Lokman tak patut dedah rahsia parti, kata Umno


UMNO menganggap Ahli Majlis Tertingginya, Lokman Noor Adam melakukan kesalahan kerana mendedahkan rahsia parti mengenai rancangan berkerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangannya, Shamsul Anuar Nasarah berkata Lokman tidak sepatutnya mendedahkan rancangan tersebut, lebih-lebih lagi kerana ia hanya rancangan awal.

“Mendedahkan rahsia parti kepada umum adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Justeru menghebahkan apa yang disebut oleh presiden Umno dalam mesyuarat tertutup sebagaimana yang dilakukan oleh Lokman Adam adalah tindakan yang salah.

“Apatah lagi presiden Umno hanya memberikan gambaran awal serta ingin mendapat pandangan dari pelbagai pihak berhubung perkara membabitkan kepentingan parti,” kata Shamsul.

Beliau menjawab kenyataan keras orang kuat bekas perdana menteri Najib Razak itu yang disiarkan di Facebook malam tadi.

Tambah Shamsul, Lokman juga tidak patut menganggap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengkhianat parti kerana rancangan itu masih belum dimuktamadkan.

Malah Umno tidak akan bekerjasama selagi DAP berkongsi kuasa dalam Pakatan Harapan, katanya.

“Umno tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti terutama parti-parti yang menganggotai Pakatan Harapan selagi mereka berkongsi kuasa politik dengan DAP.

“Maknanya Umno menolak sebarang bentuk kerjasama yang melibatkan DAP,” katanya.

Lokman semalam antara lain menggelar Zahid sebagai pengkhianat dan tiada jati diri kerana sanggup membawa Umno bekerjasama dengan Dr Mahathir.

Dakwanya, rancangan itu dinyatakan Zahid dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional Umno dipengerusikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Tajuddin Abd Rahman.

Dakwanya, Zahid antara lain menyebut Umno perlu turut bekerjasama dengan Dr Mahathir kerana PAS juga berhasrat berbuat demikian.

Menurutnya, Zahid juga menyatakan Umno tidak dapat menyelesaikan “masalah” dihadapi Najib jika tidak menjalankan kerjasama itu.

“Masalah” itu dipercayai merujuk kepada tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang dihadapi perdana menteri keenam itu.

Lokman mendakwa, kerjasama itu hanya untuk membolehkan Zahid, yang turut menghadapi 87 tuduhan di mahkamah menyelamatkan dirinya dengan mendapatkan hukuman lebih ringan.

Dakwanya, jelas sekali rundingan dilakukan kerana kini Zahid hanya menghadapi tuduhan yang berkurangan.

“(Sebanyak) 33 pertuduhan yang beliau hadapi kini mendapat tawaran pilihan dengan hukuman lebih rendah. Ini juga boleh dianggap bukti jelas rundingan telah berlaku.  

“Dari pertuduhan yang boleh membawa hukuman denda atau penjara 20 tahun setiap pertuduhan, kini tinggal denda atau penjara maksimum dua tahun sahaja,” katanya.

Selain itu Lokman juga mendakwa Zahid menyatakan rancangan kerjasama itu juga mengambil kira bahawa Dr Mahathir berkuasa untuk mengharamkan Umno.

Dakwanya, beliau mempunyai bukti Zahid menyatakan demikian dalam mesyuarat itu dalam bentuk rakaman audio. – 4 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen