Akhirnya, rampasan kuasa pintu belakang gagal


MOHAMED Azmin Ali dalam kenyataannya semalam menggesa agar tidak melengahkan pembentukan kerajaan baharu melalui “pintu belakang” dengan bergabung bersama Umno dan PAS. 

Hari ini pula mereka ada akuan berkanun yang menyatakan perkara berbeza. 

Ini semua pembohongan, pengkhianatan dan tindakan menyamun mandat rakyat!

Umno tempoh hari mendakwa ada majoriti; mahu berjumpa Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan “pintu belakang” dengan PAS. 

Sekarang ini, sudah terkantoi mereka tidak cukup bilangan, tidak cukup sokongan, dan kemudian mahu mendesak pilihan raya kilat pula. Lagi pembohongan dan pengkhianatan.

Percaturan jijik “kakistokrasi” oleh gabungan pembohong, penyamun dan pembelot ini telah gagal sama sekali. 

Niat mahu membentuk kerajaan “pintu belakang” seperti mana rejim kleptokrat terdahulu adalah satu penyelewengan dan penderhakaan kepada keluhuran perlembagaan dan prinsip demokrasi berparlimen.

Saya dan rakan-rakan kepimpinan Pakatan Harapan akan tetap teguh berpegang kepada prinsip demokrasi dan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14. 

Rakyat adalah saksi dan akan menjadi hakim kepada nasib negara. Di akhir ketidaktentuan politik ini, keadilan dan suara rakyat akan tetap menang. 

Azmin dan konconya yang bersebelasan ini sanggup menggadaikan maruah melukut di tepi gantang kleptokrat akan dihukum rakyat kerana meletakkan kepentingan peribadi dan cita-cita politik sendiri mengatasi agenda reformasi dan amanah mereka kepada rakyat. – 25 Februari, 2020.

* Howard Lee adalah ketua Pemuda DAP.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen