DAP cuba ubah sejarah, bangkitkan semula komunisme, kata bekas KPN


Bekas ketua polis negara Musa Aman berkata DAP ada agenda untuk menulis semua sejarah negara dengan membangkitkan semula ideologi komunis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2020.

BEKAS ketua polis negara Musa Hassan berkata DAP ada agenda untuk menulis semua sejarah negara dengan membangkitkan semula ideologi komunis.

Musa berkata demikian ketika memberi syarahan di Universiti Teknologi MARA tentang Perjanjian Daman Hat Yai 1989 yang mengakhiri kebangkitan komunis antara Parti Komunis Malaya, Malaysia dan Thailand. Ia juga membawa kepada pembubaran PKM.

Syarahannya itu disiarkan di Facebook Live pada Rabu.

“Kita lihat bila mereka memperingati perjanjian damai itu, ada banyak sokongan daripada ahli politik, khasnya ahli politik DAP seperti Ronnie Liu.

“Ronnie Liu berkata komunis patut dihormati kerana mereka pejuang. Mereka mahu ubah sejarah.

“Jadi memperingati perjanjian damai itu untuk membangkitkan semua ideologi komunis. Kita tidak boleh benarkan ini,” kata Musa pada program “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?”.

Ulang tahun ke-30 perjanjian damai itu pada Disember lalu diraikan dengan majlis makan malam di Kajang, di mana Liu yang juga Adun Sungai Pelek, menghadirinya atas kapasiti peribadi.

Beliau disoal siasat oleh polis berhubung program itu susulan laporan polis dibuat.

Sebelum itu, ahli politik pembangkang Melayu membuat bantahan apabila abu mayat ketua PKM Chin Peng dibawa masuk ke negara ini menerusi sempadan Thailand pada September. Perbuatan itu dibuat oleh sekumpulan kecil rakan Chin Peng dan kemudian menebarkan abunya di laut dan hutan di kampung asalnya di Perak.

Musa berkata DAP mahu “mengubah sejarah 13 Mei”, merujuk kepada rusuhan kaum di Kuala Lumpur pada 1969.

“Buku yang ditulis oleh DAP berkata rusuhan itu dimulakan oleh orang Melayu, bukan mereka (DAP). Mereka selalu salahkan Melayu, yang Melayu rasis, dan mahu ambil harta Cina.

“Ini cara mereka cuci otak golongan muda kita. Jadi golongan belia yang tidak tahu sejarah, sekarang kita boleh nampak mereka sokong komunisme kerana mereka tidak tahu sejarah,” katanya.

“Sekolah juga tidak ajar sejarah dengan baik. Ia juga salah kita kerana tidak ajar mereka. Jadi sekarang kita kena beritahu belia kita. Beritahu mereka bahawa ini ancaman kepada negara kerana ini tanah Melayu, negara Melayu.

“Mereka juga malah kata Melayu adalah pendatang, sedangkan kita sebahagian daripada rantau Melayu. Ini kawasan kita. Jika kita tidak tahu sejarah Melayu, kita akan termakan oleh mereka,” kata Musa.

Musa berkhidmat sebagai ketua polis negara dari 2006 hingga 2010, turut membuat beberapa dakwaan termasuk KPM menuntut supaya Tugu Negara di Taman Tasik dimusnahkan.

Musa ialah ketua polis negara kelapan dan berkhidmat 41 tahun dalam pasukan polis. – 31 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen