Semak program pemulihan kelolaan Zamihan, kata pensyarah


Noor Azam Shairi Muzliza Mustafa

SEMAK semula program pemulihan tahanan militan kelolaan pegawai agama Zamihan Mat Zin, kata seorang pengkaji gerakan Islam, selepas pegawai agama itu disiasat atas dakwaan menghasut dalam satu kuliahnya di Shah Alam, hujung minggu lalu.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Maszlee Malik berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar membentangkan laporan yang telus mengenai program pemulihan itu kerana pemikiran Zamihan dilihat berisiko menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.

Katanya, masyarakat wajar berasa bimbang dan mendesak laporan itu kerana Zamihan menunjukkan aliran pemikiran yang menyebar rasa kebencian dalam kalangan orang Islam terhadap orang bukan Melayu dan Islam.

Beliau berkata program pemulihan yang baik yang dibuat oleh kerajaan itu jangan nanti jadi seperti “terlepas dari mulut buaya, masuk pula ke mulut harimau”.

“Apakah bentuk deradikalisasi yang beliau lakukan kalau pemikirannya sendiri radikal perkauman?

“Kita tidak mahu nanti orang tidak lagi menyertai Islamic State tetapi jadi rasis,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Maszlee, penolong profesor di Jabatan Fiqah dan Usul Fiqah UIAM, banyak membuat kajian tentang pemikiran dan gerakan Islam di Malaysia. Kajiannya mengenai gerakan IS di Malaysia dibentangkan dalam sebuah forum keselamatan serantau di Singapura pada Januari 2016.

Beliau membuat gesaan ini ketika Raja-Raja Melayu menzahirkan kebimbangan tentang tindakan keterlaluan atas nama Islam yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

“Imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan yang bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat,” kata Raja-Raja Melayu melalui kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Syed Danial Syed Ahmad, pada Selasa.

Zamihan dalam beberapa siri kuliahnya yang tersebar di YouTube dan wawancara dengan media dalam tempoh setahun yang lalu mengaku terlibat dalam program pemulihan tahanan antaranya melibatkan kes militan, Syiah dan jenayah dadah.

Dia pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di KDN yang kini ditempatkan di Penjara Kajang.

Pegawai agama Zamihan Mat Zin ditahan reman semalam susulan didakwa mengkritik Sultan Johor berhubung kedai dobi layan diri untuk Muslim, bulan lalu.  – Gambar YouTube, 13 Oktober, 2017.

Zamihan semalam ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana kenyataannya yang didakwa mengkritik Sultan Johor berhubung titah Tuanku mengenai kedai dobi layan diri untuk Muslim saja, bulan lalu.

Dalam kuliahnya di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam pada Ahad lepas, Zamihan turut membuat kenyataan yang dianggap menghina kaum Cina.

Selain berdepan tindakan di bawah Akta Hasutan 1948, Jakim pada Rabu merujuk Zamihan ke Lembaga Disiplin, kata Pengarah Jakim, Othman Mustapha.

Siasat Aswaja

Sementara itu, Maszlee turut meminta pihak berkuasa melihat apakah Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) yang dipimpin oleh Zamihan turut sama membawa doktrin bencikan Sultan dan perkauman terhadap etnik bukan Melayu yang bukan beragama Islam.

“Jika dilihat komen-komen para pendokong Aswaja di FB milik Zamihan, mereka mempertahankan beliau bermati-matian. Apakah reaksi mereka di seluruh Malaysia nanti?

“Apakah doktrin rasisme akan tersebar luas oleh mereka hasil protes NGO tersebut terhadap tindakan yang dikenakan ke atas Zamihan?” tanyanya.

Maszlee berkata KDN dan jabatan agama perlu melakukan siasatan terperinci tentang kegiatan Aswaja serta mengambil tindakan tegas, jika perlu, sebelum kumpulan itu dan penyokongnya bertindak agresif menimbulkan suasana tegang di dalam negara.

Penyokong Zamihan menyifatkan pegawai agama itu teraniaya dan siasatan terhadapnya konspirasi golongan Wahabi untuk menyerang “seorang pejuang Islam”.

Katanya, sama seperti IS yang mempertahankan ideologinya yang melampau sebagai sesuatu yang tidak salah, Zamihan juga sudah tentu merasakan dirinya betul.

Beliau berkata sikap itu boleh difahami kerana itulah sebenarnya cabaran dalam menangani isu ekstremisme, termasuk pemikiran radikal Islam yang diangkat oleh IS.

“Tetapi kita kena jujur dengan diri sendiri, apakah sikap bahawa pemikirannya itu tidak salah penting atau kesan daripada pemikirannya kepada masyarakat yang sebenarnya lebih penting,” kata Maszlee.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed yang dihubungi oleh The Malaysian Insight berkata KDN akan mengkaji kedudukan Zamihan dalam program pemulihan itu.

“KDN sedang kaji peranan beliau dalam program itu,” katanya melalui satu mesej ringkas malam tadi. – 13 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Rakyat perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan pegawai agama juga tidak terkecuali dengan situasi sebegini. Harga sebuah keamanan yang kita sedang nikmati telah sekian lama amatlah tidak ternilai.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan