Guna topeng muka 3 lapisan jika perlu, kata pakar


Chan Kok Leong Lee Chi Leong

Pakar berkata tiada keperluan untuk rakyat Malaysia menggunakan topeng muka dalam rutin harian buat masa ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2020.

HANYA topeng muka tiga lapisan sahaja yang mesti digunakan untuk mencegah jangkitan novel koronavirus novel (nCoV19), kata pakar penyakit berjangkit.

Topeng muka satu lapisan sangat nipis manakala topeng muka N95 terlalu teknikal untuk digunakan, kata Dr Benedict Sim dari Hospital Sungai Buloh.

“Satu lapisan tidak membantu melindungi daripada kuman kerana ia akan cepat menjadi lembap dan tidak mempunyai sebarang penapis.

“Pilihan untuk orang awam adalah topeng surgikal tiga lapis. Tetapi ia tidak boleh digunakan sepanjang hari kerana ia juga akan menjadi lembap dan tercemar. Anda perlu menukarnya setiap beberapa jam,” kata Sim di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata topeng N95 tidak perlu kerana nCoV sedang disebarkan melalui titisan.

“Topeng N95 hanya berguna jika virus itu tersebar melalui udara. Tetapi N95 perlu sesuai dengan kontur wajah pemakai dan dipakai dengan betul.

“Oleh kerana faktor teknikal, ia tidak perlu pada tahap ini.”

Sim berkata, tiada keperluan untuk rakyat Malaysia menggunakan topeng muka dalam rutin harian mereka walaupun ia boleh berubah bergantung kepada bagaimana wabak itu berlanjutan.

“Tiada transmisi manusia kepada manusia di kalangan rakyat Malaysia. Itulah sebabnya kami tidak mengesyorkan orang menggunakan topeng secara rutin.

“Bagaimanapun, ia boleh berubah dengan progres wabak.

“Sekiranya terdapat transmisi manusia kepada manusia di kalangan rakyat Malaysia dan masyarakat umum, kami akan memberi nasihat dengan sewajarnya.”

“Pada masa ini, nasihat hanya perlu jika anda melawat China, yang merupakan pusat wabak.”

Sim adalah antara lima pakar lain yang memberi taklimat media mengenai langkah yang diambil di Malaysia bagi mengekang wabak tersebut.

Selain Sim, taklimat itu juga turut menampilkan Dr Sarah Shaikh Abdul Karim (perkhidmatan perubatan kecemasan), Dr Azmi Abdul Rahim (kawalan penjagaan kesihatan awam dan penyakit), Dr Nor Zaharin Hasran (ujian makmal) dan Dr Mahesh Appanan dari Pusat Kesediaan dan Maklum Balas Krisis.

Sarah dan Azmi menerangkan pelbagai langkah yang diambil semasa pemindahan dan pengesanan pesakit yang sedang disiasat manakala Zaharin memberi taklimat bagaimana sampel diuji di makmal.

Sementara itu, Mahesh memberi taklimat kepada media mengenai peranan CPRC dalam menyelaraskan pelbagai kementerian dan prosedur pelaporan. – 30 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen