Shahrir Samad tuduh Latheefa Koya amal pendakwaan terpilih


Mas Ermieyati tidak dinamakan dalam senarai notis kompaun 1MDB didedahkan Latheefa Koya, menimbulkan dakwaan wujudnya pendakwaan terpilih oleh SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2019.

KETUA Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dituduh mengamalkan pendakwaan terpilih oleh Shahrir Samad selepas Mas Ermieyati tidak dinamakan sebagai penerima wang hasil seleweng dana negara, 1MDB.

Shahrir, bekas ahli Parlimen Johor Bharu mendakwa Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati yang dinamakan empat tahun lalu oleh Sarawak Report tidak berada dalam senarai saman dikeluarkan SPRM untuk tuntutan semula wang yang didakwa daripada 1MDB.

“Secara ajaib, Mas Ermieyati telah tidak lagi disebut namanya. Pada Ogos 2015, nama kita bertiga disebut oleh Sarawak Report. Pada 6hb Oktober, Latheefa Koya gugurkan nama Mas Ermieyati. Tinggal sahajalah saya dan Ahmad Mazlan.

“Umum mengetahui Mas Ermieyati yang pertama melompat keluar dari Umno masuk PPBM (Bersatu),” katanya dalam satu kenyataan hari ini merujuk kepada bekas ketua Puteri Umno yang jadi wakil rakyat Bebas selepas PRU14 sebelum menyertai Bersatu awal tahun ini.

Pada Isnin, Latheefa berkata 80 notis kompaun dikeluarkan kepada 71 entiti dan sembilan individu untuk menuntut semula RM420 juta milik 1MDB.

Antara sembilan individu terbabit ialah Shahrir dan adik Najib, Nazir Razak.

71 entiti pula termasuklah Umno, MCA, MIC, Gerakan dan myPPP.

Nazir dalam kenyataan dikeluarkan pada Selasa menafikan mengambil wang yang didakwa berasal daripada 1MDB, menjelaskan yang beliau akan membantu siasatan SPRM untuk tuntutan semula wang tersebut.

Beliau turut mengesahkan yang abangnya, Najib, memindahkan RM25.7 juta ke dalam akaunnya pada 2013 yang kemudian diagihkan dalam bentuk wang tunai dengan kehadiran sepenuhnya wakil Najib untuk tujuan pilihan raya.

Shahrir dalam kenyataan hari ini berkata, ketiadaan nama Mas Ermieyati dalam senarai kompaun menimbulkan persoalan tentang integriti Latheefa. 

“Tapi mengapa pula Latheefa Koya gadaikan integritinya untuk kecualikan seorang yang juga dilaporkan oleh Sarawak Report telah menerima sumbangan politik dari Najib.

“Sudahlah Mas Ermieyati tidak ada integriti politik kerana menjadi katak politik. Kini Latheefa juga sama-sama mengadaikan integritinya dengan bertindak secara selektif terhadap kami yang tetap berpendirian politik kami bersama Umno.”

Shahrir juga mempertahankan tindakannya menerima bantuan daripada Najib, berkata ia dibuat kerana beliau tidak ada sumber pendapatan lain. 

“Saya tidak mempunyai sumber kewangan lain kerana saya tidak terlibat dalam sebarang perniagaan. Oleh itu, kepada siapa lagi yang saya boleh meminta bantuan kewangan selain dari presiden parti saya.”

Shahrir juga menuduh dalam Malaysia Baharu dilaungkan Pakatan Harapan, kuasa pendakwaan digunakan secara terpilih ke atas pihak tertentu yang setia dan tegar dengan pegangan politik mereka.

“Dalam Malaysia Baru—Malaysia Bersih, yang berkuasa gunakan kuasa itu secara selektif terhadap mereka yang tetap dan teguh dalam prinsip politik.

“Inilah harga maruah,” katanya. – 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen