Pengerusi SPR baharu dikenal pasti, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mematuhi proses sewajarnya yang diperlukan untuk pelantikan pengerusi SPR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2024.

CALON baharu untuk mengetuai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikenal pasti dan kerajaan kini akan menjalani proses yang diperlukan sebelum membuat pengumuman.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mematuhi proses sewajarnya yang diperlukan untuk pelantikan itu termasuk mendapatkan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Ia sudah dimuktamadkan. Kami akan mengikuti proses dan memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pelantikan itu,” katanya hari ini selepas satu majlis di Kuala Lumpur.

Jawatan itu kosong berikutan persaraan Abdul Ghani Salleh pada 9 Mei lalu selepas empat tahun menjadi pengerusi.

Minggu lalu Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom berkata proses pelantikan pesuruhjaya dan pegawai SPR perlu telus kerana pelantikan “diselindungi kerahsiaan dan kekaburan”.

Anwar berkata kebimbangan Azmi boleh difahami.

“Kita tidak berunding dengan timbalan pengerusi SPR (mengenai pelantikan). Kita perlu melalui proses yang sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini gerakan masyarakat sivil termasuk Bersih menggesa Putrajaya menubuhkan jawatankuasa Parlimen bagi merombak proses pelantikan jawatan pengerusi SPR.

Di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan pelantikan ahli SPR termasuk pengerusinya memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Sementera itu Anwar berkata beliau akan berbincang dengan kepimpinan kerajaan perpaduan mengenai calon Yang Dipertua (YDP) Dewan Negara yang baharu.

“Kita akan bincang perkara ini dengan parti dan kepimpinan Sarawak apabila saya berada di Sarawak esok,” tambahnya.

Pada 10 Mei Yang Dipertua Dewan Negara Mutang Tagal, 70, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur. – 26 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen