Mimpi broker tanah dan dajal broker politik


Zainal Rashid Ahmad

ADA jenaka mengenai broker politik dan minat mereka bermain golf 18 lubang: “Tiap lubang ada villa, banglo, kondo, kereta mewah, tanah dan hartanah serta longgokan wang berjuta-juta.”

Ada juga kes yang lebih mengerikan. Undi perwakilan dibayar dengan tajaan umrah atau pakej haji.

Nauzubillah.

Borak broker politik selalu penuh dengan cakap besar. Semua tindakan akan dikaitkan sebagai: Presiden parti mahu calon yang itu dan yang ini. Peranannya selalu dibayangkan sebagai misi orang nombor satu.

Walaupun calon yang membayar kerjanya jahatnya hanya bertanding di kerusi peringkat bahagian.

Broker geran tanah dan anganan jadi jutawan

Borak broker geran tanah pula selalunya sekadar menghabiskan masa di kedai kopi. Fokusnya hanya bergebang untuk kaya-raya hasil komisen jualan tanah.

“5% dah cukup. Tanah setengah bilion. Dapat saja pembeli, aku terima komisen RM25 juta. Aku akan cuci tangan dan berehat sampai mati.”

Itu anganan broker tanah yang dialognya sama saja sejak empat dekad lalu. Hidupnya tidak ke mana sejak zaman warung di bawah pokok ceri.

Dulu rambutnya hitam lebat dan kini sudah botak beruban. Broker tanah tetap percaya, dirinya bakal jutawan.

Pada era 90-an, broker tanah turut mengikut trend zaman. Dari warung bawah pokok, mereka berpindah ke dalam restoran.

Setiap hari, dari awal pagi hingga malam, meja kopi dipenuhi tebaran pelan tanah dan salinan fotostat geran. Saiz tanah ratusan hektar, sana-sini di seluruh Malaya.

Cuma, selama empat dekad yang paralel, kehidupan broker tanah tidak seindah kehidupan broker politik.

Broker tanah hidup dan mati sekadar dibuai mimpi bergelar jutawan. Broker politik bertambah kaya dan kaya setiap kali tahun pemilihan.

Dalam politik – kerja broker lebih daring dan praktikal. Aliran tunai berkepuk-kepuk dan memenuhi kocek yang dalam.

Tender projek puluhan juta boleh ditandatangani secara sah menjelang musim pemilihan.

Sekelip mata, di tangan broker politik, sulap undi boleh menyebabkan berlakunya transaksi projek bernilai puluhan juta ringgit.

Tanpa broker politik, urusan jual beli kuasa dalam pemilihan parti tidak mudah berlaku. Sekiranya broker tidak memainkan peranan, calon sukar membeli undi perwakilan.

Dalam sistem pemilihan parti, broker wujud dan hidup di semua peringkat. Serendah rasuah puluhan ringgit bagi pemilihan cawangan, sampai korupsi puluhan juta ringgit bagi jawatan jawatan tinggi parti.

Pada masa lalu, parti yang menjadi kerajaan terpaksa menggadaikan banyak projek. Apalagi kalau yang bertanding jawatan utama adalah menteri.

Politik pemilihan menyebabkan projek negara turut dipartikan.

Penyelewengan dilakukan secara meluas kerana prinsip: “Wang membeli kuasa dan kuasa membikin wang.”

Rasuah politik berkembang secara sangat agresif apabila jawatan utama dalam parti menjadi buruan.

Sistem undi pukal secara negeri merancakkan lagi penyelewengan projek kerajaan. Broker menguruskan jual beli undi melalui harga undi blok secara negeri.

Memandangkan pemilihan parti tiga tahun sekali, kerja broker tidak pernah ada waktu rehat. Tugas melobi bermula seawal 18 bulan sebelum pemilihan bermula.

“Tidak mudah untuk calon sampai ke sumber undi paling bawah. Peranan kami memastikan komitmen antara calon dan perwakilan terlaksana,” kata broker.

Ketika menjadi editor berita, saya mual melihat kunjungan broker ke pejabat tiap kali menjelang pemilihan.

Broker menghabiskan masa dengan wartawan dan editor dan secara bijak pula menawarkan umpan.

Selain membeli undi perwakilan, broker juga memainkankan peranan “membeli wartawan dan editor” di bilik berita.

Media massa memainkan peranan penting memberikan liputan hebat mengenai calon. Kempen begini turut merangkumi tugas broker.

Kaedah kempen ialah: “Memanipulasi media dalam mempromosi karektor calon.”

Kempen media massa sebenarnya tidak membantu calon dalam pemilihan. Dalam sistem parti, yang layak mengundi hanya perwakilan parti.

Bagi broker, strategi kempen terbuka di media massa penting untuk populariti calon.

Motifnya mudah. Sekiranya calon menang, popularitinya akan mengabui amalan membeli undi secara rasuah.

Peranan broker tidak statik. Perwakilan parti dan media massa adalah dua fraksi berbeza.

Apabila bertemu perwakilan dalam sesi tertutup, calon tidak akan membuang masa. Naratifnya: “Anda akan dibayar bagi setiap undi yang diberi.”

Apa pun, dalam banyak keadaan, calon tidak berani berterus-terang menawarkan ganjaran.

Calon hanya bergula-gula dalam ucapannya. Detils jual beli undi dilakukan broker. Sama ada sokongan dibayar dengan wang tunai atau ditukar dengan projek.

Semuanya bergantung mengikut keadaan. Saiz kos rasuah mengikut ranking jawatan.

Rasuah broker dalam kewartawanan

Wartawan dan editor juga dibeli broker. Kempen memenangkan calon mesti bersifat 360°; merangkumi apa saja yang boleh dijadikan senjata meraih sokongan.

Malah, bukan rahsia – ada kes wartawan dan editor menerima kad kredit yang ditanggung calon yang bertanding.

Sangat aneh apabila wartawan menerima hadiah kad kredit bernilai antara RM20 ribu hingga RM50 ribu.

Ia membuatkan kita terfikir – berapa banyak modal rasuah yang perlu dikeluarkan calon untuk mendapat kedudukan tinggi dalam parti?

Ada jenaka yang menyebut, untuk jawatan ketua bahagian, calon perlu berbelanja RM1 juta (kalau calon bertanding di bahagian dalam bandaraya besar, angka membeli undi boleh mencecah RM10 juta).

Harga undi rupanya turut dipengaruhi kos sara hidup (hahaha).

Antara kes politik wang yang menggemparkan

Rekod politik wang di negara kita memang bersepah-sepah. Antaranya, ada dua yang menggemparkan.

Pada 2004, Isa Samad terpalit dengan politik wang ketika pemilihan naib presiden Umno. Akibatnya, Lembaga Disiplin Umno menggantung keahliannya selama 3 tahun. Pada 2009, Mohd Ali Rustam pula didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno.

Ali dituduh menggunakan tiga ejen yang mengamalkan politik wang.

Pada pemilihan PKR pula, Anwar Ibrahim pada Oktober 2018 mengeluarkan amaran pada calon-calon bertanding.

“Kerja membeli undi itu adalah kerja haprak (makian bermaksud tidak berguna)!. Kamu tak (tidak) hebat, akhlak kamu rendah. Orang sokong kerana kamu ada wang,” kata presiden PKR yang waktu itu menjawat jawatan penasihat parti.

Bekas presiden Transparency International-Malaysia Ramon Navaratnam, pernah menyifatkan amalan politik wang di negara ini sangat serius.

“Amalan politik wang kini menimpa Malaysia secara besar-besaran, dengan berjuta-juta ringgit  wang kebajikan dan kesejahteraan rakyat dibelanjakan calon-calon pilihan raya dan pemilihan parti.”

Umno, Amanah dan PKR sudah melalui sesi pemilihan pasca PRU 14.

Kini giliran parti Bersatu berdepan cabaran musim pemilihan jawatan.

Secara sejarah, parti muda yang dikaitkan sebagai bekas Umno ini, akan mengadakan pemilihan bagi kali pertama sejak ditubuhkan pada 2016.

Moga pemilihan Bersatu bersih daripada politik wang. – 5 Februari, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen