PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan seteru utamanya, Benny Gantz, sepakat untuk mengadakan rundingan mengenai kerajaan perpaduan, di tengah-tengah kebuntuan politik selepas berakhirnya pilihan raya buat kali ketiga, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan parti Likud dan parti Biru Putih pimpinan Gantz, kedua-dua pihak akan bertemu “secepat mungkin”.
“Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Reuven Rivlin, yang memanggil mereka berunding pada Ahad dalam usaha menamatkan kebuntuan politik yang telah berlarutan selama setahun.
Terdahulu, Rivlin turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin semua parti yang dipilih dalam pilihan raya pada 2 Mac lalu.
Pejabat Presiden mengatakan Rivlin secara rasmi menugaskan Gantz untuk membentuk kerajaan perpaduan selepas pemimpin itu menerima sokongan parti yang mewakili 61 anggota parlimen, sementara Netanyahu mendapat sokongan 58 anggota parlimen.
Gantz mempunyai tempoh sebulan untuk membentuk kerajaan campuran, andai beliau gagal, tanggungjawab itu akan diserahkan kepada Netanyahu.
Keputusan pilihan raya buat kali ketiga dalam tempoh setahun itu menyaksikan kedua-dua pemimpin gagal mendapat majoriti. – Bernama, 16 Mac, 2020.
Komen