Kerajaan tidak wajar pertahan Zamihan, kata MCA


MCA berkata Tindakan kerajaan melindungi Zamihan Mat Zin hanya akan makan diri kerana memberi peluang kepada pembangkang menuduh pegawai agama itu dilindungi oleh orang tertentu. – gambar YouTube, 11 November, 2017.

KERAJAAN tidak sepatutnya mempertahankan Zamihan Mat Zin sebaliknya memulihkan pegawai agama itu terlebih dahulu sebelum beliau diberikan peranan memulihkan orang lain, kata pemimpin MCA.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ti Lian Ker berkata tindakan kerajaan melindungi Zamihan hanya akan makan diri kerana memberi peluang kepada pembangkang menuduh pegawai agama itu dilindungi oleh orang tertentu.

“Dia tidak sepatutnya dilindungi. Apa yang salah tetap salah dan kita tidak boleh beri alasan hanya kerana dia seorang pakar dalam pemulihan militan,” kata Ti dalam satu kenyataan media, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi kelmarin mempertahankan Zamihan ketika ramai mendesak supaya peranan pegawai agama itu dalam program pemulihan akidah ditamatkan susulan beberapa kontroversi melibatkannya.

Zamihan adalah aset penting kerajaan dalam program pemulihan tahanan suspek militan dan beliau seorang pakar, kata Zahid yang juga menteri dalam negeri.

“Zamihan adalah salah seorang pakar pemulihan dan mengikut rekod, kejayaan pemulihan akidah yang dilaksanakan Zamihan cukup berjaya,” katanya pada Khamis.

Ti, yang juga jurucakap publisiti MCA, bagaimanapun berpendapat ada pakar lain juga di negara ini dan biar pakar lain ini yang membantu kerajaan memulihkan militan.

“Zamihan tidak sepatutnya ada hubungan langsung dengan militan kerana dia sendiri bermasalah,” katanya.

Menurut Ti, tingkah laku Zamihan membuktikan beliau tidak memahami makna hidup dalam sebuah masyarakat berbilang kaum.

“Kenyataan dan tingkah lakunya tidak mencerminkan beliau mampu membantu memulihkan militan.

“Beliau sombong dan tidak hormat kepada institusi diraja dengan membuat kenyataan tidak wajar kepada Sultan,” kata Ti.

“Kita menggesa kerajaan untuk tidak mempertahankan tingkah lakunya atau Zamihan sebagai orang yang boleh membantu militan kerana ini hanya akan membuatkan orang benci kepada kerajaan yang memerintah.”

Zamihan bulan lalu ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana ceramahnya di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam yang didakwa menghina kaum lain serta kritikan terhadap Sultan Johor berhubung titah tuanku mengenai kedai dobi layan diri untuk Muslim saja.

Susulan itu, Selangor menggantung tauliah ceramah Zamihan di negeri itu. Zamihan dalam reaksinya dilaporkan berkata ilmunya tidak lucut dengan tindakan tersebut, malah tidak juga meragut semangatnya untuk “menegakkan akidah ahli sunnah wal jamaah”.

Zamihan adalah juga presiden Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja).

Zamihan awal minggu ini terkait lagi kontroversi selepas mempersoalkan tindakan pihak pengurusan sebuah surau di George Town, Pulau Pinang yang menumpangkan teduh mangsa banjir bukan beragama Islam di surau berkenaan.

Pada masa yang sama, Zamihan berkongsi pengalaman mengendalikan program pemulihan bersama tahanan militan Islamic State (IS) di Tapah, Perak.

Dalam reaksinya, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin mendesak pihak berkuasa menilai semula kedudukan Zamihan dalam program pemulihan militan dengan serius.

“Persoalan kita, bolehkah ‘pelampau’ memulihkan pemikiran pelampau? Ini bukan kali pertama beliau menzahirkan pemikiran pelampaunya.

“Tidak cukup mengkafirkan sesama Muslim selama ini, diheret pula non (bukan) Muslim ke dalam kancah ekstremisme beliau,” tulis Asri di akaun Facebooknya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya turut mempersoalkan tindakan Putrajaya membiarkan Zamihan terus mengendalikan program pemulihan tahanan militan IS walaupun Selangor dan Johor sudah menarik balik tauliah ceramah pendakwah itu.

Menurut Zahid, Zamihan adalah pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dipinjamkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menyemak penerbitan agama dan kini ditempatkan di Jabatan Penjara Malaysia sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis.

“Saya tidak fikir beliau harus dihukum dengan jawatan yang diberikan di penjara itu,“katanya.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Maszlee Malik sebelum ini meminta KDN membentangkan laporan yang telus mengenai program pemulihan yang dikendalikan oleh Zamihan kerana pemikirannya yang dilihat berisiko menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.

Katanya, masyarakat wajar berasa bimbang dan mendesak laporan itu kerana Zamihan menunjukkan aliran pemikiran yang menyebar rasa kebencian dalam kalangan orang Islam terhadap orang bukan Melayu dan Islam.

Maszlee membangkitkan persoalan itu kerana katanya tidak mahu program pemulihan yang baik yang dibuat oleh kerajaan nanti jadi seperti “terlepas dari mulut buaya, masuk pula ke mulut harimau”. – 11 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Zahid sekadar menyatakan bahawa peranan Zamihan masih diperlukan oleh pihak kerajaan dalam tanggung jawab dan tugas-tugas tertentu, bukannya beliau mempertahankan kata-kata Zamihan sebelum ini.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan