Kurang ajar larang pekerja hotel pakai tudung, kata Nazri Aziz


Nabihah Hamid

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz berkata Persatuan Hotel Malaysia (MAH) perlu menunjukkan bukti ia merupakan SOP syarikat-syarikat terutamanya dari rangkaian antarabangsa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2017.

TINDAKAN rangkaian hotel antarabangsa melarang kakitangan di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline) memakai tudung tidak menghormati budaya tempatan, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz dalam reaksi pertamanya sejak isu ini berbangkit.

Beliau menyelar tindakan itu dan berkata mereka perlu menghormati amalan budaya tempatan jika mahu beroperasi di Malaysia.

“Kurang ajar dan tidak bertanggungjawab. Datang negara orang hormatlah sikit. Apa yang ada dalam kita punya akta ini (Perlembagaan Persekutuan). 

“Jadi mengapa mereka nak datang ke sini nak buat syarat tak boleh pakai tudung. Apa salahnya. Adakah telanjang bogel lebih baik dari kita pakai tudung duduk di kaunter?,” katanya dalam satu sidang media di bangunan Parlimen selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur 2017. 

Nazri mengulas mengenai isu amalan sesetengah hotel melarang pekerja wanita beragama Islam memakai tudung di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline) yang dilaporkan media. 

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mengatakan tindakan sebelum ini mempertahankan tindakan operator hotel dan menegaskan ia sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi. 

Bagaimanapun, Nazri berkata MAH perlu menunjukkan bukti ia merupakan SOP syarikat-syarikat terutamanya dari rangkaian antarabangsa.

“Kita mempunyai undang-undang tubuh. Kita melihat kalau benar ini merupakan satu arahan atau satu SOP, maka dia telah melanggar kita punya Perlembagaan Malaysia.

“Ini merupakan satu bentuk diksriminasi kerana dalam Perlembagaan jelas mengatakan tidak boleh berlaku diskriminasi atas apa alasan sekalipun samada agama bangsa,” katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas. 

Bagaimanapun, Nazri berkata kementerian tidak mempunyai kuasa menarik lesen hotel-hotel berkenaan kerana ia dibawah kuasa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). 

“Kita tak pernah terima aduan kepada kita. Lagipun tanggungjawab kita (kementerian pelancongan) hanyalah memberi penarafan lima bintang atau tidak. Dan penarafan tidak berdasarkan kepada pakaian tetapi kepada kemudahan yang wujud. Soal memberi lesen terpulang kerajaan tempatan. 

“Jadi kerajaan tempatan (KPKT) kena bertegaslah bahawa tidak boleh membenarkan syarikat beroperasi di sini (melarang pekerja pakai tudung),” katanya lagi. 

Nazri dalam pada itu tidak percaya bahawa wujud amalan sedemikian yang merupakan polisi antarabangsa.

“Saya tidak fikir syarikat antarabangsa (buat larangan). Saya tidak percaya. Alasan diberikan MAH adalah tidak betul. Saya hendak tahu kalau boleh mereka tunjuk,” katanya lagi. 

Presidennya, Cheah Swee Hee berkata setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.

“Kita tidak boleh gunakan ayat diskriminasi (isu larangan tudung). Ia kerana syarikat ada polisi masing-masing. Jadi, ada banyak hotel juga menerima mereka yang berhijab.

“Ia lebih kepada polisi dan SOP yang digunakan hotel di seluruh dunia. Ia bukan (Islamofobia) kerana sudah dibuat sejak awal lagi. Jadi, mereka ada SOP,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) baru-baru ini mendedahkan kakitangan hotel mengadu kepada pusat mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Pusat berkata ini berlaku juga kepada pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka cuba memohon latihan amali. – 14 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen