Azmin, Hamzah punca Pakatan berpecah, dakwa sumber parti


Chan Kok Leong

Azmin Ali yang dipecat dari PKR dan bekas ahli Parlimen Umno, Hamzah Zainuddin dikatakan ambil kesempatan atas kebimbangan Bersatu sehingga mengheret parti itu keluar PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2020.

MOHAMED Azmin Ali yang dipecat dari PKR dan bekas ahli Parlimen Umno, Hamzah Zainuddin mengambil kesempatan atas kebimbangan Bersatu sehingga mengheret parti itu keluar dari Pakatan Harapan (PH), kata sumber parti.

Hamzah menyertai Bersatu pada awal tahun lalu, hampir tiga bulan selepas keluar Umno.

“Mereka mengambil kesempatan atas kebimbangan sesetengah pemimpin majlis pimpinan tertinggi Bersatu dan menjanjikan mereka jawatan kerajaan sekiranya bersama membentuk kerajaan dengan Umno dan PAS,” kata seorang sumber Bersatu.

“Kata mereka, kerajaan Bersatu-Umno-PAS akan mengembalikan ketuanan Melayu, dan ini satu cara untuk menyingkirkan DAP daripada kerajaan.

“Selain itu, mereka kata ini caranya untuk menyekat Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada jadi perdana menteri.”

Sumber parti memberitahun The Malaysian Insight, ada pihak dalam Bersatu yang tidak suka dengan DAP kerana parti itu “keterlaluan”. Sikap mereka yang tidak cenderung dengan Anwar sudah lama sejak ketika dalam Umno lagi, katanya.

“Sebenarnya tidak masuk akal untuk bencikan DAP kerana parti itu walaupun boleh jadi menjengkelkan, parti itu juga ada menteri yang buat kerja lebih baik dalam Kabinet.

“Namun janji jawatan dengan DAP tersingkir memberikan mereka cukup sebab untuk menyokong idea gabungan Bersatu, Umno dan PAS,” kata sumber.

Seorang lagi sumber berkata, Azmin bergelut kuasa dengan Anwar selepas pemilihan parti pada 2018 dan langkah itu adalah jalan untuk memastikan survival politiknya.

Bagi mencapai matlamat itu, beliau menjanjikan “bulan dan bintang” kepada Bersatu untuk keluar PH supaya kerajaan tumbang dan gabungan baharu itu muncul, tambahnya.

“Beliau malah mencadangkan agar Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin boleh jadi perdana menteri, dan bukannya Anwar.”

Namun pelan mereka tersangkut pada Ahad apabila Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad enggan hadir majlis makan malam di Hotel Sheraton di Petaling Jaya, kata sumber.

Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu menyebabkan berakhirnya PH, tetapi memulakan tugas sebagai perdana menteri interim semalam. – Gambar EPA, 26 Februari, 2020.

Lebih memburukkan keadaan, keesokan harinya Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri, dan kemudian melepaskan pula jawatan pengerusi Bersatu.

“Mereka ke rumahnya untuk meyakinkan beliau tetapi Dr Mahathir kata beliau tidak mahu bekerjasama dengan sesetengah pemimpin Umno yang sedang dibicarakan di mahkamah kerana rasuah,” katanya.

Sumber juga berkata, pelan mereka itu juga bermasalah.

Sumber menjelaskan Bersatu yang mempunyai 26 kerusi di Dewan Rakyat bersama Barisan Nasional (42) dan PAS (18) hanya ada 86 ahli Parlimen.

Dengan sokongan yang ada pada Azmin, mereka masih tidak cukup kerusi dan memerlukan Gabungan Parti Sarawak (18) dan Parti Warisan Sabah (9), katanya.

“Tetapi GPS tidak mahu bekerjasama dengan DAP atau PAS, sementara Warisan tidak mahu bersama PAS. Jadi macam mana mereka hendak bentuk kerajaan baharu?”

Hamzah memainkan peranan dalam Bersatu bermula dengan Kongres Maruah Melayu pada Oktober 2019.

Selepas menyertai Bersatu pada Februari 2019, Hamzah mengusulkan platform Bersatu, Umno, dan PAS untuk menyatukan Melayu.

Atas nama penyatuan Melayu, ahli Parlimen Larut itu menghimpunkan pemimpin dari tiga parti besar orang Melayu untuk sepentas buat kali pertama sejak pilihan raya umum yang lalu.

Namun susulan kongres itu, sokongan terhadap Dr Mahathir merosot 20 mata dalam kalangan pengundi bukan Melayu, yang kemuncaknya ternampak apabila PH kalah besar dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Selepas runtuhnya kerajaan PH apabila Dr Mahathir letak jawatan kelmarin, Azmin dan pengikutnya dituduh sebagai pengkhianat kepada parti dan rakyat Malaysia.

Mereka bagaimanapun menjelaskan hanya mahu menyelamatkan negara dan akan terus menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Seramai 11 ahli Parlimen PKR yang diketuai Azmin berkata langkah mereka pada hujung minggu lalu untuk mendapatkan sokongan Dr Mahathir bertujuan memastikan kestabilan negara.

Mereka tidak mahu Dr Mahathir dipaksa menetapkan tarikh peletakan jawatannya, kerana menukar perdana menteri pada separuh penggal akan memberi isyarat yang salah kepada rakyat dan pelabur.

“Kami yakin percubaan memaksa perdana menteri menentukan tarikh  peralihan kuasa sebagai usaha jahat untuk menjadikan beliau sebagai perdana menteri tanpa kuasa,” kata mereka dalam satu kenyataan kelmarin. – 26 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen