Pencabar Netanyahu gagal bentuk kerajaan


Benny Gantz berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Presiden Reuven Rivlin dan beliau turut mengembalikan mandat yang diberikan kepadanya bulan lepas untuk membentuk kerajaan. – Gambar EPA, 21 November, 2019.

PENCABAR Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Benny Gantz, pada Rabu mengumumkan bahawa beliau gagal membentuk kerajaan menjelang tarikh akhir tengah malam, sekaligus meningkatkan prospek pilihan raya ketiga di Israel dalam tempoh kurang setahun, lapor agensi berita China Xinhua.

Gantz berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Presiden Reuven Rivlin dan beliau turut mengembalikan mandat yang diberikan kepadanya bulan lepas untuk membentuk kerajaan.

Dalam kenyataan umum, Gantz, pemimpin Parti Biru dan Putih serta bekas panglima tentera Israel, menuduh Netanyahu menolak kerajaan perpaduan.

Beliau berkata Netanyahu enggan menggugurkan kekebalan parlimen daripada beberapa siasatan rasuah seperti dituntut yang menyaksikan beliau adalah suspek utama.

“Ini adalah satu percubaan berbahaya dan tidak pernah berlaku dalam sejarah Israel bagi menghalang rakyat Israel mempunyai kerajaan yang mereka pilih,” kata Gantz merujuk kepada pilihan raya 17 Sept  yang menyaksikan partinya meraih undi paling banyak.

Beliau menyalahkan Netanyahu kerana “berkubu dalam sebuah kerajan sementara selama setahun” bagi mengelak pendakwaan.

Netanyahu ditugaskan presiden untuk membentuk sebuah kerajaan gabungan sebelum Gantz kerana beliau disokong oleh blok berhaluan kanan yang lebih besar.

Bagaimanapun, seperti Gantz, beliau gagal memperoleh majoriti 61 kerusi yang diperlukan untuk membentuk gabungan di parlimen Israel yang mempunyai 120 kerusi.

Negara itu kini memasuki hari ke-20 yang menyaksikan mana-mana penggubal undang-undang dengan 61 penyokong di parlimen boleh membentuk kerajaan sebelum pilihan raya baharu dipanggil.

Sistem politik Israel lumpuh sejak pilihan raya sengit berlangsung pada 17 September, yang menyaksikan tiada parti memenangi jumlah undi mencukupi untuk membentuk gabungan majoriti dalam parlimen yang memiliki 120 kerusi.

Pilihan raya itu adalah yang kedua dalam tempoh lima bulan.

Netanyahu gagal membentuk kerajaan gabungan selepas pilihan raya pada April yang membawa kepada pilihan raya kedua dalam bulan September. – Bernama, 21 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen