Selepas Langkah Sheraton, kerajaan di 4 negeri rapuh


Mohd Farhan Darwis SM Amin Zaim Ibrahim

Tindakan Bersatu keluar PH, yang diumumkan oleh presidennya Muhyiddin Yassin, menyebabkan penguasaan kerusi PH di DUN di Kedah, Perak, Johor dan Melaka berkenaan berubah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2020.

KEDUDUKAN kerajaan di empat negeri – Kedah, Perak, Johor dan Melaka – jadi tumpuan selepas Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH) pada Isnin lalu, susulan perkembangan politik di peringkat nasional sejak hujung minggu lalu.

Tindakan Bersatu itu, yang diumumkan oleh presidennya Muhyiddin Yassin, menyebabkan penguasaan kerusi PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) di empat negeri berkenaan berubah. 

Di Kedah misalnya, tanpa Bersatu, PH – gabungan yang dibentuk oleh DAP, PKR, dan Amanah – mempunyai jumlah kerusi yang kurang berbanding pembangkang PAS dan Umno.

Di Johor pula, kedudukan di DUN boleh jadi tergantung apabila PH hanya menguasai separuh daripada 56 kerusi di DUN, dan seimbang dengan jumlah kerusi Umno (17) sekiranya bergabung dengan Bersatu (11).

Dalam tempoh sekurang-kurangnya 48 jam yang lalu, pemimpin politik di empat negeri berkenaan mengadakan mesyuarat dan rundingan untuk menyelamatkan kedudukan kerajaan.

Berikut adalah senario ringkas di setiap negeri berkenaan:

KEDAH

The Malaysian Insight difahamkan Menteri Besar Mukhriz Mahathir yang juga pengerusi Bersatu Kedah setuju dan komited untuk terus kekal bersama PH.

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah Dr Ismail Salleh berkata walaupun Bersatu keluar dari PH, Mukhriz dan 5 wakil rakyat Bersatu sedia membentuk kerajaan bersama untuk mengekalkan pentadbiran sedia ada.

“Tidak berlaku tukar kerajaan. Mukhriz bersetuju untuk kekal bersama PH. Dia tidak mahu PAS dan Umno,” katanya kepada The Malaysian Insight.

PH membentuk kerajaan di Kedah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018 dengan majoriti tipis dua kerusi. 

DAP, PKR, dan Amanah mempunyai keseluruhan 13 kerusi selepas Bersatu meninggalkan PH. Kerajaan Kedah dibentuk dengan gabungan 6 kerusi Bersatu, 7 PKR, 4 DAP dan 2 Amanah.

Menteri Besar Mukhriz Mahathir yang juga pengerusi Bersatu Kedah difahamkan setuju dan komited untuk terus kekal bersama PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2020.

Umno dan PAS, yang menjalin kerjasama politik secara rasmi sejak September lalu, mempunyai keseluruhan 17 kerusi, dengan PAS 15 kerusi dan Umno 2.

Ismail juga berkata Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sudah meminta dipersembah maklum mengenai kedudukan majoriti di DUN.

“Majoriti ada dengan Bersatu bersama PH,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz dijadual mengadakan mesyuarat barisan exco kerajaan negeri di kediaman rasminya Sri Mentaloon di Alor Setar. 

Pertemuan itu dijangka membincangkan dengan lanjut masa depan PH Kedah.

Kata Ismail, barisan exco akan menyampaikan kepada Mukhriz keyakinan mereka kepadanya untuk terus menerajui negeri.

“Kita harapkan kesinambungan kerajaan dikekalkan sebagai PH campur Bersatu. Itu yang kita harapkan,” tambahnya.

Sementara itu, Umno dan PAS Kedah mengadakan mesyuarat berasingan. The Malaysian Insight difahamkan kedua-dua mesyuarat itu memutuskan untuk menunggu arahan daripada ibu pejabat parti masing-masing di Kuala Lumpur.

JOHOR

PH membentuk kerajaan negeri majoriti 39 kerusi di DUN yang mempunyai 56 kerusi. DAP mempunyai kerusi terbanyak iaitu 14, diikuti Bersatu (11), Amanah (9) dan PKR (5).

BN mengetuai blok pembangkang dengan 16 kerusi bersama PAS yang mempunyai 1 kerusi. Daripada jumlah itu, Umno ada 14 kerusi sementara MIC 2.

Selepas Bersatu keluar parti, PH mempunyai 28 kerusi, atau separuh daripada DUN.

The Malaysian Insight difahamkan Umno sedang berusaha menarik sokongan daripada wakil rakyat Bersatu dan parti komponen PH untuk mendapat majoriti sekurang-kurangnya 29 kerusi yang diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Selepas mesyuarat bersama PAS petang tadi, pengerusi BN Johor Hasni Mohammad mendakwa pihaknya kini ada majoriti selepas lima Adun PKR dan Amanah setuju meninggalkan PH.

Katanya, beliau sudah memohon untuk menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar seawal-awalnya Jumaat ini untuk membentuk kerajaan baharu.

Pada masa sama, The Malaysian Insight difahamkan PH juga sedang cuba mendapatkan sokongan beberapa Adun dari Umno dan Bersatu.

MELAKA

Semalam, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari menulis di Twitter membayangkan kerajaan PH di negeri itu sudah runtuh.

Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew mengesahkan kepada media keadaan itu namun timbalannya Norhizam Hassan Baktee menegaskan kerajaan PH di Melaka masih wujud dan sah.

“Kerajaan PH Melaka masih ada. Saya masih bertugas. Saya masuk pejabat hari ini. Kita masih lagi kerajaan PH,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Malacca Amanah chief Adly Zahari has been made state Pakatan Harapan chairman. He says the opposition coalition must convince Malacca folk that it is united. – The Malaysian Insight pic by Seth Akmal, September 19, 2017.

Selepas PRU14, PH mentadbir Melaka dengan 15 kerusi, lebih dua kerusi berbanding Umno sebagai pembangkang.

Daripada jumlah itu, DAP mempunyai kerusi terbanyak iaitu 8 sementara Bersatu 2, PKR 3, dan Amanah 2.

Sumber memberitahu ada langkah politik mahu mengangkat Adun Sungai Udang, Idris Haron dari Umno untuk sekali lagi lagi ketua menteri. Beliau adalah ketua menteri Melaka sebelum BN kalah PRU14.

Langkah politik itu melibatkan sokongan seorang Adun PKR dan seorang Adun Bersatu.

Sementara itu, Adun Rembia Muhammad Jailani Khamid dari PKR menafikan desas-desus kononnya beliau dan seorang Adun Paya Rumput Mohd Rafiq Naizamohideen dari Bersatu akan menarik balik sokongan kepada PH.

“Itu spekulasi. Kita belum ada buat apa-apa keputusan. Pada saya, kita dibayar untuk lakukan tugas. Kita dahulukan tugas. Apa-apa pun kita ikut hala tuju kerajaan persekutuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pengerusi PH Perak Ahmad Faizal Azumu berkata PH masih kerajaan negeri yang sah dan berfungsi seperti biasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2020.

PERAK

Umno dan PAS Perak difahamkan sedang cuba menarik sokongan daripada dua bekas Adun Umno yang keluar parti selepas PRU14 untuk menyokong PH.

Pembentukan kerajaan negeri Perak selepas PRU14 mengambil sedikit masa sehinggalah dua wakil rakyat itu mengumumkan sokongan kepada PH.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Saarani Mohamad bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Kita tidak bincang apa-apa lagi setakat ini,” katanya ketika dihubungi oleh The Malaysian Insight, semalam.

Semalam, Pengerusi PH Perak Ahmad Faizal Azumu berkata PH masih kerajaan negeri yang sah dan berfungsi seperti biasa, sementara beliau sendiri masih menteri besar.

Pada PRU14, PH menang 29 daripada 59 kerusi DUN dengan DAP (18); Amanah (6); PKR (4) dan Bersatu (1).

BN mempunyai 27 kerusi dan PAS 3, sekali gus menyebabkan tiada mana-mana parti yang memperoleh majoriti mudah iaitu 30 untuk membentuk kerajaan negeri. – 26 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen