Apa yang perlu untuk baiki perpecahan dalam PKR 


Chan Kok Leong

Pemimpin PKR perlu hentikan pertelingkahan secara terbuka bagi mengelakkan kesan terhadap Pakatan Harapan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2020.

PEMILIHAN PKR pada 2018 menyaksikan kepulangan semula Anwar Ibrahim dan kali pertama menerajui parti yang diasaskan olehnya susulan pemecatan dan pemenjaraannya pada 1998.

Malah, pemilihan itu mewujudkan keretakan yang besar, dan kesannya masih dirasai hingga ke hari ini. Pemilihan itu juga membawa kepada tindakan boikot mesyuarat pimpinan PKR sepanjang 2019 oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan sekutunya Naib Presiden Zuraida Kamaruddin.

Ia turut menyaksikan Zuraida dan naib presiden lain seperti Ali Biju, Chua Tian Chang dan beberapa pemimpin lain bertindak keluar daripada Kongres PKR yang berlangsung di Melaka Disember tahun lalu.

Walaupun Azmin menyalahkan Anwar kerana membenarkan perwakilan di kongres berkenaan menyerangnya dengan contoh “Si Kitol” pada ucapan pembukaannya, perpecahan boleh dilihat pada pemilihan 2018.

Walaupun Azmin mampu menewaskan Rafizi Ramli pada pemilihan parti, Rafizi masih dilantik semula oleh Anwar dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti.

Bagaimanapun, menurut penyokong Azmin, lantikan semula Rafizi itu tidak adil walaupun perlembagaan parti membenarkan kuasa presiden melantik beberapa orang ke dalam MPP.

Menurut penyokong Azmin, lantikan berkenaan juga salah satu sebab mereka tidak menghadiri mesyuarat biro politik dan MPN sepanjang 2019.

Presiden PKR Anwar Ibrahim melantik semula Rafizi Ramli pada pemilihan parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2020.

Satu lagi tuduhan penyokong Azmin terhadap Anwar adalah penyebaran video skandal seks yang didakwa melibatkan Azmin, namun dinafikan menteri ha ehwal ekonomi itu.

Namun perkara itu digugurkan selepas polis membuat kesimpulan identiti kedua-dua lelaki dalam video seks berkenaan tidak dapat disahkan. Atas dasar itu, Peguam Negara juga berkata pendakwaan tidak boleh dibuat kerana kekurangan bukti.

Sementara itu, penyokong Anwar mendakwa puak Azmin dalang di sebalik beberapa plot yang dirancang bagi memastikan presiden PKR tidak dapat menjadi perdana menteri.

Namun tiada pihak yang berjaya dalam perkara ini. Tetapi Azmin dan pemimpin yang senada dengannya, seperti Zuraida yang pernah beberapa kali berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu menerajui negara sepanjang tempoh penggal, daripada menyerahkannya kepada Anwar sebelum pilihan raya umum akan datang sebagaimana yang dipersetujui parti dalam Pakatan Harapan.

“Perpecahan semakin teruk walaupun Anwar pernah menawarkan kata dua,” kata Naib Presiden PKR Chang Lih Kang.

Chang merujuk kepada pendekatan Anwar terhadap Azmin selepas beliau bertindak keluar daripada kongres tahun lalu Anwar berkata PKR tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap timbalannya.

Chang yang juga ahli Parlimen Tanjung Malim berkata, Azmin bukan sahaja menolak untuk berdamai namun terus menyokong secara terbuka Dr Mahathir Mohamad menerajui negara sehingga habis penggal.

“Azmin dan juga Zuraida secara terbuka menyokong Dr Mahathir dan ini tidak membantu ketika kita cuba berunding mengenai tarikh peralihan kuasa dan masa depan PH dan Malaysia,” kata Chang.

Namun Chang yakin isu itu akan dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Naib Presiden PKR Chang Lih Kang berkata isu perpecahan dalaman parti itu boleh diperbaiki sekiranya peralihan kuasa perdana menteri berjalan lancar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Februari, 2020.

Itu adalah bila Malaysia selesai menjadi tuan rumah untuk persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang kata Dr Mahathir akan menjadi petanda peralihan kuasa kepada Anwar.

Chang merasakan apabila masa peralihan kuasa jelas, tidak perlu lagi permainan politik terhadap Anwar serta mampu mengurangkan ketegangan dalam parti.

“Ia bergantung pada peralihan. Sekiranya semuanya berjalan lancar, keretakan boleh diperbaiki. Sekiranya gagal, ia akan menjadi sangat sukar,” katanya.

Isu peralihan kuasa dijangka akan menjadi agenda mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.

Sama ada ia akan menutup mulut kem Azmin atau tidak, pokoknya PKR perlu hentikan pertelagahan, atau ia akan menjejaskan PH pada pilihan raya seterusnya.

Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Lau Zhe Wei berkata beliau tidak merasakan kedua-dua pihak akan berdamai.

Bagaimanapun, pertelingkahan secara terbuka perlu dihentikan, sekiranya PH mahu menjaga kredibilitinya sebelum pilihan raya umum akan datang.

Pakatan pemerintah perlu menggandakan usaha untuk memenuhi janji pilihan raya.

“Sekiranya PH berjaya memenuhi manifesto piihan rayanya, maka konflik dalaman PKR tidak akan memberi impak yang besar.

“Tetapi imej dan popilariti kerajaan kini sangat lemah, konflik dalaman parti hanya akan menjejaskan pilihan pengundi,” kata Lau. – 21 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen