Kerajaan akan teliti kawalan harga topeng muka, kata menteri


Ravin Palanisamy

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata pengeluar tempatan berdepan kesukaran mendapatkan bekalan komponen topeng muka kerana diimport dari China dan Eropah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2020.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan meneliti kawalan harga topeng muka jika berlakunya kekurangan produk berkenaan, kata Alexander Nanta Linggi.

Menteri itu berkata komponen topeng muka diimport dari China dan negara-negara Eropah.

Bagaimanapun negara berkenaan berdepan masalah lebih teruk dari Malaysia dan pengeluar tempatan berdepan kesukaran mendapatkan barang-barang berkenaan.

Alexander Linggi berkata buat masa ini terdapat empat kilang di negara ini yang beroperasi dengan kapasiti penuh untuk memastikan stok topek muka mencukupi.

“Anda mesti faham bahawa komponen topeng muka perlu diimport dari China dan Eropah dan negara ini berdepan masalah lebih buruk daripada kita. Jadi tidak mudah bagi mereka untuk mengeksport ke sini.

“Jadi kita hanya ada empat kilang dan mereka bekerja sepenuh masa untuk menghasilkan topeng muka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Alexander Linggi bagaimanapun berkata keselamatan rakyat harus menjadi keutamaan dan kementerian akan melihat kemungkinan mengimport topeng muka dari luar negara dan melaksanakan kawalan harga jika ia akan membantu meringankan keadaan.

“Kami akan melihat apa yang berguna untuk kepentingan rakyat walaupun memerlukan kawalan harga,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menteri itu juga berkata Kementerian sedao berusaha merancang menghentikan eksport topeng muka luar negara.

Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara mulai esok hingga 31 Mac untuk membendung penyebaran Covid-19.

Ini adalah kali pertama arahan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 akan dikuatkuasakan.

Kes Covid-19 meningkat ketara dengan 190 jangkitan baharu dan 125 semalam membawa jumlah keseluruhan sebanyak 553 kes.

Daripada jumlah keseluruhan, 511 pesakit berada di hospital manakala selebihnya dibenarkan keluar selepas pulih sepenuhnya. – 17 Mac, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen