Latheefa Koya jawab tuduhan gugur nama Mas Ermieyati


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata agensi itu belum memuktamadkan senarai individu dan entiti yang akan dikenakan kompaun bagi mendapatkan kembali dana 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2019.

AGENSI anti rasuah belum memuktamadkan senarai individu dan entiti yang akan dikenakan kompaun bagi mendapatkan kembali dana 1MDB, kata Latheefa Koya.

Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata senarai penuh kesemua mereka yang dikenakan tindakan kompaun belum muktamad.

“Senarai yang dikemukakan baru-baru ini adalah bagi individu yang menerima jumlah RM500,000 dan ke atas.

“Pendekatan SPRM adalah untuk memberi prioriti (keutamaan)kepada jumlah yang lebih besar.

“Kriterianya adalah jumlah wang terlibat dan bukan perkara lain,” kata Latheefa dalam kenyataannya hari ini.

Menurut Latheefa, SPRM mengambil tindakan secara berperingkat dan mengeluarkan kompaun kepada pihak yang menerima jumlah RM500,000 ke atas terlebih dulu.

Katanya, Latheefa berkata SPRM mengambil tindakan secara teratur untuk mendapatkan kembali wang 1MDB secara berperingkat tanpa memihak kepada sesiapa.

Beliau mengulas dakwaan bahawa SPRM menggugurkan nama Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin daripada senarai 80 individu dan entiti yang dikompaun SPRM.

Bekas ahli Parlimen Johor Baru Shahrir Samad mempersoalkan perkara itu kerana Mas Ermieyati tersenarai sebagai antara pemimpin Umno yang menerima wang 1MDB.

Bagaimanapun, nama Mas Ermieyati tidak lagi disenaraikan selepas ahli Parlimen Masjid Tanah itu menyertai Bersatu.

Hanya nama beliau dan nama Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan masih disenaraikan Latheefa Isnin lalu sebagai penerima wang itu, kata Shahrir.

Notis kompaun pada 80 individu dan entiti itu berhubung dakwaan penerimaan RM420 juta daripada wang 1MDB.

Mereka diberi tempoh dua minggu dari Isnin bagi menjelaskan kompaun yang dikenakan mengikut Seksyen 92 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram. – 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen