Parasite: Menghidu kebusukan sosial


Daniyal Kadir

PERSOALAN tentang kemiskinan, pergelutan kelas masyarakat, diskriminasi sosial dan yang seangkatan dengannya tidak pernah menemui jawapan tepat sehingga ke hari ini. Walaupun kajian akademik, buku-buku ilmiah, pendapat di akhbar dan majalah sudah terlalu banyak bercakap tentang perkara ini.

Filem dan muzik juga sama, sudah terlalu banyak yang memperjuangan soal keadilan sosial melalui kedua-dua medium ini, namun halnya tetap tidak pernah selesai juga. Namun bukanlah menjadi tanggungjawab pembikin filem, pencipta lagu atau penulis puisi untuk menyelesaikan semua masalah ini.

Pembikin filem misalnya, selain daripada meneroka kebebasan seni, tanggungjawab mereka adalah membangkitkan kesedaran. Menyebabkan orang sedar adalah punca atau permulaan kepada usaha lanjut untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Bagaimana sesebuah filem boleh menyedarkan kita, untuk tergantung kepada kefahaman masing-masing.

Ada filem yang menyedarkan kita secara peribadi, ada filem pula mendatangkan kesedaran tentang hal-hal yang kita sendiri tahu wujud, tapi jarang-jarang mengambil tahu. Pendekatan menyedarkan manusia melalui filem ini saban waktu berubah-ubah, ia dinamik, bergantung kepada keadaan masyarakat dan apa kesedaran yang mahu dibawa.

Khamis lalu saya berkesempatan menonton filem yang ditunggu-tunggu sudah sekian lama, Parasite (2019) arahan Bong Joon-Ho. Seorang pengarah filem dari Korea yang kini semakin mekar kerana karya-karya yang mencucuk akal kita. 

Jika kita meneliti kembali filem-filem Joon-Ho sebelum ini, beliau seorang yang gemar menggunakan black comedy sebagai senjata dan ia ternyata bersesuaian dengan kegemaran beliau menyentuh hal-hal yang tidak selesa dalam norma masyarakat.

Kita sering dipaparkan kemolekan Korea, keindahan dan kecantikan. Namun di tangan Joon-Ho ia suatu yang lebih gelap, lebih mencengkam jiwa kita untuk merasai sebuah seksa yang terbentuk dan sedia terbenam dalam roh sebuah masyarakat. Malah dalam sesetengah keadaan filem-filem Joon-Ho juga mengejutkan, perubahan pada moodnya mendadak, tidak memberikan ruang untuk kita mempercayai apa yang berlaku.

Pendekatan seperti ini membuatkan kita akan termenung panjang memikirkan tentang filem-filemnya.

Begitu juga halnya dalam Parasite. Kita dibawakan dengan kisah pergelutan kelas masyarakat. Joon-Ho memaparkan bagaimana keluarga yang miskin sedang terdesak untuk mendapatkan wang demi kelangsungan hidup dan di sini beliau menggunakan kesempatan memaparkan bagaimana hubungan golongan kaya, atasan, kapitalis dengan golongan bawahan dan kelas pekerja.

Joon-Ho memberikan satu pemahaman dan makna baru kemiskinan dan keperluan manusia. Jika sebelum ini keperluan manusia terhad kepada rumah, pakaian dan makanan sahaja, namun Joon-Ho memasukkan Internet sebagai keperluan asas terbaru bagi manusia. Ini sebuah pemaparan jelas tentang suasana masyarakat sudah berubah dan kemajuan telah menghentak manusia untuk menelan Internet sebagai keperluan baru.

Latar terpenting dalam filem ini ialah rumah. Asas dan punca kepada kehidupan manusia ialah rumah, tempat berlindung dan tempat menyimpan segala-galanya. Di rumahlah wujudnya rahsia yang tidak diketahui orang, ruang privasi yang menjadi keperluan individu serta menjadi kepentingan untuk kita membezakan status sosial seseorang.

Dalam Parasite, kita dapat melihat dengan mata sendiri bagaimana rumah orang miskin dan bagaimana pula rumah orang kaya. Bagaimana orang miskin menyimpan angan-angan untuk menjadi kaya dan bagaimana pula orang kaya sering memperolok-olokkan impian orang miskin. 

Ini menjadi asas kepada filem ini, sebuah pergelutan kelas dan persoalan besar mengenai diskriminasi sosial.

Struktur rumah si kaya juga menjadi tempat untuk Joon-Ho memaparkan sebuah kegelapan dalam strata sosial yang senget. Kita melihat bagaimana ruang aras bawah tanah atau basement menjadi tempat yang dituju oleh orang-orang miskin dan ruang atas menjadi permainan besar buat orang-orang kaya. Melihatkan rumah ini sahaja kita dapat memahami bagaimana struktur sosial itu amat buruk dalam melayan manusia.

Kita juga dipaparkan dengan keterasingan hidup orang-orang kaya, privasi yang dituntut kadangkala membunuh terus nilai sosial dan perhubungan dalam masyarakat. Ruang rumah si kaya yang kosong, sepi serta sering gelap membuatkan kita memahami perasaan menjadi orang kaya yang mungkin berisi poket, tapi jiwanya tiada apa-apa.

Percampuran mereka juga seperti sebuah kepalsuan, dalam erti kata kita tidak pasti dalam menilai bagaimana si kaya itu benar-benar berkawan, adakah interaksi sosial mereka jujur? Atau semata-mata tergantung kepada status sosial yang membina benteng untuk mengelakkan keikhlasan dalam bercampur-gaul.

Berbeza dengan pemaparan di rumah si miskin yang walaupun sempit, namun interaksinya lebih jujur dan ada setiakawan yang jelas di samping perhubungan dalam keluarga juga semestinya lebih kukuh.

Aspek ketidakfungsian keluarga juga amat menarik untuk diterokai dalam Parasite. Bagaimana keluarga si kaya itu memiliki kecenderungan yang pelik. Misalnya anak perempuan yang kelihatan naif, tapi sebenarnya memiliki karakter penggoda; anak lelaki yang berhadapan trauma berpanjangan sehingga menjejaskan psikologinya. Si suami yang tidak pasti tentang cintanya terhadap isteri dan si isteri yang terlalu lurus dalam semua hal sehingga mudah diperkotak-katikkan.

Parasite sebuah kritik besar terhadap soal politik dan sosial di Korea, malah ia boleh dilanjutkan kepada perbincangan meluas tentang hal yang sama di seluruh dunia. Sebuah filem dengan nilai universal yang kuat, kenakalan yang mencuit hati dan dalam masa sama setiap ketawa yang kita sumbangkan semasa menonton filem ini ialah ketawa untuk diri sendiri.

Walau bagaimana berjasa pun kita, namun status sosial tetap menjadi bau busuk yang memisahkan manusia. – 17 Ogos, 2019.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen