3 ahli Parlimen bekas Umno cuba nasib lawan ketua bahagian Bersatu


SM Amin

Bekas ahli Parlimen Umnno Mas Ermieyati di Masjid Tanah akan menentang ketua Bersatu Melaka, Mohd Redzuan Md Yusof, yang juga menteri kabinet. – Gambar fail The Malaysia Insight, 22 Februari, 2020.

TIGA bekas ahli Parlimen Umno yang keluar parti dan menyertai Bersatu, mencuba nasib hujung minggu ini bersaing untuk jawatan tinggi parti di peringkat bahagian masing-masing.

Mereka ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, dan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Mohamad Fasiah Mohd Fakeh.

Mereka juga tiga daripada tujuh ahli Parlimen bekas Umno yang diumumkan diterima menyertai Bersatu pada Februari tahun lalu.

Paling mencuri tumpuan ialah pertembungan Mas Ermieyati di Masjid Tanah yang menentang ketua Bersatu Melaka, Mohd Redzuan Md Yusof, yang juga menteri kabinet.

Redzuan yang menyandang jawatan ketua bahagian di Masjid Tanah turut dicabar oleh setiausahanya A Lukman Ab Ghani.

Mas Ermieyati keluar Umno pada 1 Julai 2018, sehari selepas pemilihan Umno. Beliau mendakwa kecewa dengan parti yang tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berubah, berdasarkan keputusan pemilihan yang mengekalkan majoriti “orang lama” biarpun selepas Umno kalah pilihan raya umum.

Lima bulan selepas keluar Umno, bekas Ketua Puteri Umno itu diterima sebagai ahli Bersatu.

Di Hulu Terengganu, Rosol yang juga bekas setiausaha Umno Terengganu bersaing dengan Zamani Mamat, bekas calon Pakatan Harapan DUN Ajil pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, dan Mohd Laisani Dollah.

Penyandang Ketua Bersatu Hulu Terengganu, Mohd Nuhairi Muhammad tidak mempertahankan jawatan, sebaliknya menawarkan diri untuk jawatan lebih rendah iaitu timbalan ketua bahagian.

Sementara itu, di Sabak Bernam yang akan mengadakan pemilihan hari ini, Fasiah bersaing dengan ketua kampung Ibrahim Saadan.

Rosol dan Fasiah adalah antara enam ahli Parlimen Umno yang keluar parti pada 14 Disember lepas.

Semua mereka, bersama Mas Ermieyati, diumum diterima menyertai Bersatu pada 12 Februari 2019.

Empat yang lain ialah Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Hamzah Zainudin (Larut), dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Mereka bagaimanapun tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan Bersatu yang bermula minggu lalu.

Dua lagi bekas ahli Parlimen Umno iaitu Mustapa Mohamed (Jeli) dan Dr Noor Azmi Ghazali, yang juga kemudian menyertai turut tidak bertanding sebarang jawatan.

Pemilihan Bersatu menggunakan sistem satu ahli satu undi bagi jawatan di peringkat cawangan dan bahagian.

Selepas pencalonan ditutup pada hujung bulan lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Syed Hamid Albar mengumumkan 39 calon ketua bahagian menang tanpa bertanding.

Antaranya termasuk pemimpin kanan parti iaitu Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Muhyiddin Yassin (Pagoh), Mukhriz Mahathir (Jerlun) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar).

Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya juga menang ketua bahagian Bagan sementara ketua penerangan Dr Radzi Jidin menang ketua bahagian Ketereh. Kedua-dua mereka adalah timbalan menteri. β€“ 22 Februari, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen