Ronnie Liu bidas Musa Hassan


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat DAP, Ronnie Liu berkata parti itu tidak mendapat apa-apa faedah sekiranya mampu mengubah sejarah.–Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2020.

DAP tiada kuasa untuk mengubah sejarah dan ia tidak beri apa-apa faedah sekiranya mampu melakukannya, kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat DAP, Ronnie Liu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas ketua polis negara Musa Hassan bahawa parti itu cuba menghidupkan fahaman komunis.

Ronnie yang juga Adun Sungai Pelek turut menggesa Musa berhenti menyebarkan pembohongan.

“Apa yang dikatakannya benar-benar mengelirukan dan tidak berasas, ini bukan kali pertama dia membuat kenyataan yang tidak benar. Dia perlu berfikir sebelum dia bercakap dan dia tidak boleh mengelirukan rakyat.

“Apa faedah yang dapat diperoleh DAP jika kita cuba ubah semula sejarah, dan adakah anda mempunyai keupayaan atau kuasa untuk mengubah sejarah? Apa yang dia katakan tidak lain adalah fitnah,” kata Liu kepada The Malaysian Insight.

Musa menamakan Liu ketika memberi syarahan di Universiti Teknologi Mara tentang Perjanjian Damai Hat Yai 1989 baru-baru ini.

Syarahannya itu disiarkan di Facebook pada Rabu.

Musa Hassan berkata DAP ada agenda untuk menulis semua sejarah negara dengan membangkitkan semula ideologi komunis dan merujuk kepada ulang tahun ke-30 perjanjian damai itu yang turut dihadiri oleh Liu.

Perjanjian damai yang mengakhiri kebangkitan komunis ditandatangani Parti Komunis Malaya, Malaysia dan Thailand. Ia juga membawa kepada pembubaran PKM sekali gus menamatkan darurat di Tanah Melayu.

“Kita lihat bila mereka memperingati perjanjian damai itu, ada banyak sokongan daripada ahli politik, khasnya ahli politik DAP seperti Ronnie Liu.

“Ronnie Liu berkata komunis patut dihormati kerana mereka pejuang. Mereka mahu ubah sejarah.

“Jadi memperingati perjanjian damai itu untuk membangkitkan semua ideologi komunis. Kita tidak boleh benarkan ini,” kata Musa pada program “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?” baru-baru ini. 

Liu yang disoal siasat oleh polis berhubung program itu susulan laporan polis dibuat bulan lalu, sebelum ini meembeirtahu pemberita beliau dijemut untuk memberi ucapan pada majlis itu dan hadir atas kapasiti peribadi.

Beliau turut menafikan dakwan beliau cuba menghidupkan fahaman komunis.

Sementara itu, Lim Kit Siang yang turut membidas Musa berkata, pengkritik DAP perlu berfikir – adakah DAP mahu kembalikan fahaman, adakah penganut  Kristian komited untuk menubuhkan negara Kristian di Malaysia, cauvinis Cina, anti-Melayu, anti-India, anti-Cina, boneka Dr Mahathir  – kerana tidak mungkin DAP memainkan terlalu banyak peranan yang bertentangan.

“Sebenarnya, DAP bukan seperti itu, kerana ia adalah parti politik Malaysia yang patriotik dan menegakkan Perlembagaan Malaysia serta prinsip Rukun Negara dan komited sepenuhnya untuk meningkatkan kebajikan sosioekonomi semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah dan mahu melihat Malaysia berjaya sebagai sebuah negara yang demokratik, adil, progresif dan makmur yang boleh berada seiring dengan masyarakat antarabangsa,” katanya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata DAP adalah parti politik yang mempunyai sejarah 54 tahun, dan walaupun pemimpin DAP pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, namun tiada pemimpinnya yang pernah dituduh sebagai komunis atau menyokong komunis.

“Bagaimana Musa boleh keluar kenyataan wujud agenda baru untuk menghidupkan semula fahaman komunis di Malaysia untuk DAP.

“Adakah Musa mengatakan bahawa walaupun beliau adalah ketua polis negara ke lapan dari tahun 2006 hingga 2010, beliau tidak sedar bahawa dakwaan sedemikian adalah tidak berasas dan tidak benar?” Soalnya. – 1 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen