Rafizi Ramli dilantik naib presiden PKR


Rafizi Ramli dilantik menjadi naib presiden PKR susulan pengumuman presiden parti Anwar Ibrahim hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2018.

RAFIZI Ramli dilantik sebagai naib presiden PKR, bersama Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju untuk mengisi tiga kerusi lantikan dalam majlis pimpinan tinggi parti itu.

Pelantikan itu diumumkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Perlembagaan PKR memperuntukkan sembilan jawatan naib presiden dengan empat daripadanya dipilih menerusi pemilihan parti manakala ketua sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita masing-masing mendapat satu kuota.

Tiga lagi kekosongan jawatan naib presiden dibuat secara lantikan berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Antara keputusan lain dalam mesyuarat itu yang diadakan hari ini, Saifuddin Nasution Ismail dan Fahmi Fadzil kekal memegang jawatan lama masing-masing iaitu sebagai setiausaha agung dan pengarah komunikasi. 

Manakala calon naib presiden yang tewas pada pemilihan lalu, Shamsul Iskandar Md Akin dilantik sebagai ketua penerangan parti.

Sementara itu enam ahli lantikan MPP menampilkan wakil rakyat PKR antaranya Syed Ibrahim Syed Noh (Ahli Parlimen Ledang), Lee Khai Loon (Adun Machang Bubuk) dan S Kesavan (Ahli Parlimen Sungai Siput). 

Raymond Ahuar yang tewas perebutan jawatan timbalan AMK turut dilantik membarisi MPP. 

Antara jawatan lain yang diisi adalah bendahari agung (Lee Chean Chung), setiausaha pengelola (Nik Nazmi Nik Ahmad) dan pengarah strategi (Dr Mansor Othman).

Menurut surat yang ditandatangani Anwar,  keputusan lantikan ini melambangkan gandingan pimpinan tua dan muda seluruh pelusuk negara yang merupakan kekuatan parti reformasi itu.  – 28 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen