Lokman bidas Zahid, sifatkan beliau pemimpin 'lemah' 


Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam berkata beliau malu kerana mempunyai seorang presiden yang lemah dan tiada jati diri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2020.

AHLI Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam membidas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kerana mengakui parti itu perlu bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad untuk survival politiknya.

Lokman berkata, beliau juga malu kerana memiliki seorang presiden sepeti Zahid dan menyifatkan ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebagai pemimpin yang lemah.

“Zahid berkata disebabkan PAS hendak kerjasama dengan Mahathir, Umno kena ikut, ini pada saya amat memalukan Umno. Saya amat malu hari ini kerana mempunyai seorang presiden yang lemah dan tiada jati diri.”

“Tidak masuk akal bahawa Umno perlu mengikut PAS menyokong seorang diktator yang zalim dan meninggalkan mantan presiden Umno (Najib Razak) yang sedang dianiaya oleh Mahathir,” kata Lokman dalam satu kenyataan hari ini.

Lokman turut membidas Zahid dengan menuduh veteran Umno itu menyalahgunakan nama Najib untuk menghalalkan tindakannya berunding dengan Dr Mahathir.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi didakwa menggesa partinya untuk tidak menentang perdana menteri sekiranya mahu kekal sebagai sebuah parti politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2020.

“Selepas guna nama Abdul Hadi Awang untuk menghalalkan tindakannya berunding dengan Mahathir, sekarang dia guna nama Najib pula.

“Yang dia tidak cerita, perundingan dengan Dr Mahathir hanyalah untuk menyelamatkan dirinya daripada 87 pertuduhan dan kembali dalam Kabinet,” dakwanya.

Zahid ketika berucap dalam mesyuarat Muafakat Nasional yang dipengerusikan Tajuddin Abdul Rahman hari ini menyatakan empat sebab mengapa parti itu perlu menyokong kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam rakaman audio yang dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp, Zahid berkata Umno perlu mengikut jejak langkah PAS yang memutuskan untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir.

Zahid juga berkata Umno tidak boleh membantu Najib yang berdepan beberapa pertuduhan rasuah sekiranya parti itu tidak menyokong Dr Mahathir.

Menurut Zahid, kuasa kini di tangan Dr Mahathir dan beliau sangat berkuasa untuk mengharamkan Umno.

Terakhir, Zahid berkata, beliau boleh guna kuasa veto untuk berkerjasama dengan Dr Mahathir. Sebaliknya beliau menyerahkan keputusan untuk dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno. – 3 Februari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen