DUA parti utama Israel saling menuding jari antara satu sama lain kerana gagal membentuk kerajaan perpaduan, kira-kira 48 jam sebelum tarikh akhir yang diberikan kepada mereka dan kemungkinan berlaku pembubaran parlimen, lapor agensi berita China Xinhua.
Benny Gantz, pemimpin Parti Biru dan Putih serta merupakan pesaing utama Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, berkata pihaknya bersetuju membentuk kerajaan perpaduan jika Netanyahu berjanji tidak akan meminta imuniti daripada dibicarakan bagi pendakwaan rasuah yang dikemukakan terhadapnya.
Netanyahu telah dilaporkan memberi syarat bahawa beliau akan bersetuju untuk membentuk kerajaan perpaduan sekiranya diberikan imuniti.
“Netanyahu perlu meletakkan kepentingan Israel mengatasi kepentingannya sendiri,” menurut Gantz dalam satu kenyataan yang merujuk kepada pertuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah yang dikemukakan peguam negara Israel terhadap Netanyahu.
Gantz, bekas panglima tentera Israel, berkata masih ada peluang untuk mengelak penganjuran pilihan raya yang “mahal dan tidak perlu” yang bakal diumumkan pada Rabu jika Netanyahu menggugurkan syaratnya.
Netanyahu, pemimpin Parti Likud, menyifatkan tindakan Ganzt sebagai satu “putar-belit” serta menyalahkan Parti Biru dan Putih kerana “menolak” semua usaha untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Beliau menggesa Avigdor Lieberman, pemimpin Parti Israel Our Home, melibatkan diri dalam “rundingan intensif” untuk membentuk satu “kerajaan nasional yang kuat.”
Lieberman, dalang politik pada pilihan raya terakhir, telah berulang kali menyatakan bahawa beliau hanya akan berada dalam kerajaan perpaduan.
Jika tiada parti boleh membentuk kerajaan perpaduan menjelang Rabu tengah malam, parlimen Israel atau Knesset, akan dibubar dan negara itu terpaksa berdepan pilihan raya ketiga dalam tempoh kurang setahun.
Tinjauan pendapat baru-baru ini menunjukkan bahawa pilihan raya baharu dijangka menghasilkan keputusan yang sama dengan pengundian pada September lepas, yang menyaksikan tiada parti meraih undi secukupnya untuk membentuk kerajaan. – Bernama, 10 Disember, 2019.
Komen