Kisah Si Kitol cetus kumpulan Azmin keluar kongres


Lee Chi Leong

Si Kitol dan Raja Mendeliar disebut dalam sejarah Melayu sebagai pengkhianat Kesultanan Melaka yang membawa kepada kejatuhan kerajaan itu ke tangan Portugis pada tahun 1511. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Disember, 2019.

PERWAKILAN yang keluar dari Kongres PKR hari ini memberikan alasan kisah “Si Kitol” dalam ucapan dasar Anwar Ibrahim menyebabkan mereka keluar dari dewan, kata Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden PKR itu berkata beliau berharap para perwakilan akan memberi tumpuan kepada dasar dan hala tuju parti semasa ucapannya.

“Tetapi itu tidak berlaku selepas Anwar Ibrahim memasukkan kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar dalam ucapan dasarnya pagi ini,” kata Azmin kepada pemberita pada sidang akhbar yang diadakan di luar Kongres PKR di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka.

“Beliau memberi isyarat kepada perwakilan untuk melancarkan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan kepimpinan PKR,” kata Azmin.

Si Kitol dan Raja Mendeliar disebut dalam sejarah Melayu sebagai pengkhianat Kesultanan Melaka yang membawa kepada kejatuhan kerajaan itu ke tangan Portugis pada tahun 1511.

Kedua-dua watak tersebut sering digunakan dalam kesusasteraan dan pidato Melayu bagi merujuk pengkhianat dalam kumpulan atau negara.

Kenyataan Azmin tersebut ditandatangan oleh Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, Chua Tian Chang dan Ali Biju, Ketua Wanita PKR Haniza Mohamed Talha dan timbalannya, Dr Daroyah Alwi, Timbalan Ketua Pemuda Hilman Idham, Baru Bian, serta anggota MPP Amirudin Shaari, Mohd Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah , Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Saifuddin Abdullah, Zakaria Abdul Hamid, Radzlan Jalaluddin, Dr Mansor Othman, Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, R. Santhara Kumar dan Lee Khai Loon.

Pada pukul 3 petang tadi, kira-kira 100 perwakilan dan pemerhati keluar dari Kongres PKR semasa perbahasan ucapan dasar presiden PKR. – 7 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen