut. Bukankah negara dikatakan tidak mempunyai wang dan berpotensi bankrap? Dari mana kerajaan mendapat wang yang sebegitu banyak? 

Pertama, RM250 bilion bukan bermaksud edaran tunai RM250 bilion. Ini boleh dikesan daripada dua kenyataan iaitu “Kerajaan akan sentiasa memastikan akaun semasa fiskal mempunyai lebihan dan tidak menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasi. 

Hampir semua langkah ini adalah secara one-off supaya tidak membebankan kewangan kerajaan persekutuan dalam jangka masa sederhana. 

Langkah ini penting untuk memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan. 

Sehubungan itu, kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan “ruang fiskal untuk jangka masa panjang” dan pengakuan bahawa suntikan langsung hanyalah sebanyak RM25 bilion. 

Kenyataan perdana menteri ini bermaksud kerajaan tetap mahu memastikan hutang kerajaan di bawah had statuori hutang sebanyak 55% KDNK.

Konsolidasi fiskal yang disebut bermaksud penjimatan. Memang selepas krisis ekonomi 2009, kerajaan telah berbelanja besar sebelum memulakan konsolidasi fiskal kemudiannya. Ini boleh dibaca dalam Laporan Ekonomi yang diterbitkan setiap tahun.

Kerajaan juga perlu mengambil kira kedudukan akaun semasa memandangkan anggaran belanjawan dibuat dengan jangkaan harga minyak berada pada tahap AS$62 setong.

Ia kini telah berkurang secara drastik (pada anggaran AS$27 setong). 

Pada masa yang sama hasil cukai dan bukan cukai juga mungkin terjejas rentetan kesan pandemik ini, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Jangan lupa bahawa kita negara dagang. Terimaan balik pinjaman juga akan terjejas. 

Mengapa kita perlu berjimat? 

Pada hemat saya ini kerana corak belanjawan kita yang menunjukkan antara 95-99% hasil cukai dan bukan cukai kerajaan diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus sejak sekurang-kurangnya tujuh tahun lalu manakala kita terpaksa terus berhutang dan mengusahakan perbelanjaan di luar Belanjawan (off-budget) untuk perbelanjaan pembangunan. 

Ini masalah struktur yang tidak mudah untuk ditangani dengan cepat. Ini kerana perbelanjaan mengurus terdiri daripada perkara-perkara yang sensitif dari segi politik seperti gaji, elaun, pencen, subsidi dan sebagainya. 

Mengurangi atau menghapuskan mana-mana elemen ini memerlukan iltizam politik yang tinggi dan sudah tentu tidak popular serta berisiko dihukum dalam pilihan raya. 

Usaha konsolidasi cuba dibuat pada zaman Najib Razak. Meskipun kita diwar-warkan dengan banyak bantuan dan pertumbuhan ekonomi, ironinya Asia Finance pernah menamakan beliau sebagai Menteri Kewangan Terburuk pada 2016. Malah, rakyat menolak beliau dalam PRU14. 

Apakah rakyat tidak berterima kasih atau memang menolak beliau semata-mata kerana isu 1MDB? Itu tidak dapat dipastikan. 

Namun kita tahu bahawa sejumlah data menunjukkan ada masalah struktur yang besar bila majoriti rakyat bekerja tidak mempunyai cukup simpanan kecemasan dan majoriti pesara hanya mempunyai simpanan kurang RM50 ribu ketika bersara. 

Mereka pasti gembira menerima bantuan tunai, namun suka atau tidak ia tidak menghilangkan masalah sebenar mereka. 

Pakatan Harapan menyedari hal ini dan cuba mengenengahkan Wawasan Kemakmuran Bersama untuk menegaskan keperluan menyelesaikan isu jurang pendapatan yang ada. Ia tidak mudah kerana situasi yang telah dinyatakan di atas. 

Pakej Prihatin 

Jadi, bagaimana kerajaan menyampaikan RM250 bilion ini? Ada beberapa cara. Pertama melalui suntikan langsung sebanyak RM25 bilion yang telah dinyatakan di atas.

Selain itu kebanyakan adalah bersifat off-budget. Off-budget ini maksudnya di luar Belanjawan kerajaan misalnya perbelanjaan GLC dan pengeluaran KWSP akaun 2, diskaun dan perubahan syarat. 

RM250B ini juga termasuk RM20B pakej rangsangan awal yang telah diumumkan oleh Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri interim. Sayangnya pakej ini dibentang ketika krisis politik dan wabak belum diumum sebagai pandemik jadi mungkin tak ramai bagi perhatian. 

Dalam pengumuman pertama ini hanya RM3.5 bilion berbentuk suntikan langsung dan selebihnya adalah bersifat off-budget. 

Antara yang disebut ialah bayaran secara one-off sebanyak RM600 kepada pemandu teksi, pemandu bas persiaran dan pemandu pelancong dan penarik beca yang berdaftar, elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor serta kakitangan perubatan, dan RM200 kepada imigresen dan kakitangan lain yang terbabit (yang ditingkatkan sedikit dalam pengumuman kedua). 

Ada juga untuk pembelian peralatan, ubat dan barangan guna pakai dalam usaha pengawalan wabak Covid-19, bayaran kepada pekerja yang terjejas melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), mempercepatkan bayaran ansuran Bantuan Sara Hidup bulan Mei sebanyak RM200 ke bulan Mac 2020, peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion bagi pelaksanaan segera kerja penyelenggara dan pembaikan infrastruktur kecil seluruh negara, terutamanya di luar bandar dan sebagainya. 

Selain itu perbelanjaan daripada pengumuman Belanjawan 2020 diteruskan misalnya program MySalam diteruskan di bawah pakej kesihatan sebanyak RM2 bilion (meliputi elaun khas kepada petugas di lapangan, tambahan jururawat kontrak, belian dan sewaan khidmat swasta, pembelian peralatan, perluasan saringan dan perbelanjaan untuk kesihatan).

Jika kita melihat pengumuman pertama ini, jelas ia tidak membayangkan akan adanya PKP kerana ia memberi galakan kepada pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 yang kini telah dibatalkan.

Ini mungkin kerana WHO belum mengisytiharkan bahawa ia adalah pandemik. Tambahan pula ketika ini kluster tabligh belum dikenal pasti. 

Jumlah besar off-budget yang diumumkan oleh perdana menteri ialah moratorium pinjaman. Ini terdiri daripada pinjaman individu, pinjaman perniagaan dan sebagainya sebanyak RM100 bilion.

Ini sebenarnya membantu, walaupun dalam bentuk penangguhan kerana jelas hutang isi rumah rakyat Malaysia adalah yang tertinggi di rantau ini. Ditambah dengan majoriti rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan dan pendapatan semasa tempoh PKP, ia pasti menambah tekanan kepada ramai orang.

Seterusnya pendekatan off-budget yang lain terdiri daripada DanaJamin bagi sektor yang terjejas sebanyak RM50 bilion.

Pembiayaan kepada IKS sebanyak RM9 bilion. Diskaun tenaga sebanyak RM2 juta, anggaran pengeluaran Akaun 2 KWSP sekitar RM40 bilion. 

Ini tidak termasuk pengecualian bayaran KWSP dan HRDF kepada syarikat sebanyak RM6 bilion, perbelanjaan modal oleh GLC sebanyak RM30 bilion dan sebagainya. 

Bantuan-bantuan lain yang bersifat tunai terus kepada rakyat masih belum ditentukan kaedahnya. Memang ada rungutan bahawa ia tidak mencukupi namun memadai bagi tempoh PKP sehingga 14 April 2020. 

Cabaran sebenar kita nanti ialah selepas berakhirnya tempoh ini kerana pasti ramai yang akan kehilangan kerja atau terpaksa menerima pengurangan gaji untuk kekal bekerja. 

Suntikan sebanyak RM25 bilion ini akan menjadikan defisit berbanding KDNK mencecah lebih 6% bagi tahun ini.

Ini juga pasti akan menuntut kerajaan untuk sama ada menilai semula had statuori yang diletakkan, atau mencari jalan untuk mengurangkan defisit melalui pertumbuhan segera, atau kita semua perlu menerima kenyataan perlunya pengurangan belanja pengurusan.

Ini terutamanya kepada program pengembangan yang nampaknya tidak cermat (misalnya membina banyak IPG kemudian mahu menutupnya) atau program popular jangka pendek (misalnya program one-off kementerian atau pembinaan sejumlah kemudahan yang kemudian dibiar tidak diselenggara seperti gelanggang futsal). 

Ini tahun yang mencabar. Tahun 2020 yang kita bayangkan tidak seperti ini.

Namun ingatlah 2020 bukan hanya tentang kemajuan material.

Padanya ada disebut tentang kehidupan harmoni, kerjasama yang adil, bangsa Malaysia yang setia dan berdedikasi kepada negara, masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, yakin akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, yang telah dicapai, gagah menghadapi pelbagai masalah. 

Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa dan dihormati oleh rakyat negara lain.

Sepuluh cita-citanya bukan hanya tentang ekonomi. Ia juga tentang masyarakat demokratik yang matang, bermoral, beretika, teguh dengan nilai agama dan kerohanian, masyarakat liberal dan bertolak ansur, di pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama mereka.

Pada masa sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara, masyarakat saintifik dan progresif, berdaya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, menyumbang kepada tamadun sains dan teknologi, masyarakat penyayang dan sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri dengan sistem kekeluargaan yang kukuh, masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi, melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama serta masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Semoga kita akan menjaga kesedaran untuk hidup bersama. – 29 Mac, 2020.
 

* Noor Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar. Baru-baru ini beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Belanjawan. Beliau juga telah dipilih menjadi ahli jawatankuasa pemandu jaringan ahli Parlimen muda Bank Dunia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen