Pembahas serang Azmin, perwakilan keluar dewan kongres


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis Lee Chi Leong

Antara mereka yang dilihat meninggalkan kongres itu ialah Naib Presiden Tian Chua dan Ketua Wanita Haniza Talha serta Timbalannya Dr Daroyah Alwi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Disember, 2019.

KEKECOHAN tercetus sekali lagi di Kongres Nasional PKR 2019 apabila sekumpulan perwakilan bertindak keluar dewan sebaik sahaja persidangan sesi petang bersambung pada petang ini.

Kumpulan perwakilan berkenaan menyatakan rasa tidak berpuas hati terhadap pilihan pembahas yang menurut mereka hanya terdiri daripada anggota kumpulan tertentu.

Mereka juga tidak berpuas hati kerana perwakilan tersebut didakwa menyerang kumpulan penyokong Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Salah seorang perwakilan, K Kunasegaran dari cabang Shah Alam berkata, beliau kesal kerana kongres itu menjadi medan untuk menyerang Azmin.

“Kita datang dari jauh ke Melaka ke kongres kita nak dengar ucapan dasar presiden bukan hentam timbalan presiden dan pilih pembahas semua satu pihak.

“Ini tak ikut apa presiden janji. Tak patut macam ini, kita ahli nak ucapan pembahas berbincang mengenai usul dan manifesto, tetapi ini hentam-hentam.

“Saya hampa, datang sini dari jauh tapi jadi medan hentam orang lain,” kata  K Gunasekaran kepada The Malaysian Insight.

Kekecohan itu tercetus apabila kalangan kira-kira 100 orang perwakilan yang keluar itu melaungkan arahan “Balik” ketika meninggalkan dewan persidangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

Beberapa pemimpin parti seperti Naib Presiden Tian Chua, dan Timbalan Ketua Wanita Daroyah Ali juga kelihatan meninggalkan dewan persidangan di Ayer Keroh itu.

Ketika ditanya, Tian Chua dan Daroyah bagaimanapun menafikan mereka memboikot persidangan.

“Tidak boikot, mana ada boikot, saya mahu keluar sekejap ada jumpa orang,” kata Tian Chua, kepada pemberita.

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin yang ditemui pemberita berkata beliau bagaimanapun tidak mengetahui alasan tindakan perwakilan berkenaan.

Katanya, ucapan dasar Presiden PKR Anwar Ibrahim awal hari ini juga tidak menyentuh secara khusus mana-mana idividu dan pemimpin PKR.

“Soal sebahagian yang merasakan perkara itu saya rasa tidak ada satu pun nama Azmin disebut. Kartel tak sebut, yang ada disebut masa kongres AMK. Saya tak faham adanya dakwaan mengatakan hujah itu

“Kita tak tahu apa sebab mereka, parti akan bawa kepada jawatankuasa disiplin untuk diteliti, tetapi hari ini kita masih berkongres,” kata Shamsul lagi. – 7 Disember, 2019.

MENYUSUL  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen