Kebudayaan tempatan dalam sinema Malaysia


Daniyal Kadir

Pengarah Korea Selatan, Bong Joon-ho (baris ke-2, empat dari kanan) bersama ahli utama dan bintang filem Parasite di London West Hollywood di Los Angeles, California. – Gambar EPA, 15 Februari, 2020.

KEMENANGAN besar filem “Parasite” di Anugerah Akademi awal minggu ini mencetuskan gelombang perbincangan yang hebat.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa keupayaan Bong Joon-ho memecah masuk festival-festival filem utama dunia dan menunjukkan kepada Hollywood bagaimana keaslian sebuah filem, menjadikan sinema Republik Korea dan Asia kini sebagai antara tumpuan penting dunia.

Apa yang dihasilkan melalui Parasite memberikan kesimpulan mudah kepada kita bahawa sesebuah filem yang baik, tetap akan dikenang sebagai hasil seni yang baik, tidak kira apa jenis bahasa yang diguna pakai.

Membawakan kemelut sosial di Republik Korea, Parasite diterima dengan cukup hebat sebagai sebuah filem yang lengkap dengan nilai-nilai universal.

Ini menyebabkan ia mudah dihadam oleh mana-mana masyarakat pun di seluruh dunia.

Bahasa Korea bukanlah halangan untuk kita menikmati apa yang diberikan Joon-ho, malah ia membuatkan kita merasa lebih seronok dapat menonton sebuah filem yang jelas kaya dengan ciri-ciri tempatan, tetapi berkeupayaan mengangkat hal-hal universal.

Anugerah Akademi bukanlah satu-satu pencapaian hebat Parasite, malah filem ini sebelum itu lagi telah menjulang anugerah tertinggi Palme d’Or di festival filem paling berprestij, Festival Filem Cannes.

Selain merangkul anugerah perfileman utama dengan karya bermutu tinggi, satu perkara yang menarik perhatian kita semua tentang kejayaan Parasite ialah jati diri Korea yang menebal dalam diri senimannya, khasnya Joon-ho.

Kita melihat sendiri bagaimana Joon-ho di sebuah majlis di Amerika Syarikat dengan bahasa rasminya ialah Inggeris dan majoriti besar yang hadir di Oscar itu ialah orang-orang Inggeris yang tidak memahami bahasa Korea, namun beliau tidak mahu terkial-kial berbicara dalam bahasa Inggeris, sebaliknya memilih untuk menegakkan keupayaan bahasa Korea.

Dengan penuh yakin, Joon-ho melontarkan setiap kata-katanya dalam bahasa sendiri dan ia diterjemahkan oleh individu lain yang setia di sisi.

Melalui hal ini sebenarnya Joon-ho telah memecahkan tembok pandangan tentang keterbatasan bahasa dalam mengenal filem.

Joon-ho menjadikan bahasa Korea sebagai bahasa penting dalam menonton filem dan ia menjadi penggerak utama untuk kita menyaksikan sinema Republik Korea akan terus bangkit menyinari layar-layar seluruh dunia.

Parasite bukan sahaja boleh dilihat dari sudut filemnya, namun ia sudah menjadi lambang keyakinan Republik Korea terhadap karya seni sendiri.

Ia menjadi kemegahan yang sukar diucapkan. Ia melontarkan satu statement terpenting, buatlah filem yang baik dan ia akan mendapat sambutan hangat.

Jadi bikin filem ini tidak memerlukan kegusaran melampau terhadap bahasa. Bahasa di dalam sesebuah filem wajar digunakan berasaskan kepada kedudukan sosiobudaya masyarakat yang mahu dipaparkan.

Ia bukan tentang bahasa ini atau bahasa itu perlu digunakan untuk memenuhi tuntutan pasaran di negara-negara luar. Misalnya kita perlu membikin filem dalam dua versi untuk memastikan filem kita dapat dipasarkan dengan mudah di negara China.

Pengukuhan jati diri dan semangat cintakan bahasa kebangsaan, amat berkait rapat untuk kita menghasilkan filem-filem yang sarat dengan nafas tempatan, tetapi mampu dinikmati oleh penonton di seluruh dunia.

Kita ambil contoh bagaimana U-Wei Haji Saari berjaya mengharumkan nama kita di pentas dunia dengan filem-filemnya yang sangat kuat semangat tempatannya.

Walaupun kebanyakan karya U-Wei ialah adaptasi daripada teks luar negara, namun sebagai seorang pengarah yang bijak dan terpateri di dalamnya semangat dan jiwa tempatan, maka kita dapat menikmati dengan penuh penghayatan filem seperti “Kaki Bakar”.

Pembikin filem tempatan tidak seharusnya terlalu terbuai dengan Hollywood dan Eropah sehingga mempengaruhi semangat karya. Misalnya walaupun membikin filem tentang kebudayaan tempatan, tetapi visualnya terasa terlalu kebaratan dan pudar nilai-nilai setempat yang sewajarnya menjadi keutamaan.

Ini bukanlah bermaksud pembikin filem tempatan tidak perlu menjadikan filem-filem dari Amerika Syarikat atau Eropah sebagai rujukan.

Ia tetap perlu dan wajar untuk mereka menonton apa jua filem yang baik sebagai persediaan menjadi pembikin filem berkualiti, namun dalam masa meninjau filem-filem dari luar, dekatkanlah diri dengan pembikin filem klasik tempatan dan novel-novel atau cerpen-cerpen tulisan penulis sendiri.

Raikanlah filem-filem Hussein Haniff, M. Amin atau Salleh Ghani untuk kita memahami sosiobudaya setempat dan sesudah itu, kita mampu untuk melangkah gagah membikin filem yang kuat dari sudut kebudayaan tempatan.

U-Wei merupakan contoh terbaik bagaimana seseorang pengarah yang dipenuhi jati diri tempatan akan mampu mengangkat karya-karyanya ke tahap terbaik.

Walaupun menetap lama di Amerika Syarikat, namun budaya sendiri tetap tersemat rapi dalam pemikiran dan jiwa beliau, sehingga setiap filem yang terhasil adalah refleksi dan tanggungjawab beliau terhadap rasa tempatan. – 15 Februari, 2020.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen