Netanyahu, Gantz bertemu bincang pembentukan kerajaan


Benjamin Netanyahu (kiri) mengajak Benny Gantz membentuk kerajaan campuran di Israel. – Gambar AFP, 24 September, 2019.

DUA pemimpin utama yang bersaing sengit dalam pilihan raya Israel mengadakan pertemuan pada Isnin malam dalam usaha memecah kebuntuan politik susulan hasil keputusan yang tidak jelas, lapor agensi berita Xinhua.

Pertemuan yang diadakan di kediaman presiden itu turut disiarkan televisyen Israel, dihadiri Presiden Reuven Rivlin, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan pencabar utamanya merangkap pengerusi Parti Biru Putih Benny Gantz.

Di bawah undang-undang Israel, selepas berakhirnya pilihan raya minggu lalu, presiden perlu melantik perdana menteri, berikutan keputusan berakhir tanpa pemenang yang jelas, menyaksikan Rivlin menggesa pembentukan kerajaan perpaduan.

Pada pilihan raya yang diadakan Selasa, Parti Biru Putih memenangi 33 kerusi, mewakili jumlah terbesar di parlimen. Parti sayap kanan Parti Likud pula memperoleh 31 kerusi, mencerminkan keraguan terhadap pemerintahan Netanyahu yang merupakan perdana menteri Israel paling lama berkhidmat.

Kedua-dua parti gagal memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan majoriti dalam Parlimen yang mempunyai 120 kerusi.

Rivlin mahu kerajaan perpaduan dibentuk, tetapi kedua-dua pemimpin mahu memimpin kerajaan baharu itu. – Bernama, 24 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen