Malaysia paling ‘latest’


Izmil Amri

MACAM mana nak mula. Beginilah. Kalau bukan kerana faktor Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Azmin Ali, DAP, Amanah, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Rafidah Aziz dan Daim Zainuddin; sukar untuk kita tumbangkan rejim kleptokrat Najib Razak, Rosmah Mansor dan Umno.

Kita membuat keputusan untuk menolak Barisan Nasional (BN) dan memilih satu-satunya alternatif yang ada ketika itu, bagi mewujudkan sebuah sistem yang boleh melaksanakan reformasi institusi, menyiasat perolehan, dan mengambil tindakan terhadap para perompak.

Pada lapis yang lainnya, ada juga yang mengundi selain BN sebagai manifestasi rasa lelah terhadap kenaikan kos sara hidup dan isu-isu roti mentega. Tidak kurang juga yang mengundi PAS, dan tidak BN; kerana memang tak mahu jadi anak derhaka.

Nah, selepas menang, kita dibelenggu janji-janji. Salah satunya janji untuk menyerahkan takhta Putrajaya kepada Anwar.

Di sinilah kita menemukan masalah yang sedang tersimpul mati dan cuba dirungkai. Di satu pihak, ada yang tidak merasa senang dengan asakan Anwar supaya janji itu ditunaikan. Di satu pihak yang lain, mereka berasa; daripada Anwar jadi PM, baiklah aku.

Di satu pihak lagi, sudah wujud rasa terbiasa dengan rutin mempunyai seorang pemimpin yang meski sudah hampir mencecah 95 tahun usia, masih boleh diharap untuk menyelesaikan masalah mereka.

Soal siapa yang mula “rock the boat” ini payah untuk kita surahkan. Masing-masing ada saham dan masing-masing perlu menerima tanggungjawab atas perbuatan mereka.

Ada yang rasa negara ini seolah-olah miliknya selepas menjadi kerajaan, maka dia boleh sebut dan buat apa saja dia suka tanpa memikirkan kesan dan akibat. “Malaysia Baharu” dia kata, patut hak bersuaranya terbela.

Ada yang tak senang duduk, mengoyak kalendar kuda membilang hari bila akan naik takhta.

Ada pula yang memerhati yang seorang itu mengoyak kalendar, sambil mencatur bagaimana untuk menghalangnya daripada merasa betapa empuk dan lembutnya kerusi di Pejabat Perdana Menteri.

Semua ini keadaan segelintir yang terlalu banyak masa lapang, berpaling daripada tugas memulihkan luka dan cela ibu pertiwi setelah mendapat mandat tak sampai dua tahun sudah. Namun bagi mereka, inilah dia “realpolitik”. Permainan seni segala jadi. Siapa dapat apa, bila dan bagaimana.

Itu baru mukadimah.

Sekarang ini, kita berdepan satu keadaan yang tidak pernah kita depani sepanjang sejarah kita mendepani apa-apa secara berdepan. Sebuah kerajaan terlungkup akibat “realpolitik”.

Mujurlah ada Dr Mahathir.

Mahakala, Mahadewa

Dalam tradisi kepercayaan Hindu, satu mazhab mempercayai Dewa Shiva adalah dewa segala dewa, hatta menggelarnya Mahadeva. Dewa Shiva, dalam satu manifestasinya, disebut sebagai Mahakala – si penguasa aturan waktu.

Pengikut Shiva meraikan dewa mereka ini secara besar-besar pada acara keagamaan yang disebut Maha Shivaratri – suatu upacara yang diraikan dengan berjaga malam, menyebut mantra, menyanyi dan berdansa.

Mereka percaya bahawa malam meraikan Maha Shivaratri adalah malam di mana Dewa Shiva telah menarikan tandava, tarian yang menjadi punca kitaran penciptaan, pelestarian dan pembinasaan.

Nak jadi cerita, Maha Shivaratri tahun ini berlangsung pada Jumaat malam minggu sudah – ketika Majlis Presiden Pakatan Harapan yang pada masa itu masih kelihatan “solid”, bermesyuarat sehingga larut malam untuk memastikan negara tidak binasa akibat percaturan kuasa.

Namun takdir ibarat roda belakang kereta. Ia tiada bergerak melainkan mengikut laluan yang sudah dilakar di hadapan. Ahad pagi, segala yang diputuskan sebelumnya tidak lestari lagi. Masuk ke Isnin, habis semua melingkup belaka.

Untuk memendekkan cerita, pada Ahad segerombolan manusia membuat keputusan membuat pensejajaran semula politik negara dengan meninggalkan parti mereka, untuk berpeluk dengan gerombolan yang satu lagi daripada gagasan kleptokrasi yang begitu lama mereka perangi. Mereka mengakui cukup bilangan untuk membentuk kerajaan baharu, dengan Dr Mahathir sebagai teraju.

Masuk hari Isnin, teraju mereka itu buat aksi luar jangka dengan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. Anggota Kabinetnya dan pegawai-pegawai mereka pun ikut menganggur sekali.

Hari Selasa, Dr Mahathir masuk pejabat semula sebagai perdana menteri interim. Umno dan PAS yang mulanya menyokong kepimpinannya, menarik handbrake dengan keras dan membuat pusingan-U rapat sehingga kepala lutut mencecah tanah. Kata mereka lebih baiklah buat pilihan raya umum sahaja. Nombor yang dibangga-bangga dua hari sebelumnya menjahanam entah ke mana.

Hari ini, hari Rabu. Serabutnya seakan semakin buntu. Malaysia yang paling “latest” sudah membayangi “Malaysia Baharu”.

Tidak ada Mahadewa untuk menyelamatkan Malaysia daripada kekusutan ini. Tiada Mahakala untuk membeku waktu.

Yang ada cuma Dr Mahathir. Dan mungkin selipar Daim Zainuddin. – 26 Februari, 2020.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen